Mengejutkan statistik Jabatan Perangkaan KL bakal jadi bandar orang kaya, pekerja asing sahaja?

FMT Reporters
PETALING JAYA: Seorang pemimpin DAP memberi amaran Kuala Lumpur bakal hanya didiami oleh golongan kaya dan pekerja asing, sekiranya trend penghijrahan penduduk ibu kota ke negeri lain berterusan seperti yang didedahkan dalam Laporan Penyiasatan Migrasi 2016 minggu lepas.


Laporan yang menunjukkan kadar penghijrahan dalaman rakyat Malaysia itu mendapati Kuala Lumpur dan Perak merupakan antara wilayah paling tinggi penduduknya berhijrah ke tempat lain.
Ia juga menunjukkan Selangor dan Pulau Pinang paling banyak menerima penduduk dari negeri lain.

“Jika trend ini berterusan, Kuala Lumpur bakal menjadi bandar raya yang hanya didiami golongan kaya dan ekspatriat di samping pekerja asing yang miskin,” kata Ahli Parlimen Serdang, Ong Kian Ming.

Walaupun laporan Jabatan Perangkaan Malaysia itu tidak memberikan punca penghijrahan secara terperinci, Ong mengandaikan penduduk Kuala Lumpur mungkin bergelut denan harga hartanah yang melambung dan lebih tertarik kepada dasar kerajaan negeri Selangor.

Ong berkata hakikat yang Selangor dan Pulau Pinang terus menjadi penerima terbesar rakyat Malaysia yang berpindah dalam negara menunjukkan mereka yakin dengan pentadbiran negeri itu.

Statistik menunjukkan dalam tempoh 7 tahun antara 2009 dan 2016, Selangor dan Pulau Pinang menerima penghijrah tempatan paling ramai.

Ia disusuli Kelantan, Sabah, Sarawak dan Melaka. Negeri-negeri lain bagaimanapun hanya mencatatkan perpindahan keluar penduduknya.

“Angka Laporan Migrasi jelas menunjukkan rakyat Malaysia mengundi dengan kaki mereka dengan berpindah beramai-ramai ke Selangor dan Pulau Pinang.

“Ini petanda jelas rakyat Malaysia mempunyai keyakinan tinggi terhadap kerajaan Selangor dan Pulau Pinang di bawah Pakatan Harapan (PH),” kata Ong.

Selangor dan Pulau Pinang jatuh ke tangan kerajaan campuran PKR, DAP dan PAS pada pilihan raya umum 2008. Bagaimanapun, gabungan politik mereka dibubarkan selepas PAS memutuskan hubungan dengan DAP, dan terkini dengan PKR. Parti Islam itu bagaimanapun kekal dalam pentadbiran negeri Selangor.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan