Lelaki ini cuba rogol anak sendiri dipenjara lima tahun tiga sebatan

Tertuduh (kiri) dijatuhi hukuman lima tahun penjara dan dikenakan tiga sebatan kerana cuba merogol anaknya berusia 12 tahun.
KUALA TERENGGANU - Seorang bapa yang tergamak cuba merogol anak gadisnya berusia 12 tahun akhirnya menerima pembalasan apabila dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan dikenakan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, di sini, semalam.

Keputusan dibuat Hakim Rofiah Mohamad selepas tertuduh berusia 53 tahun dan baru sahaja dibebaskan dari penjara kerana kesalahan dadah itu, mengaku salah terhadap pertuduhan Seksyen 376 (B) (1) /511 Kanun Keseksaan kerana cuba melakukan sumbang mahram.

Tertuduh yang sudah berpisah dengan isterinya, mengaku salah cuba merogol mangsa  di sebuah rumah di Kuala Nerus, kira-kira jam 11.45 malam, pada 14 Oktober lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Rohaiza Abd Rahman manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Berdasarkan fakta kes, mangsa yang ketika itu sedang tidur di ruang tamu, terbangun selepas berasa sakit di bahagian kemaluannya sebelum ternampak bapanya berada di atasnya.

Pada masa sama, kanak-kanak malang itu dapati seluarnya sudah ditanggalkan dan bimbang akan diapa-apakan, mangsa cuba melawan dengan menolak bapanya hingga jatuh.

Seterusnya, mangsa yang merupakan anak bongsu daripada lima beradik itu melarikan diri masuk ke dalam bilik kakaknya, lalu menghubungi wanita itu yang semasa kejadian berada di rumah ibu mereka agar dapat menjemputnya.

Kakak mangsa yang berusia 23 tahun itu terus bergegas ke rumah berkenaan untuk mengambil mangsa dan mula merasa curiga selepas melihat adiknya menangis teresak-esak.

Selepas dipujuk, mangsa memaklumkan perbuatan keji ayah mereka, sebelum membuat laporan polis.
-sinarharian

Bersih 5: PAS umpama keli dalam besen?

Bersih 5: Pas cakap biar terang, jangan jadi keli dalam besen
Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan digesa supaya tidak mengeluarkan kenyataan berbelit berhubung penyertaan parti itu dalam himpunan Bersih, 19 November depan.

Penulis buku politik popular Mohd Sayuti Omar berkata, peguam itu boleh sahaja tanpa perlu berselindung menyatakan menjalin hubungan dengan Umno.

"Takiyuddin tidak payah banyak cakap berliku-liku macam jalan ke Bukit Tinggi.

"Terus terang sahaja Pas tidak mahu sertai Bersih kerana Pas sedia untuk berkerjasama dengan Umno. Cakap biar jelas dan terang.

"Ringkas, tidak menyusah dan mengelirukan orang. Dalam perjuangan kena gentlemen tidak jadi macam ikan keli dalam besen," bidasnya dalam status Facebook beliau.

Sayuti mengulas alasan Takiyuddin kononnya Pas tidak menyertai Bersih 5 kerana perjuangan gerakan kempen menuntut pilihan raya yang adil itu sudah melencong.

Takiyuddin yang juga peguam mendakwa terdapat peserta Bersih sebelum ini memijak gambar pemimpin parti tersebut.

"Kalaulah itu alasan kenapa Pas tidak mahu sertai Bersih, betapa rendah jiwa orang Pas.

"Takkan kerana gambar dipijak sanggup menolak gagasan Bersih untuk memastikan pilihan raya adil dan bersih.

"Tengok Anwar walaupun matanya lebam dibaham polis Dr Mahathir tetapi beliau boleh melupai peristiwa itu demi mencapai cita-cita bersama," tegas Sayuti lagi.

Bunuh anak selepas ‘kantoi’ lakukan seks dengan bapa mertua

Seorang wanita sanggup membunuh anak lelakinya yang berusia lapan tahun selepas budak berkenaan melihat dia dan bapa mertuanya melakukan seks.

Meskipun Veronica Panarello dihukum penjara selama 30 tahun oleh mahkamah di Itali, namun ramai yang melihat hukuman itu sebagai tidak mencukupi jika dibandingkan dengan apa yang dilakukan kepada anaknya, Loris Stival.

Veronica telah menjerut leher Loris dengan kabel elektrik dan kemudian membuang mayat anaknya di dalam parit.

Dia kemudiannya berpura-pura bahawa anaknya itu telah diculik dalam usaha menutup jenayah tersebut.

Dia juga memberitahu polis bahawa anaknya gagal dikesan selepas waktu persekolahan namun CCTV di sekolah menunjukkan sebaliknya.

Mayat budak itu ditemui oleh pemburu. Veronica kemudiannya ditangkap namun dia menyalahkan bapa mertuanya, Andrea Stiyal.

Veronica juga memberitahu Andrea membantunya dalam plot pembunuhan terbabit. Lelaki itu bagaimanapun menafikannya dan memberi amaran untuk menyaman menantunya itu kerana memfitnahnya.
-kualalumpurpost

Misteri Myvi putih di tengah sungai terjawab (Gambar)


Keadaan Perodua Myvi putih yang masuk ke dalam sungai setelah pemandu tertekan pedal minyak
KUALA BERANG - Kehadiran sebuah Perodua Myvi putih di tengah sungai di Kampung Temir, kelmarin, menimbulkan tanda tanya orang ramai, apatah lagi setelah gambar kenderaan itu viral di laman sosial khususnya Whatsapp dan Facebook.

Kehadiran Myvi putih itu turut menimbulkan pelbagai andaian dan menjadi perbahasan, bagaimana kenderaan itu boleh berada dalam sungai tersebut?

Bagaimanapun, hakikatnya ia merupakan kes kemalangan melibatkan seorang lelaki berusia 55 tahun dari Pekan Ajil yang tertekan pedal minyak sehingga kenderaan dipandunya meluru masuk ke dalam sungai.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud mengesahkan ada menerima laporan kemalangan di Kilometer 5 Jalan Kuala Berang-Kenyir di Kampung Temir pada jam 8.19 malam kelmarin (hari kejadian).

Menurutnya, kejadian berlaku kira-kira jam 8.30 pagi, tetapi mangsa yang merupakan peniaga di Pekan Ajil, tidak mengalami sebarang kecederaan dan berjaya keluar sendiri dari kenderaan dipandunya itu.

“Kemalangan berlaku di tebing Sungai Terengganu di Kampung Temir. Mangsa tiba di lokasi untuk memancing, tetapi semasa menghampiri hujung tebing, permukaan tanah berumput dan licin.

“Mangsa yang hendak menekan brek, tertekan pedal minyak menyebabkan kenderaan dipandunya itu masuk ke dalam sungai yang cetek. Pemandu berjaya keluar sendiri dari kereta dan tidak cedera,” katanya.

Tambah Mohd Adli, susulan itu orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati walau di mana berada bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini kerana malang tidak berbau.
-sinarharian

Kalau nak marah, marahlah... RUU 355 kabur dan tidak jelas - bekas Mufti Perlis

MALAYSIA DATELINE
Pas perlu terbuka jika ada pihak yang mendakwa Rang Undang-Undang (RUU) persendirian yang dibawa presidennya bukan berdasarkan hukum Tuhan, kata bekas mufti Perlis.

Datuk Dr Juanda Jaya yang kini Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jemoreng, Sarawak berkata dengan tiada perincian umum maka RUU itu sekadar dilihat satu cadangan manusia yang diberikan baju agama.

“Sebab itu saya sebut RUU 355, RUU yang kabur. Kalau orang nak marah, marahlah. Sebab kita pun tahu mereka sendiri tak tahu apa yang nak dijelaskan.

“Sekejap kata nak laksana hudud, sekejap kata tidak pula. Undang-undang ini benda yang jelas. Langgar lampu merah kita tahu berapa dendanya. Ini nak laksanakan undang-undang Tuhan.

“Jangan marah jika ada orang kata RUU 355 tidak sakral (kudus). Ia hanya undang-undang cadangan manusia. Barangkali diberi baju agama,” katanya dalam satu wawancara bersama ProjekMMO.

Dewan Rakyat yang mula bersidang 17 Oktober lalu dijangka akan membahaskan RUU persendirian Ahli Parlimen Marang yang juga Presiden Pas bagi memperkasakan mahkamah syariah.

RUU Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah)(Pindaan) 2016, yang sering didakwa membuka laluan untuk pelaksanaan hudud, dipertikaikan oleh wakil-wakil pembangkang dan Barisan Nasional.

Namun kerajaan dan Pas menafikan ia bertujuan membolehkan hudud dilaksanakan di Kelantan dan Terengganu, sebaliknya ia hanya bertujuan memperkasakan mahkamah syariah.

Juanda, 44, berkata umat Islam perlu kembali pada sejarah Rasulullah apabila akidah, ibadah dan akhlak diperkukuhkan sebelum membicarakan hukuman syariah.

“Mengapa wahyu pertama dalam Islam bukan hudud tetapi Iqra? Bacalah, pendidikan yang diutamakan. Berapa lama? Lebih 20 tahun.

“Kemudian aspek kepercayaan, ibadah, pembinaan akhlak dan moral. Hujung baru pergi kepada perkara itu.

“Itu pun berapa sahaja dalam catatan sejarah. Sedangkan manusia yang paling lengkap catatannya ialah Rasulullah,” katanya.

Beliau berkata Pas tidak seharusnya mempolitikkan agama dalam RUU yang ingin dibentangkan mereka.

Katanya, apa yang dibimbangkan ialah hudud dimainkan sebagai satu alat untuk menggalakkan ekstremisme dalam Islam.

“Saya minta semua pihak, jangan heret agama dalam agenda politik. RUU 355 ialah RUU yang tidak jelas. Ke mana hala tujunya?

“Kita berada dalam suasana yang saya cukup bimbang. Pencemaran terhadap agama itu sedang menjadi-jadi.

“Kita tahu enakmen di Kelantan dan Terengganu ada banyak masalah. Itu pun tidak selesai lagi,” katanya.

Gadis ini dirogol bergilir-gilir kemudian disula dengan lembing


Buenos Aires: Pembunuhan kejam pelajar perempuan 16 tahun yang dirogol dan kemudian disula dengan lembing oleh pengedar dadah mencetuskan kemarahan rakyat Argentina dengan pertubuhan wanita mengancam melakukan mogok di seluruh negara.

Lucia Perez dari Mar del Plata, mati pada 8 Oktober lalu selepas dibawa ke hospital oleh dua lelaki yang mendakwa dia mengambil dadah berlebihan.

Namun doktor mengesan tanda keganasan seksual dan siasatan polis kemudian mendapati dua lelaki berkenaan memberinya dadah, memperkosa sebelum menyula dubur mangsa menyebabkan kesakitan amat sangat membawa kepada serangan jantung hingga mati.

Menurut polis, mangsa serta seorang rakan berjumpa dua lelaki itu, Matias Farias, 23, dan Juan Pablo Offidiani, 41 sehari sebelum kematiannya untuk membeli marijuana, Mereka memaksa mangsa mengambil kokain berlebihan sebelum memperkosanya bergilir-gilir.

Ketua pendakwaraya, Maria Isabel Sanchez, yang tidak dapat melindungi kemarahannya berkata: “Saya sedar tidak wajar (sebagai pendakwaraya) untuk berkata, namun saya juga ibu dan wanita.

“Sepanjang karier ini, saya sudah melihat ribuan kes, termasuk kejam namun tiada yang sekejam ini.”

Pembunuhan itu menjadi keganasan terbaru terhadap wanita di Argentina. Tahun lalu, bantahan berlaku di seluruh negara selepas beberapa pembunuhan termasuk seorang guru tadika dikelar leher oleh suaminya dalam kelas, remaja 14 tahun dibelasah hingga mati oleh teman lelaki kerana hamil dan wanita ditikam teman lelaki dalam sebuah cafe.
-kualalumpurpost

Akhirnya, pembunuh Altantuya di Australia terima dokumen mahkamah

V Anbalagan
PETALING JAYA: Salinan pindaan terhadap penyata tuntutan dalam kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu berjaya diserahkan kepada pembunuh model Mongolia itu yang kini berada di pusat tahanan Australia, kata peguam Ramkarpal Singh.

Ramkarpal yang mewakili keluarga Altantuya berkata, proses penyerahan itu akhirnya dapat dilakukan selepas penghantar saman menyerahkan salinan penyata tuntutan kepada Sirul Azhar Umar di Pusat tahanan Imigresen Villawood di Sydney, baru-baru ini.

“Saya kini menunggu makluman rasmi daripada penghantar saman Australia. Selepas itu saya akan maklumkan kepada mahkamah pada tarikh pengurusan kes minggu depan,” katanya kepada FMT.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi Shah Alam menetapkan 26 Oktober untuk mendengar sama ada penyata tuntutan sudah diserahkan kepada Sirul atau tidak.

Ramkarpal berkata Sirul diberi tempoh 14 hari dari tarikh penerimaan dokumen itu untuk membalasnya sama ada mahu mencabar atau tidak pindaan terhadap tuntutan itu.

“Secara asasnya, kami hanya mahu memasukkan yang sabitan terhadap Sirul dan Azilah Hadri disahkan oleh Mahkamah Persekutuan tahun lalu,” katanya.

Katanya, beliau berharap perbicaraan boleh dijalankan pada pertengahan kedua tahun depan.
Ramkarpal berkata Azilah yang kini di penjara Kajang juga diserahkan salinan tuntutan itu tetapi beliau atau peguamnya masih belum menjawab.

Tahun lalu, peguam itu turut cuba mendapatkan Kementerian Luar untuk menyerahkan dokumen mahkamah kepada Sirul tetapi tidak menerima respons.

Ramkarpal berkata keluarga Altantuya “sudah menunggu terlalu lama” sepanjang 10 tahun untuk tuntutan saman itu dilaksanakan.

Bapa Altantuya, Shaariibuu Setev, isterinya Altantsetseg Sanjaa dan 2 cucu mereka menyaman kerajaan, penganalisis politik Abdul Razak Baginda, Sirul dan Azilah yang turut disabitkan bersalah membunuh Altantuya, sebanyak RM100 juta.

Mereka mendakwa wujudnya konspirasi dalam pembunuhan model dari Mongolia itu.

Tuntutan saman pada 2007 itu tertangguh kerana perbicaraan kes berlangsung di Mahkamah Tinggi yang kemudiannya dibawa ke Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

Sirul dan Azilah, kedua-duanya anggota polis disabitkan bersalah membunuh Altantuya oleh Mahkamah Tinggi pada 2009.

Mereka kemudian berjaya membatalkan sabitan itu di Mahkamah Rayuan pada 2013. Mahkamah apex kemudiannya mengembalikan sabitan terhadap mereka tahun lalu dan menjatuhkan hukuman mati.

Sirul tidak hadir pada hari keputusan akhir disampaikan kerana lari meninggalkan Malaysia. Mahkamah Persekutuan mengeluarkan waran tangkap terhadapnya.

Razak, yang pada awalnya didakwa kerana bersubahat membunuh Altantuya, dibebaskan di akhir kes pendakwaan. Mahkamah memutuskan pertuduhan terhadapnya tidak dapat dibuktikan.
-fmt

Ular sawa meletup cuba telan buaya (Gambar)


Seekor ular sawa Burma dipercayai meletup dengan perutnya terburai selepas dikatakan cuba menelan seekor buaya sepanjang kira-kira dua meter.

Selepas bertembung dengan buaya berkenaan dan menang dalam pertarungan, ular sawa itu dikatakan menelan mangsanya.

Bagaimanapun, ia berakhir dengan badannya koyak rabak.

Bangkai ular dan buaya itu ditemui terapung di sungai di Taman Negara Everglades di selatan Miami-Dade di Florida.

Gambar yang dirakam menunjukkan kaki belakang dan ekor buaya itu terjulur keluar dari bangkai ular berkenaan.

Kepala ular itu pula terputus dari badannya.

Saintis yang mengulas kejadian itu berkata, mereka percaya ular itu cuba menelan buaya berkenaan tetapi gagal menghadamnya.

Bangkai buaya itu mula membusuk dan gas memenuhi perut ular sehingga menyebabkan ia meletup
-kualalumpurpost

Inilah Kereta Rolls Royce Dan Lamborghini Milik "Datuk Seri" Yang Dirampas (Gambar)

KUALA LUMPUR: Polis merampas dua kereta mewah milik seorang ahli perniagaan bergelar Datuk Seri yang melakukan dua kesalahan berasingan pada Rabu.

Ketua Polis Bandaraya, Datuk Amar Singh berkata, rampasan Rolls Royce warna emas dengan nombor plat "DSS" dibuat di tempat letak kereta valet Menara B Pavilion di Jalan Raja Chulan pada Isnin.

Sehari selepas itu, Lamborghini kuning dengan nombor plat "G1M 5555" dirampas di lokasi sama.

Jabatan Pengangkutan Jalan tidak mempunyai rekod berkaitan kereta pertama termasuk nombor pendaftarannya.

Amar berkata, kereta mewah kedua pula didaftarkan tetapi mempunyai kaitan dengan kesalahan Jabaan Kastam Diraja Malaysia.

Beliau berkata, siasatan menunjukkan kedua-dua kereta mewah itu milik ahli perniagaan yang ketika ini berada di luar negara.

Lelaki berusia 39 tahun yang mendakwa sebagai pemandu Rolls Royce itu juga ditahan untuk siasatan lanjut pada 17 Oktober lalu.
-mstar

Tangan lima lelaki dan seorang wanita dipotong, dahi tertulis 'saya pencuri'


Polis mengawal lokasi kejadian
MEXICO CITY - MEXICO. Lima lelaki dan seorang wanita ditemui dalam keadaan masih hidup dengan tangan dipotong serta dahi tertulis dengan perkataan 'saya pencuri'.

Kesemua mangsa dicacatkan oleh kumpulan penjenayah dikaitkan dengan pengedaran dadah yang turut membiarkan mayat seorang lelaki di tepi jalan bersama dua beg yang berisi tangan dipotong di Tlaquepaque, berhampiran Guadalajara.

"Mereka dalam keadaan lemah dan tangan dibungkus dengan plastik," kata komander polis tempatan Roberto Larios dipetik AFP.

Kartel dadah sering membiarkan mayat dikerat di tepi jalan di Mexico, namun penemuan mangsa yang masih hidup adalah sesuatu yang jarang berlaku.

Pemuda yang maut berusia 39 tahun dipukul hingga mati namun tangannya tidak dipotong.

Mangsa merupakan suami kepada mangsa wanita yang berusia 44 tahun.

Mangsa lelaki yang lain dilaporkan berusia di antara 25 dan 43 tahun.

Pihak berkuasa mengesyaki jenayah mengerikan dikaitkan dengan pengedaran dadah.

Saksi berkata, mangsa dibawa ke lokasi kejadian dengan dua kenderaan dan ditinggalkan dengan nota tertulis "Ini terjadi kerana kami menjadi pencuri,"
-sinarharian

Misteri kehilangan dua perempuan pelajar terjawab


Misteri kehilangan dua pelajar terjawab Jesse L Matthew ketika di mahkamah.
VIRGINIA - AMERIKA SYARIKAT. Misteri kehilangan dua orang pelajar wanita terjawab apabila polis tempatan berjaya mengaitkan kes mereka kepada seorang lelaki dipercayai mempunyai dua kehidupan yang berbeza lapor Mirror.co.uk.

Mangsa pertama, Morgan Harrington, 20, hilang setelah terpisah dengan rakan-rakannya semasa pergi ke konsert kumpulan Metalicca di Charlottesville pada Oktober 2009.

Tiga bulan kemudian, rangkanya ditemui di sebuah ladang 16km dari tempat kali terakhir dia dilihat. Laporan bedah siasat menunjukkan dia dibunuh dengan kejam.

Lima tahun selepas kematian Harrington, seorang pelajar wanita juga turut hilang sama sepertinya. Mangsa, Hannah Graham, 18, merupakan pelajar tahun kedua di Universiti Virgina.

Graham dipercayai hilang sewaktu dalam perjalan pulang setelah menghadiri parti di kawasan itu.

Dia dilihat berjalan melalui pusat membeli-belah dengan seorang lelaki mengikut rapat di belakang.

Seorang saksi mengatakan bahawa lelaki tersebut kelihatan mencurigakan dan kemudian membawa mangsa ke bar berdekatan serta membelikannya minuman. Kemudiannya Graham hilang tanpa dikesan.

"Melalui kamera pengawasan, polis mengenal pasti pemangsa adalah Jesse L Matthew.

"Mempunyai ketinggian lebih enam kaki, seorang pelajar yang aktif bermain rugbi namun dibayangi dengan dua tuduhan rogol pada tahun 2002 dan 2003 namun bebas dari kedua-dua pertuduhan itu," katanya.

Dia mempunyai dua kehidupan yang berbeza iaitu memandu teksi dan juga menjadi porter hospital di siang hari namun pada waktu malam, dia akan pergi ke bar-bar dan berkata perkara tidak baik kepada wanita.

Matthew menggunakan modus operandi yang sama menggunakan teksi beliau untuk melakukan jenayah tersebut.

Polis tempatan telah menggeledah rumahnya dan mengambil barang untuk diperiksa di makmal.

Keputusan berjaya mengaitkan Matthew kepada Graham dan juga Harrington serta kes seorang wanita muda di Fairfax yang diculik di hadapan rumahnya pada tahun 2005.

Selepas dia ditangkap, mayat Graham juga dijumpai dalam keadaan lebam dan patah akibat dipukul olehnya. Pada tahun 2015, Matthew, 33 dijatuhi tiga hukuman penjara seumur hidup di atas kesalahannya itu.

Bapa Graham, John menyifatkan tindakan Matthew itu sungguh kejam dan bersyukur pembunuh anaknya dapat dibawa ke muka pengadilan.

“Kejahatannya telah terserlah dan saya bersyukur kerana Hannah membantu membawa orang jahat ini diberkas dan didapati bersalah.

“Hannah adalah heroin yang membantu mengubah dunia,” katanya kepada Mirror.co.uk.
-sinarharian

Tekak berlubang lepas makan lada paling pedas


WASHINGTON - AMERIKA SYARIKAT . Sebuah lubang terbentuk di tekak seorang lelaki selepas memakan salah satu lada paling pedas di dunia, Ghost Pepper.

Laporan Fox News mengatakan, lelaki berumur 47 tahun berkenaan memasukkan lada tersebut ke dalam burgernya untuk sebuah pertandingan makanan.

Selepas memakan lada tersebut, mangsa mula muntah tanpa henti dan menyebabkan tekaknya berlubang.

Keadaan tersebut yang dikenali sebagai sindrom Boerhaave mempunyai risiko maut yang tinggi.

Walaupun berjaya diselamatkan selepas dibedah doktor, mangsa terpaksa ditahan untuk rawatan di hospital selama 23 hari.

Kepedasan lada diukur menggunakan skala Scoville dan Ghost Pepper mempunyai ukuran lebih sejuta.

Untuk perbandingan, lada hitam 'sweet bell' mempunyai ukuran 0, lada Tobasco (100) dan lada Jalapeno mempunyai ukuran 2,500
-sinarharian

Video 'Pendekar Cangkul' Belasah Pekerja Kontraktor jadi viral


PETALING JAYA: Sebuah video menunjukkan 'pendekar cangkul' membelasah seorang pekerja kontraktor yang memotong meter air di rumahnya di Johor menjadi viral di media sosial.

Menerusi gambar dan video yang tersebar di media sosial, pekerja kontraktor berkenaan, dipercayai daripada syarikat pembekalan air bersepadu SAJ Holdings Bhd telah ditendang beberapa kali, ditumbuk, dimaki hamun dan diancam dengan cangkul oleh lelaki terbabit yang marah apabila meter air rumahnya dipotong.

Dia yang memakai seluar pendek dan tidak berbaju dilihat meluru keluar dari rumahnya bersama cangkul menuju ke arah pekerja kontraktor yang berada di depan rumahnya.
Lelaki itu dilihat turut dibantu oleh seorang lagi rakannya yang juga bertindak menendang pekerja berkenaan.

Pengguna Facebook, Kapten Ben telah berkongsi enam keping gambar dan dua buah video kejadian tersebut dan menulis: "Pendekar Cangkul Kg Melayu Kulai. Kontraktor SAJ dah tiga kali iaitu tiga bulan bantu cuba mengelakkan meter air dipotong. Kali Ke 4 Kontraktor datang untuk buka meter pekerja diserang oleh 'pendekar cangkul'...buat malu orang Kulai menyerang orang yang tengah bertugas."

Posting tersebut setakat ini telah dikongsi hampir 20,000 kali dan tindakan 'pendekar cangkul' tersebut rata-rata mendapat kritikan negatif daripada netizen.
-mstar

---------------------

Polis Johor Tahan 'Hang Cangkul'

PETALING JAYA: Polis Johor menahan dua lelaki kerana didakwa menyerang seorang kakitangan Suruhanjaya Air Johor (SAJ) yang memotong bekalan air ke rumah keluarga suspek kerana tidak membayar bil.

Suspek berusia 36 dan 19, dari Kulai itu juga mengugut dua kakitangan SAJ dengan cangkul.

Dalam video insiden yang tersebar di media sosial, suspek menanggalkan topi keledar kakitangan SAJ itu lalu menumbuk kepala petugas itu, manakala ditendang seorang lagi rakannya lelaki itu.

Menerusi video itu, suspek yang tidak memakai baju dan berseluar pendek mengarahkan kakitangan SAJ itu menyambung semula bekalan air kerana ibunya telah membayar bil.

Ketua Polis Johor, Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata kakitangan SAJ itu mengalami "kecederaan tisu lembut".

"Kedua-dua suspek menyerang pengadu dan rakannya menggunakan tangan dan topi keledar," katanya dalam satu kenyataan.

Suspek masing-masing ditahan pada kira-kira jam 2 pagi di Jalan Indahputra dan Kampung Melayu di Kulai, Johor.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 323 dan 506 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan dan ugutan jenayah.

Tindakan lelaki berkenaan menimbulkan kemarahan netizen, malah ada yang menggelarnya Hang Cangkul berikutan perbuatannya menggunakan cangkul ketika menyerang pekerja SAJ ./mstar

Anak derhaka tikam ibu bapa hingga mati ketika tidur

Seorang anak derhaka yang berusia 25 tahun telah menikam ibu bapanya hingga mati ketika mereka sedang tidur, sebelum keluar ke siber café dan bermain game di situ.

Lelaki itu, yang berasal dari Yanshi, China, dilaporkan berang kerana ibu bapanya memaksa dia berkahwin, lapor People’s Daily Online.

Malah selepas bermain game, dia yang bekerja di sebuah kedai bunga , pulang ke rumah seperti biasa, seolah-olah tiada apa yang berlaku.

Keadaan sebenar hanya terbongkar apabila datuknya yang mengunjungi rumah berkenaan, terhidu bau busuk dan alangkah terkejutnya dia apabila mendapati mayat anak dan menantunya telah reput.
Lelaki berkenaan kemudiannya mengaku menikam ibu dan bapanya yang masing-masing berusia 48 tahun itu.

Pemeriksaan polis terhadap mayat yang telah reput itu mendapati terdapat kesan tikaman di bahagian kepala dan dada manakala lelaki tersebut dilaporkan mabuk sebelum membunuh ibu bapanya.

Dia juga sebelum itu dilaporkan telah dipaksa ibu bapanya untuk mengadakan janji temu dengan seorang wanita. Malah biliknya turut dihias dengan cantik oleh ibu bapanya ketika mereka menanti lelaki itu membawa pulang menantu.
-kualalumpurpost

Bekas banduan rogol budak dan neneknya (Gambar)


Bekas banduan rogol budak dan neneknya

MURANG'A - KENYA. Seorang lelaki sanggup merogol neneknya berusia 98 tahun dan kanak-kanak berumur dua tahun yang juga jirannya beberapa bulan selepas dibebaskan dari penjara.

Bapa kepada seorang anak berusia 36 tahun itu sebelum ini dipenjara selepas melakukan seks dengan lembu kira-kira 500 meter dari rumah neneknya pada tahun 2013 dan dibebaskan pada tahun 2015.

Memetik Nairobi News, lelaki itu dikatakan telah menyerang neneknya 12 Oktober lalu sekitar jam 7.00 malam di perkampungan Gacharage di Mathioya.

Insiden itu disedari oleh sepupunya, Samuel yang mendengar jeritan daripada warga emas itu ketika melalui rumahnya.

Samuel bertindak untuk menyiasat, namun pintu rumah berkenaan terkunci dari dalam dan apabila dia berjaya memecah masuk, dia mendapati sepupunya itu dalam keadaan bogel.

Menyedari kehadiran Samuel, lelaki itu terus bertindak menumbuk Samuel sehingga menyebabkan dia tetap tidak sedarkan diri selama beberapa minit.

Lelaki itu kemudian membawa anak perempuan jirannya yang berusia dua tahun ke ladang berhampiran dan merogolnya sebelum melarikan diri.

Kanak-kanak itu ditemui oleh jiran tidak lama selepas itu dalam keadaan berlumuran darah dan dibawa ke hospital oleh ibu bapanya.

Operasi memburu suspek dijalankan dan akhirnya berjaya dikesan dan kini ditahan di balai polis Nyakianga.
-sinarharian

Papagomo kena lagi kali ini lebih RM 300,000

MALAYSIA DATELINE
Datuk Sukri Mohamed (kiri) dan Papagomo
Mahkamah Tinggi Kota Bharu hari ini mengarahkan blogger “Papagomo” atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris membayar gantirugi sebanyak RM300,000 disamping kos sebanyak RM30,000 kepada seorang peguam terkenal yang juga bekas ahli parlimen, Datuk Sukri Mohamed.

Peguam beliau, Hisham Fauzi berkata perintah ini dikeluarkan di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Malaya Kota Bharu, Mohamad Rosli Mohamed Nawi setelah perbicaraan taksiran gantirugi dijalankan di sini ekoran dari keputusan mahkamah sebelum ini yang menyatakan Wan Muhammad Azri bersalah kerana menulis dan menyebarkan artikel fitnah terhadap Sukri.

"Di dalam artikel yang ditulis dan disebarkan oleh Wan Muhammad Azri, Sukri dituduh telah menyelewengkan sejumlah wang yang dikaitkan dengan Istana Kelantan dan Yayasan Sultan Kelantan," katanya kepada Malaysia Dateline pagi ini.

Menurutnya mahkamah telah mendapati artikel ini adalah merupakan satu fitnah terhadap Sukri yang juga seorang Ahli Majlis Perajaan Negeri Kelantan.

"Perbicaraan kes ini berlarutan dari Mahkamah Tinggi Malaya Kota Bharu yang pada mulanya menolak tuntutan Sukri atas alasan tiada bukti jelas mengenai pemilikan blog “Papagomo”.

"Walau bagaimanapun Mahkamah Rayuan Malaysia kemudiannya telah membenarkan tuntutan Sukri dan kes ini berlanjutan hingga ke Mahkamah Persekutuan, Putrajaya yang telah di dengar pada bulan Jun yang lalu," katanya.

Di dalam perbicaraan kes ini Sukri diwakili peguam Hisham Fauzi manakala Wan Muhammad Azri diwakili peguam Hanif Idris

Lelaki terlampau: Kemaluan terpaksa dipotong setelah tersangkut pada lubang botol selama empat hari

Gara-gara mencari ‘keseronokan’ dengan menggunakan botol sebagai bahan seks, seorang lelaki kehilangan alat sulitnya yang terpaksa dipotong oleh doktor selepas ia tersangkut di dalam botol tersebut selama empat hari.

Lelaki yang berusia 50 tahun itu, telah dikejarkan ke hospital di Honduras selepas alat sulitnya bertukar hitam dan reput.

Difahamkan lelaki itu berbuat demikian untuk memenuhi nafsu syahwatnya memandangkan dia tidak mempunyai isteri atau teman wanita.

Namun malangnya botol tersebut gagal ditanggalkan.

Pembedahan memotong alat sulitnya itu dilakukan oleh Dr. Dennis Chirinos yang turut menyifatkan kes berkenaan sebagai ‘pelik’ tetapi mengakui pernah menyaksikan insiden sama sebelum ini.

Susulan keadaan itu juga, doktor memaklumkan lelaki itu tidak akan dapat melakukan seks lagi namun dia masih boleh kencing seperti biasa.

Lelaki terbabit dilaporkan tidak mendapatkan rawatan lebih awal sebaliknya hanya ke hospital selepas alat sulitnya bertukar hitam.

“Dia memasukkan alat sulitnya di dalam botol dan ini memaksa kita memotong keseluruhan alat sulitnya,” kata doktor.

Meskipun malu dengan kejadian itu namun doktor berkata, lelaki terbabit sepatutnya mendapatkan rawatan lebih awal selepas dia gagal menarik keluar alat sulitnya dari botol tersebut.

Dalam pada itu doktor turut mengingatkan kaum lelaki supaya memastikan alat sulit mereka bersih bagi melindunginya daripada jangkitan.

12 masalah dihadapi pembangkang pada PRU ke-14

Dr Syed Iskandar Syed Jaafar Al Mahdzar

Rakyat baru-baru ini dikejutkan dengan kehadiran Tun Dr Mahathir Mohamad di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bertemu dan bersalam serta berbincang dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai pendirian Dr M menyokong tindakan Anwar mencabar Akta Majlis Keselamatan Negara 2015 (Akta MKN).

Dr M bercadang memfailkan Affidavit Sokongan untuk menyokong permohonan Anwar dengan secara tidak langsung memulihkan kembali pasukan 2 negarawan yang pernah memimpin negara dengan cemerlang. Sekalipun minggu lepas Mahkamah Tinggi menolak permohonan Anwar namun ianya perkara biasa untuk merayu ke Mahkamah Rayuan memandangkan tindakan mencabar kesahan Akta MKN sebagai bertentangan atau ultra vires patut diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan sebagai mahkamah tertinggi negara ini.
Gandingan 2 negarawan ulung negara patut dihormati semua pihak termasuk pihak berkuasa yang menjaga keselamatan negara. Pihak berkuasa keselamatan negara patut mula mengadakan siri mesyuarat dan muhasabah tentang perkembangan semasa yang sedang berlaku. Sekiranya mereka mendapati arahan yang diterima daripada pemimpin politik yang sedang memimpin kerajaan tidak patut diterima atas pelbagai sebab kukuh maka itulah yang sewajarnya mereka lakukan demi menghormati semangat pakaian seragam pasukan masing-masing.

Kita patut berhenti menjadi seperti burung unta yang menyorokkan kepalanya ke dalam pasir tetapi seluruh badan yang begitu besar tetap jelas kelihatan pada semua. Seluruh dunia tidak mungkin cemburu dengan kejayaan kita. Apakah agaknya yang sebenarnya negara kita berjaya sehingga seluruh dunia dikatakan cemburu terhadap negara kita? Kejayaan Malaysia tiada di zaman pimpinan sekarang. Adakah jumlah rakyat yang begitu ramai menerima BR1M itu sesuai dikatakan satu kejayaan Malaysia? ‘Akai ada ka’, meminjam kata kata Idris Hashim dalam filem Laksamana Do Re Mi.

Belanjawan pimpinan sekarang yang asyik defisit dan hutang negara mencapai RM1 trillion serta pelbagai belanja seperti biasiswa, elaun pelajar samada dihentikan atau dilewatkan pembayarannya, sekadar menyebut satu dua contoh, boleh dianggap sebagai kejayaan negara untuk di cemburui oleh seluruh dunia sehingga menyebabkan mereka mula mengambil tindakan sivil dan jenayah terhadap syarikat hutang milik negara?

Rakyat mula beralih arah menyokong gabungan Pakatan Harapan dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia. Peralihan beramai-ramai daripada parti politik pemerintah dikatakan sebagai kecil dan tidak memberi kesan kepada mereka namun jika benar begitu, mengapakah media arus perdana yang setiap bulan perlu membayar akibat perintah mahkamah kerana asyik mencanangkan berita fitnah. Justeru jangan terperanjat, jika suatu hari nanti media-media ini tidak lagi wujud dan akhirnya lokasi asal operasi mereka akan di jadikan pusat pemprosesan najis manusia sebagai kenang-kenangan tentang apa yang mereka lakukan sebelum ini.

Masalah utama Pakatan Harapan ialah PPBM. Pertama, segolongan ahli-ahli ini sudah sebati membenci Anwar sehingga ada yang masih enggan menerima hakikat yang kedua negarawan sudah berbaik, dan bertindak lebih sudu dari kuah daripada pemimpin mereka sendiri yang berbaik demi untuk memastikan angka menyebelahi mereka semasa Pilihan Raya Umum ke-14 nanti. Golongan ini akan bermuka-muka dengan pemimpin sendiri namun tetap cuba mempengaruhi ahli lain supaya meneruskan kebencian tidak berasas terhadap Anwar melainkan asyik mengulangi skrip lama yang sememangnya sudah basi.

Masalah kedua segolongan ahli PPBM ialah ada yang masih menganggap DAP sebagai musuh walhal yang banyak menjahanamkan negara sebenarnya bukan DAP. Ini sekali lagi kerana sudah sebati dalam benak mereka yang berkenaan untuk membenci DAP selama-lamanya tanpa sebab munasabah kecuali asyik mengulangi segala jenis berita lapuk yang direka cipta semenjak mereka belum lahir lagi dan cuma menerima bulat-bulat tanpa menyemak apa yang dicanangkan pada mereka. Perbuatan golongan ini sebenarnya tidak akan membantu menambah jumlah undi dalam Pilihan Raya Umum ke-14 nanti memandangkan undi kaum Cina kini menyebelahi DAP bukannya MCA.

Kemenangan BN dalam 2 pilihanraya kecil tidak memberi indikasi yang pengundi Cina menyokong MCA memandangkan pengundi Cina mungkin tertarik kepada jumlah dana serta projek yang diperuntukkan di Kuala Kangsar dan Sungai Besar. Kehadiran golongan yang membenci DAP tanpa sebab, tanpa fakta, tanpa bukti boleh mengakibatkan angka yang diperlukan untuk berkuasa selepas Pilihan Raya Umum ke-14 mungkin tidak dapat dicapai.

Masalah ketiga ialah segolongan yang memasuki PPBM kerana mungkin beranggapan peluang mendapat kontrak perniagaan dengan mudah selepas menguasai kerajaan nanti, sekalipun baru menubuhkan syarikat tanpa sebarang kelayakan dan pengalaman, akan berpaling tadah jika terdapat janji yang lebih manis daripada pihak lain. Ini virus yang sukar dirawat kerana golongan ini tak ubah seperti broker angin yang cuma berpindah ke parti baru daripada parti asal mereka, Umno.

Masalah keempat ialah kemungkinan ada usaha dari dalam oleh penyokong Presiden PPBM dan penyokong Pengerusi PPBM untuk berebut jawatan di setiap negeri. Ini akan mengakibatkan perpecahan dalam kalangan penyokong sekalipun kedua pimpinan utama iaitu Pengerusi dan Presiden dilihat boleh bertolak ansur.

Masalah kelima datangnya daripada luar iaitu tekanan hebat daripada parti pemerintah, yang mungkin akan menamatkan sumber kewangan saf pimpinan Pakatan Harapan dan PPBM, mungkin bertujuan untuk melemahkan kemampuan kewangan sebelum Pilihan Raya ke-14.

Masalah keenam datangnya daripada Suruhanjaya Pilihan Raya yang memindah pengundi dengan cara yang tidak munasabah, dengan menjadikan setiap kawasan berasaskan kaum, atau pemindahan anggota pasukan keselamatan dengan begitu banyak kepada sesuatu kawasan.

Masalah ketujuh datangnya daripada PAS yang tidak lagi dihormati rakyat selepas ketiadaan 3 pimpinan utama iaitu almarhum Datuk Nik Aziz Nik Mat, almarhum Datuk Seri Azizan Razak serta almarhum Datuk Fadzil Noor. Pimpinan PAS sekarang lebih dilihat ingin membantu melindungi Umno yang dari segi sejarahnya parti berkenaan pernah menyebabkan ada pemimpin mereka terbunuh termasuklah ketika musim pilihan raya.

Blok ketiga yang diwujudkan PAS bersama parti yang tiada kerusi amat kabur status sebenarnya.

Manakala ‘saman hari Selasa’ pimpinan Umno sudah lebih setahun berlalu tanpa tindakan saman fitnah langsung terhadap WSJ, kini dikhuatiri akan diulangi PAS yang dilaporkan ingin menyaman Sarawak Report di London.

Tindak tanduk pimpinan baharu PAS yang mahu sambung bermusuhan dengan DAP seperti yang ditegaskan oleh Mursyidul Am PAS yang baharu, cuma memberi faedah kepada Umno. Agaknya mereka sudah lupa pesanan Nik Aziz supaya jangan dipatuk binatang berbisa dalam lubang yang sama 2 kali.

Tindakan serta pelbagai kenyataan pimpinan PAS ada masanya memang mahukan PAS tewas samada semasa PRU-13 di Terengganu ataupun Pilihan Raya Negeri Sarawak 2016 baru-baru ini.

Benar, iman tidak boleh diwarisi justeru ianya tidak memeranjatkan jika ada anak daripada kalangan keturunan ulama terbilang membuat pelbagai kenyataan yang dipercayai berbohong kepada rakyat, jauh berbeza dengan pendirian asal ayahanda sendiri. Seterusnya segolongan pimpinan PAS sekarang mungkin mengguna pakai apa-apa Qawaid Fiqiyyah atau Islamic Legal Maxims bagi menyokong apa-apa tindakan mereka seolah ia dapat mengubah tindakan yang umum lihat salah serta merugikan sebagai betul.

Masalah kelapan ialah, segala kecurangan berbukti termasuk bukti video yang melibatkan SPR ketika PRU-13 masih belum ada penutup yang memuaskan sehingga kini sekalipun sudah ada perbicaraan umum diadakan oleh pihak Bersih menerusi Tribunal Rakyat bagi mengadili apa yang berlaku.

Masalah kesembilan ialah kewujudan kumpulan samseng ‘Sharif Kampung Dusun’ yang cuma memainkan isu perkauman yang patut diambil tindakan serta merta oleh pihak berkuasa. Mereka ini boleh membahayakan keselamatan negara dengan pelbagai tindakan kasar serta ugutan jenayah.

Masalah kesepuluh ialah rakyat kita terlampau baik, tidak punyai kemahuan langsung untuk bertegas mempertahankan hak masing masing. Biarlah segala harta negara di rompak sehingga licin asalkan masih kerja masih dapat gaji masih dapat BR1M, biarlah.

Masalah kesebelas, mufti yang memilih-memilih dalam mengeluarkan pandangan yang diterima rakyat sebagai fatwa. Segala isu yang mungkin menjejaskan periuk nasi mufti, mereka akan memilih untuk membisu seperti lembu kenyang. Mereka cuma mahu bersuara bila ada isu remeh seperti Pokemon. Mungkin Sultan negeri masing masing patut memikirkan tindakan drastik yang sesuai terhadap mufti yang begitu.

Masalah kedua belas, kegagalan khutbah Jumaat menyedarkan umat Islam tentang isu penting yang memerlukan tindak balas segera melainkan cuma berterusan mengantukkan rakyat dengan bacaan khutbah yang berbentuk siaran ulangan topik yang sedia diketahui rakyat.

Akhir sekali rakyat masih meletakkan harapan kepada Majlis Raja-Raja untuk membantu apa yang termampu untuk memperbetulkan keadaan negara memandangkan Majlis Raja-Raja yang berkuasa memilih Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

Sembah takzim dan tahniah kepada Yang di-Pertuan Agong yang baru, Al-Sultan Kelantan serta Timbalan Yang di-Pertuan Agong yang baru, Tuanku Sultan Perak. Sesuai dengan ketinggian ilmu kedua baginda Sultan Kelantan dan Sultan Perak, InshaaAllah rakyat mengharapkan belas ikhsan baginda berdua untuk menyelamatkan negara dengan sekadar termampu, daripada segala kerosakan. Perlembagaan Persekutuan dengan jelas meletakkan Yang di-Pertuan Agong sebagai pemerintah tertinggi angkatan tentera. Ini juga telah disahkan dengan jelas berkali-kali dalam pelbagai peruntukan Akta Angkatan Tentera 1972. Manakala pada tahun 1958, Yang di-Pertuan Agong ketika itu turut berkenan menganugerahkan gelaran Diraja pada pasukan polis menjadi Polis Diraja Malaysia (PDRM). InshaaAllah di tahun 1438 Hijrah tahun baru dalam takwim Islam, rakyat mendoakan keadaan dapat pulih dengan kerjasama semua pihak kecuali golongan penjenayah yang patut segera disiasat dan didakwa tanpa mengira jawatan mereka yang masih berkuasa.

Wallahualam.

Dr Syed Iskandar Syed Jaafar Al Mahdzar ialah peguam di Kuala Lumpur.

Pilihan raya mengejut di Johor?

MALAYSIA DATELINE
Pilihan raya negeri Johor dijangka akan diadakan berasingan dalam waktu terdekat ini kata Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong.

DAP katanya, sudah mengadakan persiapan untuk berdepan dengan pilihan raya negeri Johor yang dijangka akan diadakan dalam waktu terdekat ini, malah yakin bahawa semua anggota Pakatan Harapan mampu menggembleng sepenuh tenaga bagi menghadapinya.

Menurutnya parti itu telah menjangkakan kemungkinan berlakunya pilihan raya negeri awal sebelum ini dan telah mewujudkan sebuah jawatankuasa persediaan pilihan raya di Johor.

Jangkaan itu katanya didasari pelbagai faktor, termasuk sentimen negatif terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di kalangan rakyat negeri berkenaan.

Ia jelas terbukti dengan tinjauan Merdeka Centre di kawasan Kluang yang menunjukkan 65% pengundi di sana tidak berpuas hati dengan prestasi Najib. Malah, di kalangan orang Melayu, bilangan mereka yang tidak berpuas hati (50%) adalah lebih tinggi dari yang berpuas hati (42%).

“Di kalangan kakitangan kerajaan dan badan berkanun yang biasanya lebih cenderung menyokong kerajaan, 45% tak berpuas hati dengan prestasi Najib, berbanding hanya 42% yang berpuas hati,” katanya dalam satu kenyataan dipetik Roketkini.

Perkara itu, katanya, berbeza dari tinjauan yang dilakukan pada Februari 2013 yang lalu, di mana Najib mendapat respon positif sebanyak 59%.

“Ini menunjukkan terdapat perubahan persepsi yang besar terhadap Najib dalam tempoh tiga tahun.

“UMNO Johor amat sedar akan persepsi negatif terhadap Najib yang berpotensi membawa kejatuhan kerajaan BN pada pilihan raya,” jelasnya.

Chin Tong berkata demikian ketika mengulas laporan akhbar The Star semalam bahawa majoriti wakil rakyat UMNO Johor menyatakan sokongan untuk pilihan raya negeri yang berasingan dalam satu komunikasi kumpulan dalaman parti itu.

Sokongan itu berpunca daripada kebimbangan akan diseret dengan skandal memalukan Najib yang semakin didedahkan badan-badan antarabangsa, serta bagi mencegah bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan parti barunya menjadi kuasa pilihan raya utama di Johor.

Chin Tong yang juga Ahli Parlimen Kluang berkata, UMNO amat takut dengan potensi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Muhyiddin dalam mewujudkan gelombang pilihan raya di kalangan penyokong yang sebelum ini setia dengan parti itu.

Tambahnya, wujud rasa panik juga di kalangan pemimpin UMNO berikutan perpindahan Adun Jorak, Datuk Shahruddin Salleh ke Parti Bersatu yang menyebabkan Barisan Nasional hilang majoriti dua pertiga di Dewan Undangan Negeri.

“Adalah satu mitos mengatakan pihak pembangkang telah tewas apabila UMNO Johor dan Khaled Nordin ‘berjaya’ sebagai kerajaan.

“Pada minggu dan bulan akan datang, kita akan terus mencabar Khaled Nordin dalam dasar-dasar kerajaan negeri yang mengecewakan rakyat seperti pengangkutan awam, pengurusan air, gelembung hartanah dan krisis perumahan,” katanya.

Chin Tong yakin bahawa politik Johor sedang berada dalam masa yang dinamik dan pihak pembangkang mampu melakukan yang terbaik bagi memenangi hati pengundi-pengundi di negeri itu.