DALIA ISMAIL
Hanya dengan kembali menghayati intipati al-Quran dan mengamalkan urustadbir yang baik, Pakatan Harapan akan mampu menjadi sebuah pemerintah baharu yang lebih berintegriti kepada rakyat negara ini.
Pandangan ini dilontarkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Husam Musa ketika diajukan pertanyaan oleh hadirin di dalam Dialog Tokoh Politik Bersama Cendiakawan Melayu anjuran Gabungan Intelektual Melayu di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya hari ini.
Lontaran pertanyaan daripada Tan Sri Muhammad Muhd Taib (Gambar kiri) itu antara lainnya tidak menafikan ketika pernah bersama di bawah kepimpinan Dr Mahathir, bekas perdana menteri itu ujarnya, Malaysia di gelar 'small tiger of the east' setaraf dengan Taiwan.
Bagaimanapun Malaysia hari ini kata Muhammad lagi, dipandang teruk oleh negara luar. Bekas menteri besar Selangor ini berkata, golongan cendiakawan perlu menyokong usaha yang dilakukan Dr Mahathir dan Pakatan Harapan hari ini.
"Kita kena sokong apa yang Tun lakukan...daripada pimpin BN jadi pula pengerusi (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) dan bersama Lim Kit Siang, Mat Sabu (Mohamad Sabu)untuk membawa semula kegemilangan negara di era 1990 sebagai satu lonjakan dalam Pakatan Harapan.
"Sepatutnya kita (negara) sudah seperti Korea Selatan dan Singapura tetapi sekarang negara Indonesia pula potong kita.
"Ini kerana rakyat benarkan Najib perintah ikut cara dia. Ramai rakyat yang nak tunggu di bawah pimpinan baharu Dr Mahatir dengan 'new team' berketerampilan baharu dan berkualiti berbanding Umno.
"Saya daripada Umno tahulah... siapa pemimpin Umno sekarang ni- di Umno sudah tiada yang berkualiti," ujarnya yang mahu golongan cendiakawan secara berterusan memberikan rangsangan kepada rakyat untuk menarik sokongan terhadap usaha Pakatan Harapan.
Begitu juga pandangan Fellow Penyelidikan Universiti Islam Antarabangsa Cawangan Cyberjaya, Prof Dr Mohd Hatta Shaharom (Gambar kiri) yang mahu mengetahui lebih lanjut ke mana bangsa Melayu sekiranya Dr Mahathir mengatakan kuasa dan pengaruh orang Melayu akan lupus pada 2050.
Beliau berpendapat jika Pakatan Harapan mengambil alih kerajaan sama ada barisan kepimpinan dalam Pakatan Harapan ini mampu menawarkan kepada rakyat suatu bentuk sistem pemerintahan yang berintegirit dan mempunya tadbirurus yang baik kelak.
Dalam menjawab persoalan yang dikemukakan itu, Dr Mahathir berkata, rakyat negara ini perlu berpegang kepada nilai kehidupan.
"Masalah orang Islam tidak ikut ajaran Islam sebagai satu cara hidup.Kita tidak perlu salahkan orang lain kita salahkan diri kita sendiri.
"Dalam agama banyak ajaran positif yang boleh memajukan kita tetapi kita utamakan fardu ain saja. Dalam Islam ada fardu kifayah jika sesuatu dilakukan oleh seorang dalam masyarakat, (menentangnya) itu terlepas daripada membuat dosa.
"Apa yang patut kita buat adalah kembali mengkaji al-quran, tetapi kita tidak baca. Kita ada akses dan banyak pengetahuan boleh diperolehi.
"Saya sendiri baca al-Quran dalam bahasa Inggeris dan bahasa Melayu, saya dapat banyak petunjuk dalam al-Quran.
"Umat Islam 300 tahun dahulu mengikut ajaran Islam tetapi saya tidak fikir negara ini mengikuti apa yang terkandung dalam al-quran," ujarnya.
Menurut Husam pula yang memberikan contoh mengenai sejarah Nabi Yusuf yang banyak memberikan pengajaran mengenai pengurusan ketika ekonomi baik dan buruk di zaman itu, ada polisi ekonomi yang diambil Nabi Yusuf boleh dipraktikkan oleh pemimpin masa hadapan.
Sebaliknya kata beliau dalam konteks Malaysia kini, jika diambil kira laporan Malaysia Transparency berlaku ketirisan antara RM40bilion hingga RM60bilion setahun peruntukan perbelajaan kerajaan.
Ujarnya lagi, ia tidak termasuk isu membabitkan 1MDB yang mana wang rakyat negara ini dibekukan di Singapura sejumlah RM700juta dan yang dibekukan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) sebanyak AS$4.3bilion.
"Jika kita dapat pulihkan tadbirurus di negara ini ia boleh berikan kemakmuran hidup kepada rakyat.
"Pada waktu nabi Yusuf bawa kebaikan ekonomi majoriti rakyat Mesir belum Islam tetapi kepentingan tadbir urus itu mengatasi masalah akidah rakyat di Mesir kerana disebabkan oleh kebaikan di bawa dalam tadbirurus yang dilaksanakan nabi Yusuf.
"Kepentingan urustadbir yang baik meliputi semua rakyat tanpa mengira akidah mereka inilah dinamakan ' rahmatanlilalamin' yang kita maksudkan selama ini," ujarnya.
Justeru katanya, bagi memastikan tadbirurus ini dapat dilaksanakan sekiranya Pakatan Harapan memerintah kelak, beliau optimis, agensi seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),Transparency Malaysia dan dikalangan cendiakawan perlu mempunyai satu mekanisme di semua peringkat agar pentadbiran kerajaan baharu lebih telus dalam tadbirurusnya kelak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan