Datin didakwa cuba bunuh amah 19 tahun

FMT Reporters
PETALING JAYA: Seorang Datin didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan cuba membunuh pembantu rumah warga Indonesianya yang berusia 19 tahun.

Menurut laporan The Star, Datin Rozita Mohamad Ali, 43, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Mohamad Kamil Nizam.

Suri rumah itu didakwa cuba membunuh Suyanti Sutrinso dengan sebilah pisau, penyangkut baju, batang mop keluli dan payung, antara 7 pagi hingga 12 tengah hari pada 21 Disember lalu di rumahnya di Mutiara Damansara.

Akibatnya, Suyanti mengalami kecederaan di kepala, tangan, kaki serta organ dalaman.

Rozita didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

Peguamnya, Rosal Azimin Ahmad meminta mahkamah menetapkan ikat jamin RM5,000 dengan alasan wanita itu menghidap asma dan tidak bekerja.

Hakim bagaimanapun menetapkan ikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin dan mengarahkan Rozita menyerahkan pasportnya kepada mahkamah.

Sebutan semula kes itu ditetapkan pada 17 Februari nanti.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan