Kelucahan melampau: Pemandu van didakwa onani dalam lif

Kuala Lumpur – Seorang pemandu van sebuah kedai cat dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan melakukan perbuatan kelucahan melampau iaitu dengan beronani di dalam lif minggu lepas.

Mohamad Syahrul Azizi Shah Fri, 28, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu yang dibacakan di hadapan Majistret Mahyudin Mohmad Som.

Lelaki itu didakwa telah melakukan perbuatan kelucahan melampau iaitu dengan beronani sehingga air maninya didakwa mengenai seorang wanita yang berusia 34 tahun di dalam lif, sebuah pangsapuri, di Bandar Tasik Selatan pada 7.50 pagi 16 Mac lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nur Farah Adilah Noordin tidak menawarkan sebarang jaminan.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam, Azi Azlin Zulkifli merayu supaya dibenarkan diikat jamin yang minimum dengan alasan dia berjanji tidak akan menganggu mangsa.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin serta melarang tertuduh mendekati mangsa dan menetapkan 14 April ini untuk sebutan semula kes.
-Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan