Husam: Alat jimat petrol tunjuk keputusan positif


Walaupun menerima kecaman hebat netizen, ADUN Salor, Datuk Husam Musa tetap berpendapat alat yang diperkenalkannya baru-baru ini berupaya menjimatkan minyak petrol.

Husam berkata, hasil ujian terhadap lima buah motosikal menunjukkan keputusan positif dengan menggunakan alat berkenaan yang dikenali sebagai 'saving energy fluid condition' (SEFC).

"Daripada lima buah motosikal yang diuji, sebuah daripada (pemilik motosikal) kata keadaan motosikalnya macam biasa.

"Tetapi empat buah lagi kata motosikalnya ada peningkatan. Mereka boleh rasa prestasi motosikalnya bertambah," katanya ketika berucap dalam program Dialog Pakatan Harapan (HARAPAN), di Bachok, malam tadi.

Pada 8 September lalu, Husam yang juga pengerusi HARAPAN Kelantan dikecam pengguna di laman sosial selepas memperkenalkan alat yang dikatakan boleh menjimatkan penggunaan petrol motosikal itu.

Pentadbir laman Facebook Pseudosains Watch Community dalam ulasannya berkata, meskipun mereka tidak tahu komposisi yang terkandung pada alat itu, namun penjelasan Husam mengenai kimia tersasar jauh.

“Apa yang boleh kami katakan ialah penjelasan Datuk YB (Husam) mengenai molekul minyak menjadi bulat dan solid memang ke laut,” jelasnya.

Uji lagi 50 motosikal
Bagaimanapun, Husam masih belum berpuas hati terhadap hasil ujian yang dilakukan dan mahu menguji 50 buah motosikal lagi untuk mendapatkan keputusan yang lebih jelas.

"Oleh kerana yang kita cuba ini hanya lima buah, tentulah kita tak boleh buat ukuran.

"Saya cadang kita akan uji pada 50 buah lagi motosikal. Dan kali ini saya nak bagi pada semua jenis motosikal, kuasa kecil, kuasa besar dan vespa supaya mereka cuba guna," jelasnya.

Tambah Husam, beliau juga akan memperkenalkan alat tersebut untuk digunakan pada kenderaan besar seperti kereta dalam usaha mengurangkan pengeluaran asap kenderaan.


Katanya, penjelasan mengenai teknologi dan sains di sebalik penciptaan alat itu juga akan dilakukan sedikit masa lagi.

"Dalam masa seminggu lagi saya akan pamerkan juga alat yang sama tetapi cara guna berbeza. Untuk kereta ia kena sambung pada wayar minyak.

"Saya akan jelaskan supaya masyarakat kenal apa alat ini dan teknologi di sebalik alat ini," katanya yang enggan mengendahkan serangan negatif terhadap usahanya itu.
-malaysiakini

Tiada ulasan:

Catat Ulasan