Lihat realiti bukan sibuk meramal

ARIF ATAN 
Ahli Jawatankuasa AMANAH Nasional, Hanipa Maidin berpendapat ramalan kononnya Datuk Seri Anwar Ibrahim atau Tun Mahathir mungkin kembali kepada Umno sebagai tidak relevan.
Menurutnya, pelbagai kemungkinan boleh berlaku dalam politik semasa tanah air sedangkan langkah lebih baik adalah melihat kepada perkembangan pada masa ini.

“Jika nak kira mungkin, macam-macam serba mungkin. Tiada siapa yang akan tahu apa berlaku akan datang sesuci mana pun orang atau makhluk itu.

“Lebih baik kita lihat apa yang berlaku sekarang daripada sibuk meramal kemungkinan yang tidak pasti,” tegasnya.

Beliau mengulas penerbitan artikel, ‘Anwar atau Mahathir mungkin u-turn kepada Umno?’ di portal rasmi Pas, Harakahdaily semalam.

Menggunakan panggilan ‘parti suci’ yang merujuk kepada Pas, Hanipa berkata, wujud perbezaan antara pendirian Anwar dan Mahathir dengan parti dikepalai Datuk Seri Hadi Awang itu.

“Saya dapat tahu media online parti suci mengeluarkan satu artikel yang meramal DSAI (Datuk Seri Anwar Ibrahim) atau Tun Mahathir mungkin akan masuk semula Umno.

“Sekarang ini antara DSAI, Tun M dan pimpinan parti suci, yang jelas dan pasti DSAI dan Tun M buat masa ini sedang lawan habis-habisan Umno dan MO1 (Malaysian Official 1) – teraju utama Umno-BN.

“Yang jelas juga parti suci sekarang ini sedang berpolitik yang amat perlahan sekali menyerang Umno dan MO1 dan kadangkala pula dilihat membuat kenyataan menguntungkan Umno dan MO1.

“Contoh yang paling jelas adalah kenyataan Presiden parti suci yang kata saman DOJ adalah campurtangan asing!,” bidasnya dipetik dari status Facebook beliau.

Penulis Wan Nordin Wan Yaacob dalam artikel tersebut menganggap Umno sebagai lebih dekat dengan parti Bersatu dan dasar PKR tidak jauh berbanding Umno.

“Tidak mustahil dalam keadaan terdesak mendepani politik Tun Mahathir dalam menjelang PRU 14 (Pilihan Raya Umum ke-14) ini, Anwar akan dikembalikan ke dalam Umno semula oleh rangkaian yang disebutkan tadi.

“Apatah lagi ia strategi yang paling ampuh untuk melumpuhkan PKR yang kini berpecah belah angkara beberapa pemimpin tidak sehaluan.

“Dan tidak mustahil bagi Najib yang terdesak mempertahankan survival politiknya dengan membebaskan Anwar dari penjara, kemudiannya menjadikan Anwar sekutu rapatnya dalam mendepani PRU14,” dipetik dari tulisan itu.

Mengulas lanjut, Hanipa bersetuju dengan pendapat umum bahawa Pas tidak perlu menyertai Umno.

“Politik dia (Pas) sekarang pun dah cukup bikin Umno gembira. Buat apa Umno nak pening-pening terima masuk parti suci dalam parti sekotor Umno. Bikin susah je!” sindirnya lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan