Mengapa 30 tahun? Mengapa RM100,000? Mengapa 100 kali? Tanda tanya pindaan usul Akta 355 Hadi

Syahredzan Johan 

Cadangan pindaan Akta 355 yang dipinda oleh anggota parlimen (MP) Marang adalah berbeza dengan cadangan rang undang-undang asal.

Ini bukan pindaan kecil, malahan ia menukar natijah apa yang dicadangkan.

Kalau sebelum ini, MP Marang ingin meminda Akta 355 untuk membenarkan mahkamah syariah mengenakan apa-apa hukuman melainkan hukuman mati, kini apa yang dicadangkannya adalah untuk meningkatkan had hukuman yang boleh dikenakan oleh mahkamah syariah.

Peruntukan hukuman pada akta asal: Penjara 3 tahun, denda RM5,000, sebatan 6 kali.
Cadangan Marang sebelum ini: Tiada had kecuali membabitkan hukuman mati.
Cadangan terkini MP Marang: Penjara 30 tahun, denda RM100,000, sebatan 6 kali.
Pertama sekali, semua fatwa, nasihat, pendapat dan sebagainya yang mengatakan bahawa umat Islam wajib menyokong cadangan MP Marang ini wajar disemak semula kerana cadangan pindaan terbaru ini berlainan dengan cadangan pindaan sebelum ini.

Sebagai contoh, sekiranya pindaan MP Marang sebelum ini diluluskan, secara teorinya ia membolehkan hukuman potong tangan untuk sariqah (mencuri) seperti yang diperuntukan dalam Kanun Jenayah Syariah II Kelantan 1993 pindaan 2015 dilaksanakan (walaupun saya berpendapat ada halangan dari segi perlembagaan).

Tetapi sekiranya pindaan MP Marang yang terbaru diluluskan sekalipun, hukuman tersebut masih tidak boleh dilaksanakan kerana mahkamah syariah tidak boleh mengenakan hukuman sedemikian.

Kedua, jika kita lihat cadangan pindaan MP Marang, ada beberapa persoalan yang timbul yang harus dihuraikan oleh Marang:

Apakah tujuan pindaan terkini itu dikemukakan?
Adakah pada ketika ini mahkamah syariah tempang sebab tidak boleh mengenakan hukuman melebihi apa yang dibenarkan Akta 355?
Adakah terdapat peningkatan yang mendadak dalam kesalahan syariah yang memerlukan hukuman lebih berat sebagai pencegahan?
Adakah terdapat data atau fakta untuk menyokong?
Adakah terdapat begitu banyak kes membabitkan kesalahan begitu berat tetapi mahkamah syariah tidak dapat mengenakan hukuman yang lebih berat?
Adakah terdapat negeri-negeri yang mahu meningkatkan had hukuman bagi kesalahan syariah tetapi tidak dapat berbuat demikian kerana Akta 355?
Mengapa 30 tahun? Mengapa RM100,000? Mengapa 100 kali? Kenapa angka-angka ini dipilih?
Malangnya perkara ini tidak dihuraikan oleh MP Marang semasa cadangannya dibangkitkan di parlimen baru-baru ini. MP Marang sepatutnya mengambil kesempatan untuk sekurang-kurangnya memberi huraian am tentang pindaannya, dan kemudian memohon supaya apa-apa debat dilangsungkan pada sidang yang akan datang.

Ini penting kerana tanpa huraian ini, sukar untuk mana-mana pihak berbincang dan berbahas dengan terbuka mengenai cadangan berkenaan.

Ketiga, oleh kerana kesemua perbincangan, debat dan polemik mengenai RUU MP Marang sebelum ini adalah berdasarkan cadangan yang asal, maka oleh kerana MP Marang telah mengemukakan cadangan pindaan yang pada natijahnya berbeza, maka perbincangan dan perbahasan yang baru wajar berlangsung berdasarkan cadangan pindaan yang terkini.


Dan pihak-pihak yang menyokong pindaan ini juga harus membenarkan perbincangan dan perbahasan ini berlangsung dengan terbuka, tanpa apa-apa polemik atau hukum yang dijatuhkan sekiranya ada pihak yang tidak setuju atau membantah.

Di samping itu, walaupun undang-undang ini berkenaan dengan mahkamah syariah, ia tetap mesti diluluskan oleh parlimen, yang terdiri daripada anggota Muslim dan bukan Muslim.

Jadi ahli parlimen bukan Muslim berhak untuk menyertai perbincangan tentang cadangan pindaan MP Marang ini, dan samalah juga rakyat Malaysia tidak kira agama juga berhak untuk mengutarakan pandangan tentang cadangan itu kerana ia adalah pindaan terhadap sesuatu akta yang digubal oleh parlimen yang terdiri daripada wakil rakyat Muslim dan bukan Muslim dan mewakili rakyat Malaysia - tidak kira Muslim mahupun bukan Muslim.

Ini adalah semangat demokrasi yang mesti dijunjung oleh semua.

SYAHREDZAN JOHAN seorang peguam

Tiada ulasan:

Catat Ulasan