'Cukuplah menjadi lembu pada si tua'

Amir Abd Hadi
Sejarah membuktikan bahawa, pemuda adalah tulang belakang kepada pembaharuan. Pemuda memainkan peranan besar dalam membebaskan masyarakat dari pemikiran kuno yang statik.

Pada awal 30-an, sejarah memperlihatkan naratif pertembungan fiqrah antara kaum muda dan kaum tua. Kaum tua, yang ditunjangi bangsawan-bangsawan korup dan ulama-ulama tradisional konservatif bersikap negatif terhadap perubahan dan pembaharuan.

Kaum tua ini telah bertembung dengan kaum muda; yang menganjurkan penggunaan akal waras dan menolak taqlid buta.

Adapun setiap satunya memiliki hujah yang tersendiri, kedatangan kaum muda pada ketika itu, sedikit sebanyak mengubah cara fikir masyarakat.

Sejarah awal

Syed Syeikh Al-Hadi, muridnya Dr Burhanuddin Al-Helmy (bekas Presiden Pas), dan nasionalis Za’ba, adalah antara tokoh dari kaum muda yang membawa idea-idea baru yang progresif. Aliran kaum muda ini juga dipanggil sebagai aliran reformis.

Di Indonesia mungkin lebih awal lagi. K H Ahmad Dahlan, mendirikan organisasi Muhammadiyah; organisasi Islam kedua terbesar di Indonesia selepas Nahdatul Ulama , pada 18 haribulan November tanggal 1912.

K H Ahmad Dahlan, secara tegas menentang ulama-ulama tradisional, yang mencampur aduk amalan mistik dengan agama.

Beliau pada awalnya mendapat tentangan hebat dari masyarakat, serta sudah tentu, dari ulama-ulama tradisional, yang selain dari menganggap beliau sesat, ingin mengekalkan status quo dalam masyarakat.

Namun akhirnya, Muhammadiyah berkembang dengan pesat, mendirikan sekolah dan hospital, serta menjadi organisasi yang selain dari membersihkan agama dari amalan khurafat, telah membangunkan negara Indonesia.

Begitu jugalah situasinya di Malaysia. Idea pembaharuan kaum muda terus kekal segar dan berkembang pesat. Faham tua telah berjaya digantikan dengan idea-idea baru. Malah banyak idea-idea serta pemikiran kaum muda yang masih relevan dan diguna pakai sehingga hari ini.

Tanggal 1938, Kesatuan Melayu Muda (KMM) diasaskan oleh seorang guru muda berusia 28 tahun, Ibrahim Yaakob, bersama-sama dengan kaum pelajar dari Maktab Perguruan Sultan Idris (kini UPSI), berserta segelintir inteligensia Melayu yang berkongsi cita-cita, iaitu merdeka.

KMM merupakan pertubuhan politik kebangsaan pertama di Tanah Melayu, yang berperanan besar memperbaharui semangat kemerdekaan rakyat melawan penjajah, terutamanya di kalangan orang Melayu.

Bangsa kita pada ketika itu, bukan sahaja terjajah oleh penjajah Inggeris, tetapi juga oleh golongan bangsawan dan elit birokrat Melayu, yang ingin mengekalkan status quo mereka, selain menjaga periuk nasi masing-masing. Dalam tempoh 2 tahun sahaja, KMM telah berkembang pesat ke serata Tanah Melayu. KMM memainkan peranan besar dalam politik tanah air.

Kita juga kenal benar dengan nama Rosli Dhoby, seorang pejuang kemerdekaan rakyat Sarawak, yang dihukum di tali gantung atas tuduhan menikam sehingga mati Gabenor British yang kedua di Sarawak, Sir Duncan Stewart, pada pada 3 Disember 1949, di Sibu. Mungkin ramai yang lupa, ketika beliau mula-mula aktif dengan perjuangan kemerdekaan, beliau baru berusia 16 tahun.

Selepas Merdeka, pada era penghujung 60-an, muncul ramai tokoh baru yang memberikan kesegaran dalam politik Negara serta membawa pembaharuan buat masyarakat. Anwar Ibrahim, Hishamuddin Rais, Zahid Hamidi, Ibrahim Ali, Syed Hamid Ali, dan ramai lagi adalah diantara nama yang tidak asing lagi sehingga ke hari ini. Walaupun mungkin ada di antara mereka yang kemudiannya berubah arah dan mengambil pendekatan berbeza.

Pengertian

Dari sudut pengertian, walaupun ditunjangi oleh anak muda, kaum muda (yang dilabelkan oleh kaum tua) bukanlah bermaksud seorang pemuda dalam lingkungan umur sekian ke sekian.

Kaum muda adalah golongan yang menganjurkan pembaharuan dalam masyarakat, yang menentang pembekuan daya fikir, serta menggalakkan penggunaan akal waras dalam membuat penilaian dan keputusan.

Begitu jugalah sifat yang sepatutnya ada dikalangan pemuda. Pemuda seharusnya sentiasa datang dengan idea baru, menolak faham kuno yang menjadikan pembangunan minda masyarakat kekal statik, serta tidak terus terikut-ikut dengan permainan songsang ‘orang-orang tua’.

Pemuda harus sentiasa kritikal, dan mempersoal setiap perkara, walaupun kadangkala mungkin untuk beberapa perkara sifat kritikal dan persoalan itu tidak perlu, atau tidak kena pada tempatnya. Pemuda harus sentiasa menyanggah, walau kadang sanggahan itu sedikit tersasar.

Pemuda sifatnya memang sedikit gelojoh dalam membuat keputusan, tetapi sakit yang datang dari keputusan salah itu yang akan membawa kepada penilaian semula dan penyelesaian yang baru. Kegelojohan itu sendiri terhasil dari sifat ‘keberanian’ pemuda.

Pemuda juga memilki imaginasi yang segar, tidak dipengaruhi oleh agenda tertentu (walaupun mudah dipengaruh), serta sentiasa berani untuk mencuba perkara dan idea baru. Sifat pemuda adalah melawan!

Kata Hurlock (1991) dalam mendefinisikan pemuda, 'Istilah pemuda sesungguhnya mempunyai erti yang luas, mencakup kematangan mental, emosi, sosial dan fizik'.

Keadaan hari ini

Melihat kepada situasi hari ini, jelas kelihatan bibit-bibit kemunduran dalam daya fikir masyarakat; termasuk anak muda. Kita semakin hari, semakin melangkah kebelakang. Tidak kiralah dari sudut agama, idea, politik mahupun pemikiran.

Budaya taqlid buta semakin menular. Pemuda hanya digunakan untuk tujuan tertentu oleh orang-orang berkepentingan. Pemuda juga ikut sama dalam pertelagahan orang-orang tua.

Ekonomi negara semakin mundur. Kos sara hidup semakin tinggi. Kadar pengangguran semakin besar. Mereka yang berkuasa terus terusan memperkosa dana negara untuk tujuan peribadi. Mereka terus bermewah-mewah sedang rakyat semakin sarat. Yang kaya terus kaya, yang miskin papa kedana.

Penentang mereka pula semakin longlai. Ada yang buta dengan kuasa yang sedikit, dan ada pula yang sibuk dengan perebutan kuasa dalaman dan pertelagahan yang tak berkesudahan.

Pemain politik tua ini terus sahaja membawa beban politik lama mereka lalu memaksakan keatas pemuda.

Pemuda pula seakan-akan hilang arah. Ada sesetengahnya terus mencium punggung si tua.

Ada pula yang sudah terlalu mual dengan gelagat orang-orang politik. Saat ekonomi yang tidak stabil, kos hidup yang semakin tinggi (hingga rata-rata anak muda tidak tahu lagi sama ada mampu atau tidak mereka memiliki aset kekal; rumah, tanah, malah keluarga), pemuda lupa dengan tugas sebenar mereka dalam masyarakat.

Maruah pemuda dipijak-pijak

Mereka menyalurkan kekecewaan kepada hiburan yang bersifat sementara, yang menjadi ‘escapism’ supaya mereka tidak perlu untuk menghadapi realiti dunia yang semakin gila. Inilah saat dimana masyarakat mendambakan pembaharuan, dan tugas pembaharuan ini wajib dipikul oleh pemuda. Pemuda harus bangkit dicelah-celah kepincangan ini.

Kata Usman Awang dalam puisinya Jiwa Hamba:

“Kalau hidup ingin merdeka
Tiada tercapai hanya berkata
Ke muka maju sekata, maju kita
Melemparkan jauh jiwa hamba

Ingatkan kembali kata sakti
Dari bahang kesedaran berapi
Di atas robohan Kota Melaka
Kita dirikan jiwa merdeka”

Ini masanya untuk kita susun semula kekuatan, lalu mengambil alih negara ini dari tangan-tangan yang kotor, atau sekurang-kurangnya, memberi penampar berbisa kepada mereka yang di tampuk kuasa, agar mereka terus beringat, bahawa jangan lagi memperkosa negeri ini.

Pemuda, tidak boleh selamanya menjadi lembu kepada si tua.

AMIR ABD HADI merupakan jurucakap gerakan anak muda DEMI MALAYSIA dan penyelaras SUARAM.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan