Saiful sedih Dr M dan Anwar bebaik semula

Adam Abu Bakar
KUALA LUMPUR: Saiful Bukhari Azlan percaya Tun Dr Mahathir Mohamad masih percaya tuduhannya pada 2008 yang beliau diliwat bekas ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun, bekas pembantu di pejabat PKR itu mengakui keakraban Dr Mahathir dan Anwar memberi kesan kepada dirinya.

“Saya tidak kisah dengan pembangkang. Tetapi apabila dia (Dr Mahathir) menyokong Anwar, ia sedikit menyentuh perasaan saya. Ia agak sedih untuk saya,” Saiful, yang membuka kedai bersama isteri Nik Suryani Megat Deraman sempena Perhimpunan Agung Umno 2016 di Pusat Dagangan Dunia Putra, memberitahu FMT hari ini.

Dr Mahathir bertemu Anwar buat pertama kali dalam masa 18 tahun pada Sep 5, menamatkan permusuhan antara kedua-dua pemimpin yang pernah menerajui negara pada era 90an itu.

Bagi Saiful, tuduhan liwat terhadap Anwar tetap kekal dan yakin Dr Mahathir masih mempercayainya walaupun selepas kedua-dua seteru politik itu berbaik semula.

“Dia (Dr Mahathir) tidak menyatakan itu (tuduhan liwat) tidak benar. Dia hanya katakan bebaskan dia (Anwar) sahaja,” kata Saiful.

Anwar kini menjalani hukuman penjara 5 tahun, selepas Mahkamah Persekutuan pada Feb 2015 mendapati Saiful seorang saksi yang boleh dipercayai.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan