Mahkamah arah Razman bayar kos tangguh bicara saman Nizar

MUHAMMAD FAEEZ AZAHAR
Pesuruhjaya Pas Perak Razman Zakaria hari ini memohon perbicaraan kes saman yang dikemukakan oleh Timbalan Pengerusi Amanah Perak Datuk seri Ir Nizar Jamaluddin ditangguhkan.

Mahkamah Sesyen Ipoh sebelum ini telah menetapkan hari ini dan esok sebagai hari perbicaraan saman tersebut.

Penangguhan tersebut dibuat kerana Razman memfailkan Permohonan Pihak Ketiga bagi mengheret pihak akhbar Sinar Harian yang melaporkan kenyataan fitnah Razman tersebut di dalam prosiding.

"Walaupun permohonan itu melibatkan defendan dan Sinar Harian, saya sebagai peguam plaintif (Nizar) telah menyatakan bantahan di hadapan Puan Hakim sebentar tadi terhadap permohonan defendan tersebut yang telah difailkan terlalu lewat.

Mohd Fitri Asmuni"Sedangkan perbicaraan telah pun ditetapkan dan mereka boleh memfailkannya dengan lebih awal," kata peguam plaintif, Mohd Fitri Asmuni ketika ditemui.

Menurutnya, hal ini telah memprejudiskan Mohammad Nizar selaku plaintif dalam kes ini yang terpaksa menunggu lebih lama untuk kes ini diselesaikan sejak ianya difailkan pada Ogos, 2015.

Jelas Fitri, Puan Hakim yang ditemui di dalam Kamar Hakim turut mempersoalkan tindakan defendan tersebut.

"Puan Hakim memaklumkan bahawa beliau memang mahu bicara dijalankan pada hari ini dan esok, tetapi terkejut bila pagi tadi peguam defendan tiba-tiba memohon penangguhan.

"Akan tetapi, penangguhan terpaksa juga dibenarkan oleh mahkamah walaupun mahkamah mahu kes ini dibicarakan pada hari ini untuk memberi ruang kepada permohonan defendan tersebut," katanya.

Ujarnya, beliau sendiri telah meminta anak guamnya hadir ke mahkamah pagi tadi dan bersedia sekiranya mahkamah mahu bicara diteruskan.

"Tetapi oleh kerana kes terpaksa ditangguhkan, maka saya telah memohon suatu kos diberikan kepada plaintif akibat dari penangguhan yang tidak wajar itu.

"Mahkamah membenarkan permohonan saya dan memerintahkan Razman membayar kos sebanyak RM500 kepada plaintif untuk hari ini," jelasnya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, peguam plaintif telah meminta mahkamah mengarahkan Razman membayar kos sebanyak RM8,000 pada hari ini.

"Kos RM8,000 tersebut adalah berkaitan dengan permohonan membatalkan saman yang difailkan oleh Razman terhadap Nizar serta permohonan membatalkan tuntutan balas yang difailkan oleh Nizar terhadap Razman," katanya.

Menurut Fitri juga, Razman telah kalah dalam kedua-dua permohonan tersebut dan mahkamah telah memerintahkan Razman membayar kos masing-masing sebanyak RM5,000 dan RM3,000 kepada plaintif.

"Perintah tersebut telah dibuat sejak 24 November 2016 iaitu 5 bulan yang lalu, tetapi sehingga ke hari ini Razman masih gagal membayar kos RM8,000 itu kepada plaintif walaupun telah beberapa kali diminta.

"Jadi saya minta Mahkamah arahkan Razman bayar kos tersebut hari ini juga dan jika gagal, Razman mesti dikenakan hukuman Hina Mahkamah", jelas Fitri lagi.

Mahkamah membenarkan permohonan Fitri dengan mengarahkan Razman membayar kos RM8000 termasuk RM500 tetapi memberi peluang selewat-lewatnya sehingga Jumaat ini.

Tahun lalu, Mantan Menteri Besar Perak itu memfailkan tuntutan fitnah sebanyak RM3 juta terhadap Razman yang didakwa memfitnahnya sebagaimana artikel yang tersiar di dalam akhbar Sinar Harian edisi Perak bertarikh 2 Jun 2015, bertajuk Pendekatan Nizar mirip DAP.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan