Pengarah Pusat Penyelidikan Pas tak tau beza anrara usul ddngan soalan lisan

Rohingya: Zuhdi tak faham antara usul dan soalan lisan, bidas Amanah
MALAYSIA DATELINE

Pas membisu di Parlimen namun hadir ke himpunan solidariti untuk Rohingya esok

Parti Amanah Negara (Amanah) membidas kenyataan Pengarah Pusat Penyelidikan Pas Dr Mohd Zuhdi Marzuki yang mendakwa Amanah ingin menjadi juara dalam isu kekejaman terhadap umat Islam Rohingya di Myanmar apabila membawa usul mengenainya di Parlimen.

Pengerusi Biro Antarabangsa Amanah Raja Bahrin Shah berkata, isu Rohingya bukan untuk diambil kesempatan politik untuk menentukan siapa juara dan dakwaan Mohd Zuhdi itu menzahirkan sikap sebenar beliau.

Raja Bahrin berkata, Mohd Zuhdi tidak memahami perbezaan antara usul dan soalan lisan di Parlimen apabila berkata Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang sudah banyak kali mengemukakan soalan lisan mengenai Rohingya setiap kali persidangan.

"Pertanyaan di bawah soalan lisan berbeza dari Usul di bawah 18 (1) untuk di bahas secara terbuka di Parlimen. Soalan lisan seperti disebut beliau adalah terhad dan bukan dibuka untuk dibahas untuk menentukan pendirian dan tindakan.

"Ramai ahli Parlimen lain, termasuk yang bukan Islam, telah mengemukakan soalan lisan seperti yang telah dilakukan oleh ahli Parlimen Marang. Bukan Ahli Parlimen Marang sahaja yang membawa soalan Rohingya sebelum ini.

"Namun usul dibawah 18 (1) memberi ruang yang luas dan masa yang panjang untuk dibahas sedalam-dalamnya dan dimana boleh dipersetujui satu usul untuk diluluskan oleh Parlimen untuk tindakan kerajaan.

"Ini adalah perbezaan yang besar dibandingkan dengan soalan lisan yang terhad," kata beliau dalam satu kenyataan.

Menurut Raja Bahrin yang juga ahli Parlimen Kuala Terengganu, amat mengecewakan apabila tiada seoarang pun wakil rakyat Pas menyokong usul itu tetapi ingin berhimpun bersama Umno esok dalam isu yang sama.

"Amanah tidak membuat tuntutan bahawa isu Rohingya ini isu kami, malahan kami mengakui ini adalah isu seluruh rakyat Islam dan juga bukan Islam. Kerana itulah kami amat kecewa tiada seorang wakil Pas atau Barisan Nasional pun yang menyokong usul 18 (1) Rohingya pada hari ia ditimbulkan di Parlimen.

"Malahan lebih memalukan, selain dari dua wakil Amanah, adalah empat ahli Parlimen bukan Islam dari PKR dan DAP menyoal kenapa isu ini ditolak sementara Pas dan rakan yang dinasihatinya dari Umno membisu. Bisu dalam keadaan ini bererti setuju usul itu ditolak," katanya lagi.

Beliau juga tidak terkejut jika Perhimpunan Solidariti Ummah Untuk Rohingya esok yang akan dihadiri oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Abdul Hadi dijadikan medan untuk mewujudkan suasana anti-bukan Islam demi kepentingan politik Umno dan Pas.

"Kami tidak mempertikaikan hak Pas untuk bersama dan bersepakat dengan Umno untuk berhimpun pada 4 Disember. Namun kenapa perlu ia dihadkan kepada ummat Islam sahaja? Adakah ia bertujuan mewujudkan suasana anti-bukan islam demi kepentingan politik Umno dan Pas?

"Soalannya mana yang lebih penting dan wajib untuk dibuat, melaungkan slogan dan berceramah berapi-api di stadium atau membuat pendirian dan menentukan tindakan kerajaan di Parlimen?

"Kami tidak hairan kalau akhirnya perhimpunan itu akan menjadi perhimpunan melaungkan slogan anti-bukan Islam dan menyeru orang Islam bersatu menyokong Umno dan Pas sambil takut pada DAP. Amat jelas itu agenda sebenar perhimpunan ini," katanya

Tiada ulasan:

Catat Ulasan