Makanan, rumah lebih utama berbanding RUU 355 - Pensyarah Jabatan Akidah Pemikiran Islam

ARIF ATAN
Dr Mohd Kamil Abd MajidAhli akademik kanan sebuah universiti awam terkemuka menyifatkan usaha memenuhi keperluan asasi rakyat harus diberi keutamaan terlebih dahulu berbanding Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016.
Pensyarah Jabatan Akidah Pemikiran Islam, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM) Dr Mohd Kamil Abd Majid berkata, rakyat pada masa ini memerlukan makanan dan kediaman walaupun tidak dinafikan manfaat pindaan Akta 355 itu.

"RUU (355) bagus tapi beri kenyang rakyat dan beri rumah kepada rakyat lebih aula masa ini," katanya dipetik daripada status Facebook miliknya.

Beliau juga berpendapat hanya rakyat yang tidak memiliki rumah dan tiada makanan mencukupi lebih memahami realiti berkenaan.

Dalam satu reaksinya terhadap komentar pengguna media sosial itu tentang pandangan beliau yang mungkin sukar diterima orang lain termasuk mengundang label negatif, beliau menjawab, "Allah terima" dan "Biar Allah yang label. Manusia sama di depan-Nya".

Pengasas di Yayasan Usuluddin Malaysia itu turut mengakui pendapat salah seorang netizen tentang perlunya wang tajaan menunaikan umrah disalurkan bagi tujuan membina rumah yang mampu rakyat miliki.

Polemik mengenai RUU 355 yang dibawa Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berlarutan sehingga dilihat mengundang permusuhan dalam masyarakat sesama Islam dan antara agama di negara ini.

Walau bagaimanapun, Presiden Pas itu dalam usul persendirian yang dibacakan di Dewan Rakyat tahun lalu telah bertindak menangguhkan pembentangan pindaan akta tersebut ketika penyokong taksub parti tersebut mendesak supaya disegerakan.

Dua kali berturut-turut Abdul Hadi meminta perbahasan mengenai RUU itu ditangguhkan. Kali pertama pada 26 Mei iaitu 10 hari sebelum penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar diikuti 24 November lalu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan