Tahniah, hubungan Umno-Pas berkembang setapak lagi

MALAYSIA DATELINE

Hubungan Umno dan Pas berkembang setapak lagi apabila pemimpin Umno kini dijemput masuk ke pejabat lidah rasmi parti itu, Harakah hari ini.

Slot Bicara Harakah yang diadakan setiap minggu pada hari Khamis itu membicarakan pelbagai sudut berkaitan pasca Rang Undang-Undang 355 (RUU 355) yang dibentangkan oleh Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Parlimen.

Buat pertama kali pimpinan Umno dijemput hadir ke pejabat rasmi Harakah untuk berdiskusi mengenai Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Pindaan 2016) atau Akta 355 dengan tajuk: "Syariah Diperkasa Rakyat Sejahtera."

Panelis dari Umno yang dijemput ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Selain bekas menteri besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Ketua Penerangan Pas Nasrudin Hassan Tantawi.

Manakala moderator oleh Pengarah Komunikasi Korporat Pas Roslan Shahir Mohd Shahir.

Dalam RUU 355 Umno-Pas pernah bersama dipentas ceramah dalam himpunan `ungu'  RUU 355 yang diadakan di Padang Merbok pada 18 Februari lalu yang turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan  Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Zulkifli Mohd Al-Bakri.

Perhimpunan tersebut bertujuan memberi penjelasan dan meraih sokongan terhadap RUU 355 bagi memperkasa mahkamah syariah dalam melaksanakan hukuman jenayah.

Pas dilihat semakin mengeratkan hubungan kerjasama berkaitan isu keagamaan dan kemanusiaan bersama pimpinan Umno setelah menolak kerjasama dengan Pakatan Harapan dalam isu sama.

Sebelum ini Umno-Pas telah bekerjasama dalam dua misi kemanusiaan Rohingya dengan mengadakan Solidariti Ummah Rohingya pada Disember tahun lalu di Stadium Tertutup Tasik Titiwangsa.

Kemudian disusuli dengan penyerahan bantuan kemanusiaan menerusi pelayaran kapal Nautical Aliya dalam misi "Food Flotilla for Myanmar" pada 2 Februari lalu.

Kerjasama Umno-Pas ini tercetus dalam Multaqa Serantau Alumni Al-Azhar Malaysia 2015 yang diadakan di sebuah hotel di Kuala Lumpur yang turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak dan Pas diwakili Presidennya.

Sebanyak tujuh resolusi dimuktamadkan dan antaranya Alumni Al-Azhar bersetuju mewujudkan sebuah jawatankuasa yang akan menjadi pihak ketiga menyediakan platform penyatuan pemimpin Umno dan Pas dalam satu pentas yang sama.

Ia adalah cadangan yang dilontarkan oleh Pengerusi Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah, Tan Sri Johan Jaaffar yang menjadi moderator pada forum Perpaduan Ummah Merentasi Ideologi bersempena Multaqa Serantau Alumni Al-Azhar Malaysia yang diadakan itu

Tiada ulasan:

Catat Ulasan