Isu Rohingya: KenapaUmno dan Pas bacul di Parlimen, bising di luar

MALAYSIA DATELINE
Pembersihan etnik Rohingya oleh pemerintah Myanmar sepatutnya membuka mata negara serantau khususnya Malaysia

Kesediaan pemimpin Umno khususnya Perdana Menteri untuk hadir dalam himpunan 4 Disember ini bagi membantah kempen pembersihan etnik Rohingya di Myanmar amat membingungkan kerana kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak tidak melakukan sebarang tindakan konkrit untuk menangani jenayah tersebut.
Pengerusi Biro Antarabangsa Amanah Nasional Raja Bahrin Shah berkata, walaupun pada prinsipnya kesediaan pemimpin Umno itu suatu yang baik namun sebagai parti pemerintah tidak wajar bagi pemimpin Umno hanya sekadar berdemonstrasi.

"Adakah mereka lupa mereka kerajaan dan sebagai kerajaan mereka wajib melakukan lebih dari berdemonstrasi!" ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Raja Bahrin, tragedi pembunuhan kejam etnik Islam Rohingya sudah lama berlaku dan Kerajaan Malaysia lesu menanganinya dengan berbagai alasan tidak munasabah.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu itu menambah, pada 24 Nov lalu, beliau telah membawa usul di bawah peraturan 19(a) untuk membahaskan isu pembunuhan etnik Islam Rohingya di Myanmar.

Namun beliau kesal kerana Speaker Dewan Rakyat telah menolak usul tersebut atas alasan ia akan "mencampuri hal negara lain".

"Saya dan beberapa lagi ahli Parlimen pembangkang telah menggesa ia dibenarkan kerana pentingnya dan seriusnya isu pembunuhan beramai-ramai Islam Rohingya yang melibatkan tentera Myanmar.

"Dewan Mulia Parlimen adalah forum terbaik untuk membahas dengan teratur demi mendengar pendirian dan tindakan yang ingin dicadangkan ahli-ahli Parlimen untuk diambil tindakan oleh kerajaan," jelasnya.

Bagaimanapun beliau hairan kerana tidak sampai seminggu usul yang dibawa di Parlimen ditolak, Perdana Menteri sendiri dilaporkan sedia hadir dalam himpunan besar-besaran untuk membantah apa yang berlaku di Myanmar.

"Adakah mereka ikhlas dalam bantahan mereka ini sedangkan membahas usul mengutuk kezaliman ini di Parlimen adalah jauh lebih bermakna," katanya kesal.

Raja Bahrin juga membangkitkan keengganan kerajaan pimpinan Najib untuk menarik diri dari perlawanan bolasepak Piala Suzuki di antara Malaysia dan Myanmar yang berlangsung di Rangoon, ibu kota Myanmar.

"Ini amat menyedihkan dan memalukan kerana sementara seperti disahkan pegawai Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Myanmar, umat Islam di Myanmar dibunuh secara berterusan oleh tentera Myanmar, kita sanggup terus bersukan di padang bola," ujarnya.

Menurutnya, jika Malaysia pernah menarik diri dari Sukan Olimpik di Moscow kerana membantah penaklukan Russia ke atas Afghanistan, mengapa tindakan yang serupa tidak dilakukan terhadap Myanmar?

"Adakah demonstrasi ini sekadar bertujuan menunjuk kebersamaan dengan rakyat demi menutup hakikat bahawa kerajaan tidak bertindak?" soalnya lagi.

Pengerusi Amanah Terengganu itu juga turut mempersoalkan sikap membisu anggota parlimen Umno dan Pas ketika usul beliau ditolak Speaker Dewan Rakyat sedangkan ahli parlimen Pakatan Harapan daripada pelbagai kaum dan agama bangun membantah tindakan tersebut.
"Apabila usul Rohingya ditolak di Parlimen pada pagi 24 November 2016 oleh Speaker Parlimen, YB Dr Siti Mariah dan Raja Bahrin dari Amanah, YB Tian Chua dari PKR dan YB Kula Segaran, YB Charles Santiago dan YB Chin Tong dari DAP berucap membantah penolakan usul ini.

"Tidak ada seorang pun Ahli Parlimen dari BN atau Pas berdiri untuk berucap menggesa usul ini dibenarkan di dalam Dewan Parlimen yang mulia itu. Tiba-tiba di luar Parlimen mereka ingin menjuarai isu ini sedangkan dalam Parlimen mereka diam," katanya kesal.

Sehubungan itu beliau menuntut satu sesi khas Dewan Rakyat diadakan bagi membahas isu pembunuhan Islam Rohingya dan Kerajaan Malaysia membuat pendirian tegas di Parlimen dan bukan di padang terbuka.

"Kalau permintaan ini tidak dihiraukan maka rakyat akan membuat kesimpulan bahawa demonstrasi ini sebenarnya bukan bertujuan membantu Rohingya tetapi sekadar membantu Umno dan Pas mengaut sokongan politik masyarakat Melayu," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan