Laporan oleh Bruno Manser Fund (BMF) Swiss memperincikan empayar perniagaan hartanah keluarga Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud di Kanada yang bernilai sekitar CA$200 juta (RM664 juta).
Laporan setebal 86 muka surat bertajuk 'Safe Haven Canada' itu dibentangkan di Parlimen Kanada semalam.
Laporan itu mendakwa keluarga Abdul Taib yang menyalurkan sekurang-kurangnya CA$69.8 juta (RM232 juta) kepada kumpulan syarikat Sakto milik keluarga itu untuk pelaburan hartanah.
"Safe Haven Canada menunjukkan bagaimana keluarga Abdul Taib membangunkan model perniagaan yang menyebabkan firma hartanah Sakto di Ottawa maju walaupun mengalami kerugian berterusan.
"Rahsia di sebalik keajaiban ekonomi ini adalah penyaluran dana daripada pemiliknya di Malaysia," kata BMF yang berpangkalan di Switzerland dalam kenyataan semalam.
Sakto diasaskan oleh adik beradik Abdul Taib, Onn Mahmud dan anak-anaknya, Jamilah Taib Murray dan Mahmud Abu Bekir Taib pada tahun 1983.
Laporan itu menyatakan bahawa Abdul Taib yang juga bekas ketua menteri Sarawak memberitahu dalam satu wawancara bahawa beliau memberikan sejumlah wang kepada Jamilah untuk memulakan perniagaan di Ottawa.
Abdul Taib mendakwa, wang tersebut daripada ganjaran yang beliau terima apabila meletak jawatan daripada kerajaan Persekutuan pada tahun 1981.
Laporan berkenaan turut memetik satu surat tahun 2014 oleh suami Jamilah dan presiden Sakto, Sean Murray kepada Toronto Staryang mendedahkan pemegang saham syarikat adalah Jamilah dan tiga ahli keluarga yang lain termasuk Onn.
Murray juga menafikan penglibatan Abdul Taib dalam syarikat itu.
-Malaysiakini
Tiada ulasan:
Catat Ulasan