Pensyarah hadis terkejut MP PAS nak sekeh kepala mufti

Seorang pensyarah universiti menyambut 'tawaran' debat Anggota Parlimen Kuala Nerus Datuk Dr Khairuddin Aman Razali yang mempertikaikan sikap sesetengah pihak menolak cadangan pindaan Akta 355.

Menurut Dr Rozaimi Ramle beliau "dengan rendah hati" menerima tawaran Khairuddin untuk berdiskusi atau berwacana mengenai isu berkenaan.

"Mungkin ada perkara yang beliau (Khairuddin) tahu yang saya tidak tahu, maka saya boleh belajar (daripada) beliau melalui diskusi ini," kata Rozaimi melalui kemas kini status Facebooknya hari ini.

Bersama kenyataan itu ialah klip video memaparkan Khairuddin berceramah mengenai pindaan Akta 355.

Melalui ceramahnya Khairuddin berkata, beliau berani mengatakan bahawa wajib melakukan pindaan pada akta berkenaan dan bersedia berhujah dengan sesiapa yang mengatakan sebaliknya.

Malah, pada klip video sepanjang kira-kira 4.30 minit itu Khairuddin juga mencadangkan supaya disekeh kepala mufti yang menganggap pindaan Akta 355 itu bukan wajib.

"Yang kita (PAS) bawa itu membolehkan hukum Allah dilaksanakan di peringat negeri. Tidakkah ia menjadi wajib? Wajib ke, sunat?" katanya bertanya kepada hadirin.

Ia kemudian dijawab "wajib" oleh orang ramai.

"Wajiblah. Sunat ikut mana? Kalau ada Tok Peti (mufti) kata (pindaan itu) sunat, sekeh kepala dia," katanya lagi.

Butiran tentukan kemudian

Khairuddin yang juga ketua penerangan Dewan Ulama PAS kemudian menyatakan kesediaannya berhujah dengan sesiapa yang tidak sependapat dengan pendirian PAS itu.

"Saya nak ajak berhujah, siapa pun yang menyatakan pinda Akta 355 (adalah) harus, sunat ke, makruh ke, haram ke, saya nak ajak berhujah dengan saya.

"Saya berani berhujah (bahawa) pinda Akta 355 adalah wajib, bukan sunat, bukan harus, apatah lagi makruh atau haram.

"(Ia) wajib disokong. Kenapa? Sebab dengan pinda Akta 355 itulah tiga kesalahan jenayah Islam (iaitu zina, qazaf dan meminum arak) dapat dihukum mengikut al-Quran dan sunnah Nabi SAW.

"Takkan benda macam ni mufti Perlis tak boleh faham?" katanya pada ceramah yang dipercayai diadakan pada 12 Februari lalu.

Rozaimi berkata beliau memperoleh rakaman berkenaan daripada seorang sahabatnya.

"Setelah menontonnya, saya terkejut dengan bahasa yang digunakan sehingga nak sekeh kepala mufti," katanya.

Dalam video ini juga, kata Rozaimi, Khairuddin mencabar mana-mana pihak untuk berhujah dengan beliau tentang isu kewajipan menyokong cadangan meminda Akta 355 yang dibawa oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Justeru beliau menerima tawaran berkenaan"dengan rendah hati".

"Penganjur, format dan lokasi diskusi akan ditentukan kemudian. Moga Allah menunjukkan kita kebenaran," katanya.

Sebenarnya kedua-dua tokoh terbabit bukanlah asing sejak akhir-akhir ini.

Rozaimi pada hujung Oktober tahun lalu pernah menyatakan pertemuan dengan wakil PAS bagi mendapatkan gambaran mengenai cadangan parti itu membawa usul meminda Akta 355 di parlimen.

Bagaimanapun Rozaimi kurang berpuas hati selepas ada anggota parti itu memberi gambaran kurang tepat mengenai pertemuan berkenaan.

Justeru pensyarah Universiti Pendidikan Sultan Idris itu bercadang untuk mendedahkan rakaman perbualan mereka.

Khairuddin pula beberapa hari lalu menjadi sasaran sindiran dan kecaman sesetengah pihak ekoran pendedahan mengenai hadiah kereta Audi Q7 kepada isterinya.

Hubungan antara Rozaimi dan Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dilihat memang dekat dan kedua-dua mereka sering sepentas ketika berceramah.

Pendekatan kedua-dua tokoh terbabit juga dilihat sama antara satu sama lain.
-malaysiakini

Tiada ulasan:

Catat Ulasan