AWAS!! MCA terbukti kini jadi agen negara komunis China

Bekas duta: MCA kini macam cawangan kedutaan China
FMT Reporters

PETALING JAYA: Duta Besar China ke Malaysia, Huang Huikang semakin melibatkan diri dalam politik tempatan di sebalik hubungan rapat Malaysia-China, menurut seorang diplomat veteran, yang memberi peringatan akan kesannya terhadap kedaulatan negara.

“Beliau tekun menjelajah negara, dan kerap ditemani ahli politik MCA dan Umno, mengunjungi berpuluh-puluh sekolah Cina dan menyalurkan beratus ribu ringgit dalam bentuk bantuan dan biasiswa,” bekas duta Malaysia ke Kanada, Datuk Dennis Ignatius menulis dalam FMT hari ini.

Menurutnya, Huang juga berjanji mewujudkan program latihan bersama guru sekolah, yang antara lain boleh menyaksikan penyertaan lebih ramai guru dari tanah besar China di sekolah tempatan.

Dennis berkata MCA kini bertindak seolah-seolah ia cawangan kedutaan China dan bukan sebagai sebuah parti politik yang menyertai kerajaan.

“Baru-baru ini, ia menubuhkan sebuah jawatankuasa hal-ehwal China di samping sebuah pusat OBOR,” kata Dennis, merujuk kepada projek One Belt One Road, laluan sutera dan laluan laut yang diwujudkan China bagi mengawal ekonomi serantau.

Tambahnya, MCA mempromosikan OBOR mengalahkan kempen yang dijalankan kedutaan China sendiri.

“Ada yang berhujah tindakan sedemikian menjadikan MCA sebagai penggerak utama pengaruh dan propaganda China di negara ini kini,” katanya.

Katanya, dasar “pro-China” yang diamalkan kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak adalah paling ketara dalam sejarah, dan Beijing kini semakin menyerlah memainkan peranan dalam politik tempatan.

Dennis, yang mempunyai pengalaman lebih 3 dekad dalam perkhidmatan diplomasi Malaysia, berkata penglibatan China juga dapat dilihat melalui sokongan terbuka diplomatnya terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN), termasuk melalui kehadiran pegawai kedutaan di program politik melibatkan Umno, MCA dan Gerakan.

Tahun lalu, duta besar China menemani Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong dan Adun MCA Teoh Yap Kun untuk melakukan lawatan ke kawasan Parlimen Semborong dan kawasan DUN Paloh.

Diplomat China juga dilihat bersama pemimpin kanan MCA menghadiri mesyuarat Persekutuan Persatuan Hakka Malaysia di Raub, Pahang, di samping bersama Presiden Gerakan Datuk Mah Siew Keong di Teluk Intan.

“Dalam semua kunjungan ini, diplomat China mengambil peluang memuji pentadbiran Najib, menekankan kepentingan MCA dan menegaskan yang hubungan yang dibina dengan China akan banyak menguntungkan masyarakat Cina di Malaysia,” kata Dennis.

November lalu, Najib mengetuai rombongan ke Beijing yang turut disertai 8 menteri dan 3 menteri besar, dalam apa yang dilihat pemerhati sebagai kecenderungan Putrajaya terhadap China.

Lawatan itu menyaksikan 14 perjanjian melibatkan pelaburan bernilai lebih RM143 bilion, termasuk penglibatan China dalam Bandar Malaysia dan Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) bernilai RM55 bilion.

Dennis berkata sokongan dan kenyataan diplomat China itu boleh dianggap ugutan terhadap masyarakat Cina negara ini supaya mengalihkan sokongan mereka kembali kepada Umno dan BN.

Menurutnya, pihak yang paling rugi sekiranya strategi ini berjaya adalah DAP yang menjadi pencabar utama MCA dalam meraih undi Cina.

Dennis berkata, tekanan Beijing itu memaksa DAP bersikap lebih “sederhana” dalam menentang beberapa keputusan memberikan projek besar kepada China.
Dennis mengakui apa yang diutarakannya boleh ditafsirkan sebagai menyebarkan dakyah anti-China.

“Ini bukan mengenai pro-Barat atau pro-China tetapi memastikan tidak ada negara, sama ada di timur atau barat, yang dapat mendominasi kita sehinggakan kita hilang upaya untuk menentukan haluan sendiri,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan