Kejadian misteri di laluan Kampung Sg Lakit (Gambar)

AKMALIAH RAZAK
Kesan calar pada kereta.
GUA MUSANG - Kejadian misteri di Jalan Kuala Krai-Gua Musang, bukanlah perkara baharu, malah ia sudah kalis menjadi bahan mulut pengguna jalan raya ini.

Terbaharu, pemilik akaun Facebook, Amin Hussin, menceritakan kejadian yang dialaminya di sekitar jam 10.30 malam di antara Kampung Sungai Lakit, sebelum tiba di Kesedar Paloh.

Ceritanya, sampai di lokasi berkenaan, kereta yang dipandu tiba-tiba gelap di bahagian tingkap belakang sehingga langsung tidak nampak bahagian belakang.

"Saya jadi bingung, berulang kali saya tekan brek untuk lihat bias cahaya tapi gagal. Cepat-cepat saya kejar kereta jenis Proton Exora di hadapan saya, tiba-tiba kereta saya terasa amat berat.

"Walaupun saya tekan minyak sekuat hati, kelajuan tetap perlahan. Allahuakbar, saya dan isteri rasa panik, bunyi cengkaman pada bumbung dan belakang bonet kereta sangat jelas. Hanya ALLAH sahaja yang tahu perasaan kami ketika itu.

"Pintu di bahagian penumpang macam ada sesuatu ingin merobek dan seperti ingin dibuka oleh sesuatu. Semakin kuat ayat suci Al-Quran dipasang, semakin banyak bunyi di sekeliling kereta saya," jelasnya.

Tambahnya lagi, setibanya di Paloh, keadaan kembali seperti biasa namun 'kesan' yang ditinggalkan itu cukup jelas kelihatan.

"Syukur Ya ALLAH, kerana selamatkan kami sekeluarga dari gangguan yang tidak diingini berlaku. Sampai di rumah, memang jelas ada kesan calar pada bumbung dan bonet belakang kereta.

"Nasib baik saya tidak lalai dan dapat meneruskan hingga selamat tiba ke destinasi. Kejadian ini kali kedua kami alami dan kejadian pertama lagi dahsyat. Untuk pengguna jalan ini, hati-hati  memandu. Zikir ALLAH dan azan jika rasa mengantuk dan rasa luar biasa," katanya.
-sinarharian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan