Umno perlu hapus amalan 'samseng simpanan'

MALAYSIA DATELINE
Kenyataan Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Mansor bahawa parti itu tiada kaitan dengan insiden kekasaran yang berlaku di Parlimen baru-baru ini hanyalah alasan lemah yang tidak boleh diterima rakyat, kata Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil.

Beliau berkata, kenyataan itu sama dengan kenyataan Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin bahawa mereka tiada kaitan dengan protes kumpulan baju merah di pejabat Malaysiakini Oktober lalu.

"Sudah menjadi kebiasaan apabila pemimpin Umno terlibat dalam insiden kekerasan, maka pimpinan tertingginya akan dengan cepat menyatakan rasa kesal serta cuba menjauhkan parti Umno dari pemimpin tersebut bagi mengelak dari mengambil tanggungjawab ke atas apa yang berlaku.

"Tetapi jarang sekali umum mendengar sebarang tindakan disiplin yang dikenakan terhadap mereka, malah mereka kekal sebagai pemimpin dalam Umno," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Fahmi, keengganan Umno mendisiplinkan anggota dan khususnya pemimpin-pemimpin ini memberanikan mereka ini untuk terus melakukan tindakan-tindakan kekerasan di luar batas undang-undang kerana kelihatan seperti tiada sesiapa di dalam atau di luar Umno yang berani menghukum mereka.

Persepsi ini tegasnya, semakin kukuh terutama selepas terjadi empat insiden kekerasan berturut-turut yang melibatkan atau diketuai pemimpin Umno iaitu:

1. Pada 8 Oktober di Sabak Bernam, kumpulan baju merah yang diketuai Datuk Seri Jamal Yunos, Ketua Umno Sungai Besar telah bertindak menyerang dan mencederakan peserta konvoi Bersih 5;

2. Pada 13 November di Ampang Point, Ketua Umno Sungai Besar Datuk Seri Jamal Yunos bersama kumpulan baju merah telah membuat kacau di pusat membeli belah sehingga terpaksa dihalang pihak polis. Ini telah mengakibatkan hidung Jamal berdarah akibat terkena pukulan seorang anggota polis; Jamal kemudiannya berkata kononnya kecederaannya itu akibat dipukul "budak Zuraida" dan membuat laporan polis palsu;

3. Pada 24 November di hadapan bangunan Parlimen, sekumpulan 10 orang yang diketuaiKetua Pemuda Umno pasir Salak Dr Faizal Tajuddin yang juga dan anak kepada ahli Parlimen Pasir Salak Datuk Sri Tajuddin Abdul Rahman telah merusuh dan cuba membuat kekasaran terhadap ahli parlimen Shah Alam Khalid Samad.

4. Pada 25 November, sekumpulan 30 orang yang diketuai Ketua Pemuda Umno Pulau Pinang Rafizal Abdul Rahim telah menyerang pameran seni Zunar di bangunan Komtar, Pulau Pinang, merosakkan dua lukisan seni beliau.

"Dalam kesemua insiden ini, bukan sahaja mereka yang terlibat tidak dan belum dihadapkan ke mahkamah - yang merupakan satu isu lain - tetapi dari segi disiplin organisasi, Umno juga tidak mengumumkan tindakan disiplin bagi mengawal tindak-tanduk pemimpin dan anggota Umno.

"Apakah Umno tiada kesungguhan politik ("political will") dalam isu ini? Atau adakah Umno sengaja menyimpan mereka ini sebagai kumpulan pendesak atau "samseng simpanan"?" soalnya.

Jeusteru kata Fahmi, Tengku Adnan perlu segera memperbetul keadaan dengan mengarah penggantungan keahlian serta mengenakan tindakan disiplin ke atas semua pemimpin UMNO yang terlibat dalam insiden kekerasan.

"Rakyat akan terus melihat sama ada Umno serius dalam menangani krisis kepimpinan ini atau sekadar "melepaskan batoh di tangga" dan telah benar-benar menjadi, bak kata Tun Dr Mahathir, sebuah parti dipimpin "pencuri, penyangak dan perompak"," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan