Kondo berpuaka 'tarikan' pelancong

Tranungkite
Luar Negara Sebuah bangunan 49 tingkat di Bangkok dibina sebagai kondominium mewah untuk didiami oleh keluarga kaya terbengkalai apabila Thailand dilanda krisis kewangan Asia pada 1997.

Selepas 20 tahun, bangunan itu kini dikenali sebagai ‘Menara Hantu’ oleh penduduk setempat tetapi reputasi yang menyeramkan menjadikan kawasan itu tumpuan pelancong.
Ketika letusan ekonomi pada awal 1990-an, banyak bangunan pencakar langit dibina di Bangkok. Syarikat pemaju mengaut untung berlipat kali ganda dengan menjual hartanah di kawasan bandar dan lokasi pelancongan popular.

Apabila krisis kewangan Asia melanda pada 1997, hampir semua pembinaan berkenaan terhenti. Kira-kira 500 projek pembinaan besar daripada pusat beli-belah hinggalah landasan kereta api bertingkat terbengkalai.

Beberapa tahun berikutnya, ada antara projek berkenaan diteruskan tetapi bukan menara yang dinamakan Sathorn Unique ini. Mempunyai ketinggian 185 meter, menara itu adalah antara bangunan pencakar langit tertinggi yang terabai di dunia.

Bagaimanapun, pada setiap hari, beratus-ratus pelancong mengunjungi menara itu dan memberi rasuah 200 baht (RM25) kepada penjaga untuk bergambar dan merakamkan video di bangunan usang berkenaan.

“Gambar di sini kelihatan sangat luar biasa,” kata Sorcha O’Malley, pelancong dari Ireland yang dilihat merakam gambar di tepi lorong di menara itu. Dia mendongak ke atas dan berkata, “Saya sangat berharap dapat mengambil gambar di atas sana.”

“Berjalan di sini sahaja sudah membuatkan jantung saya berdegup kencang,” kata pelancong dari Jerman, Annikha Mahnke. “Ia pengembaraan yang luar biasa hebatnya apabila naik ke atas,” tambahnya.

Pada April 2015, dua pelari bebas atau parkour merakamkan aksi lincah mereka meloncat dan berlari di bangunan berkenaan dan memuat naik video itu ke YouTube. Lantas video itu menular sekali gus menarik ramai golongan muda ke bangunan tinggal berkenaan.

Bagi pemilik Sathorn Unique, Pansit Torsuwan, aksi sebegitu sudah cukup untuknya bertindak menutup laluan ke tingkat atas.

“Saya khuatir kerana pembinaan ini tidak siap dan sangat bahaya membenarkan orang ramai naik ke tingkat atas,” jelasnya.

Beberapa tahun lalu, seorang lelaki Sweden menggantung diri di tingkat 43. Mayatnya yang sudah reput ditemui beberapa minggu kemudian sekali gus menguatkan reputasi bangunan itu sebagai ‘Menara Hantu’.

Penjaga bangunan, Suwaschai Dadaelor berkata, bangunan itu memang berhantu kerana dibina di atas tapak perkuburan lama.

“Setiap hari saya memberi penghormatan kepada roh di sini supaya tidak mengganggu saya.

“Ramai pengunjung termasuk saya sendiri pernah diganggu hantu di sini,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan