Meneka-neka apa yang dicari Pas dalam PRU14

HAYAR HASSAN
“UMNO TIDAK DAMBAKAN TAHALUF SIYASI DENGAN PAS", itulah salah satu tajuk berita akhbar Sinar Harian Ahad, tanggal 14 Mei 2017. Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (DSAZ) dilaporkan berkata ahli Umno perlu menghormati setiap keputusan Pas dan mengiktiraf parti itu dalam senario politik di negara ini. Seterusnya beliau berkata pertandingan tiga penjuru dalam Pilihan raya Umum (PRU) Ke-14 itu nanti adalah bakal menjadi suatu realiti. Sepertinya teka teki corak pertandingan PRU Ke-14 semacam sudah dimuktamadkan.

Sekurang-kurangnya untuk setiap kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (Dun), pertandingan tiga penjuru sudah pasti akan berlaku. Umno-BN sepertinya sudah memperoleh apa yang telah dirancang dan diharapkan oleh mereka. Banyak orang berpendapat strategi tiga penjuru ini sudah dirancang selepas PRU12 lagi, di mana BN telah dinafikan majoriti 2/3 di Parlimen untuk kali pertama dalam sejarah PRU Malaysia!

Umno-BN mungkin berpendapat, strategi ampuh untuk terus menguasai tampok kuasa di Putrajaya adalah dengan merobehkan kesepakatan Pakatan Rakyat (PR) yang telah menjadi saingan utama kepada Umno-BN selepas PRU12. Langkah awal strategi menghuru-harakan PR yang telah berjaya menawan 82 kerusi Parlimen dan lima Dun adalah dengan melontarkan idea Kerajaan Perpaduan @ Unity Government di Perak. Agak menghairankan juga idea Kerajaan Perpaduan ini tidak diteruskan untuk negeri-negeri Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang dan Kedah. Akhirnya jatuh juga Kerajaan PR di Perak setelah sempat berkuasa untuk tempoh sekitar dua tahun.

Sebenarnya, gagasan Kerajaan Perpaduan ini ditentang kuat oleh Almarhum Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat (TGNA), Mursyidul Am Pas ketika itu yang juga Menteri Besar Pas Kelantan. Presiden Pas, Tuan Guru Datuk Seri Hadi Awang tidak pula begitu mempromosikannya mungkin kerana disibukkan dengan tugasnya sebagai Menteri Besar Terengganu atau pun kerana masih punya rasa hormat terhadap TGNA.

Rupanya setelah Pas gagal mempertahan Kedah dan Terengganu dalam PRU13, strategi menghuru-harakan PR terus dilaksanakan secara diam. Daripada parti-parti dalam gabungan PR, PKR dan DAP agak sukar untuk diperalatkan kerana pemimpin-pemimpinnya bijak dari sudut menyusun strategi politik. Matlamat utama mereka adalah lebih jelas, untuk mengambil alih Putrajaya dan menawarkan gaya pentadbiran baru untuk rakyat Malaysia.

Pas yang masih mampu bertahan di Kelantan, dilihat dalam keadaan yang lemah dan diterajui oleh pemimpin yang juga lemah. Melihat keadaan ini, tanpa disedari, Pas telah dijadikan sasaran oleh Umno BN dalam grand design mereka menghuru-harakan PR. Maka berlakulah apa yang telah kita ketahui bersama. PR akhirnya terkubur pada 16 Jun 2015. Umum berpendapat, keberhasilan grand design ini sebenarnya adalah hasil kerja kuat bekas orang kuat Pas juga yang telah diperalatkan oleh Umno-BN. Bekas orang kuat Pas ini dikatakan menerima banyak manfaat peribadi daripada Putrajaya.

Setelah PR terkubur, hala tuju Pas semakin bercelaru dan bersimpang siur. Ahli-ahli Pas tertanya-tanya ke manakah arah perjuangan parti akan dibawa? Semenjak tertubuhnya Pas pada tahun 1947, ahli-ahli Pas telah didoktrinkan untuk menentang Umno-Perikatan-BN habis-habisan. Tiba-tiba sekarang ini Pas agak lunak terhadap Umno-BN dan seolah-olah menghulurkan tangan persahabatan. Slogan Politik Matang Dan Sejahtera dijaja ke seluruh negara. Pas sekadar ingin menjadi penasihat kepada kerajaan yang ada sekarang di Putrajaya. Akhirnya lahirlah Parti Amanah Negara (AMANAH) dan wujudlah Pakatan Harapan (PH) menggantikan PR.

Melihat akan apa yang telah berlaku kepada Pas sekarang ini, saya teringat akan watak utama siri sinetron paling popular di Indonesia Tukang Bubur Naik Haji. Pada waktu ini di Malaysia, ia disiarkan melalui saluran 141 Astro. Sinetron terpopular ini mampu bertahan selama lima tahun dan mempunyai 2085 siri! Watak utamanya adalah Haji Mohidin, seorang tua yang tidak seberapa ilmu agamanya, sombong dan bebal. Dia mahu semua orang menghormatinya, mengikut cakapnya hanya sekadar kerana dirinya seorang tua dan sudah dua kali naik haji, bukan kerana ilmu agamanya dan kebijaksanaannya bergaul dalam masyarakat. Sesiapa yang berbeza pendapat dengannya adalah tidak betul pada pandangannya dan akan dianggap musuhnya. Apakah kini watak Haji Mohidin ini menjelma dalam diri pimpinan Pas sekarang ini?

Dalam melihat kecelaruan hala tuju Pas akhir-akhir ini, mungkin apa yang didambakan oleh Pas sekarang ini adalah sekadar meraih ucapan pujian hormat dan kurang kritikan dari pimpinan parti-parti lain, bukannya untuk memenangi pilihan raya dan menawarkan perkhidmatan cemerlang kepada rakyat. Parti-parti lain yang banyak mempertikaikan gerak kerja Pas akan dianggap musuh utama. Itulah yang terjadi kepada pimpinan PKR, DAP dan AMANAH sekarang ini!

Untuk waktu sekarang ini, mungkin bagi Pas, menyertai PRU adalah hanya sekadar untuk menunjukkan kepada rakyat bahawa Pas masih wujud, relevan, mampu bergerak secara sendirian tetapi masih penuh bergaya! Sepertinya ucapan Datuk Seri Dr Ahmad Zahidi itu sudah memenuhi citarasa dan kehendak pimpinan Pas waktu ini. Tidak menghairankan berita-berita berkaitan ucapan-ucapan pimpinan Pas waktu ini sering termuat di dada akhbar-akhbar dan stesen-stesen TV pro Putrajaya. Orang Perak kata, “Teman edak kisah nak jadi ape, bior pape ase bergaye Yeo".

Persoalannya adakah itu saja yang dicari oleh pimpinan Pas sekarang ini? Apakah tidak ada tawaran-tawaran istimewa lain yang boleh diketengahkan kepada pengundi-pengundi PRU14 nanti? Adakah memadai slogan Politik Matang dan Sejahtera itu boleh memukau pengundi-pengundi dalam PRU14 itu nanti dan Pas mampu memenangi 80 kerusi Parlimen dan menawan 5 buah negeri?

Sejarah demokrasi Malaysia sudah membuktikan bahawa ada parti-parti politik lama di negara ini seperti USNO, BERJAYA dan PPP berkubur kerana pimpinan parti-parti tersebut tidak bijaksana dan tidak pandai mengatur strategi-strategi menghadapi sepak terajang Umno-BN. Mungkin kah masa depan Pas akan berakhir seperti parti-parti tersebut? Sama-samalah kita tunggu akan keputusan PRU14 itu nanti.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan