TPM baharu?

Mandeep Singh
PADA 30 Julai yang lalu, secara tiba-tiba Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi melontarkan peluru kepada Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Dr Mahathir Mohamad. Anehnya, peluru yang digunakan Zahid ini adalah sebutir peluru yang sudah lapuk atau sudah diguna pakai aktivis pembangkang sejak sekian lama.

Untuk berkurun lama, aktivis sosial seperti Hishamuddin Rais menggunakan nama "Mahathir a/l Iskandar Kutty" sebagai gelaran kepada Dr Mahathir.

Namun, Zahid menambah perisa dengan membacakan nombor kad pengenalan individu bernama "Mahathir a/l Iskandar Kutty" ini. Zahid turut menunjukkan gambar kad pengenalan tersebut melalui telefon bimbitnya yang diterima daripada ketua pengarah Jabatan Pendaftaran Negara.

Pada hemat saya, Zahid sebenarnya mahu menunjukkan kepada Perdana Menteri Najib Razak kesetiaan beliau terhadap bosnya seperti mana yang dilakukan ahli Umno yang lain.

Tetapi, kenapakah Zahid melakukan perkara ini secara tiba-tiba? Apakah sebenarnya kedudukan Zahid dalam Umno terancam dan Zahid sedang disisihkan? Saya tidak ada jawapan untuk soalan ini, hanya Zahid yang tahu.

Selang sehari selepas Zahid menyerang Dr Mahathir, orang tua berumur 92 tahun itu menyatakan Zahid berjumpanya selepas dilantik sebagai timbalan perdana menteri untuk mendapatkan sokongan supaya Najib boleh digantikan sebagai perdana menteri.

Memang besar impian bekas ketua Pemuda Umno ini yang pernah bersama Anwar Ibrahim di zaman reformasi dulu. Intipati mesyuarat antara Zahid dan Dr Mahathir diketahui mereka berdua dan "SD card" yang digunakan Zahid untuk merakam mesyuarat tersebut.

Perjumpaan ini sebenarnya merungkai pelbagai persoalan. Bukankah Zahid tidak tahu Dr Mahathir sebenarnya sudah menjadi sosok pembangkang yang mahu jatuhkan Najib dan juga Barisan Nasional (BN)?

Jika benar Zahid begitu setia kepada Najib, kenapa perlu berjumpa Dr Mahathir, yang boleh dilihat bekerja dengan pembangkang?

Jika Zahid begitu setia kepada Najib, Zahid sepatutnya berjumpa semua ketua bahagian Umno untuk mengukuhkan ketuanya. Satu dunia mengetahui Dr Mahathir sedang bekerja siang malam untuk menjatuhkan Najib dan mustahil seorang TPM baru yang 10 hari ketika itu tidak mengetahuinya.

Baru-baru ini, presiden Umno mempertahankan timbalannya di Shah Alam, di mana Najib berkata mereka berdua berkawan sejak 1986 dan saling percaya akan kesetiaan masing-masing.

Perkara ini mungkin memberi sedikit nafas lega kepada Zahid. Tetapi yang pastinya, menteri tugas-tugas khas sedang tersenyum lebar dengan drama sensasi yang sedang berlangsung ini.

Mana mungkin dengan hati ikhlas seorang ketua mahu terus bersama dan mempertahankan seorang individu yang berjumpa musuhnya untuk meminta "simpati" bagi menggantikan kerusi yang disandangnya.

Zahid masih ada ruang untuk membersihkan namanya daripada perkara yang dikatakan Dr Mahathir, iaitu dengan menyiarkan rakaman perbualan dengan Dr Mahathir dan biarlah rakyat menilainya sendiri.

Zahid punyai peluang terbaik untuk meyakinkan tuannya yang beliau memang tidak meminta simpati untuk menjatuhkannya, bahkan seorang yang setia kepada tuannya. Peluang ini juga harus digunakan Zahid untuk memperkukuhkan kedudukannya dalam Umno dan terutama kerusi nombor dua itu.

Ini juga akan sekaligus menutup mulut Dr Mahathir. Tetapi, jika dalam rakaman tersebut ada perbualan meminta simpati, maka rakyat Malaysia mungkin akan mendapat seorang TPM baru sama ada dalam masa terdekat ataupun selepas Pilihan Raya Umum ke-14 jika BN terus memerintah negara ini.

Dan Zahid juga akan tergolong dalam kumpulan bekas TPM yang tewas di tengah jalan. – 9 Ogos, 2017.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan