Yasmin Ramlan
Sebahagian orang ramai yang datang dari segenap pelosok negeri Johor untuk memberikan sokongan kepada Dr Mahathir Mohamad pada program ceramah Pakatan Harapan di Tampoi, Johor, malam tadi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 30 September, 2017.
HAMPIR 1,000 orang meredah padang berlecak di Taman Dahlia, Tampoi, Johor, malam tadi untuk memberikan sokongan kepada pelancaran Pakatan Harapan (PH) Johor dengan keyakinan angin perubahan akan bertiup di negeri kelahiran Umno itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.
Mereka yang datang dari segenap pelosok negeri itu merasakan padang becak kerana hujan kelmarin bukan alasan untuk tidak hadir memberikan sokongan kepada Dr Mahathir Mohamad.
Pengerusi PH itu, biarpun sudah berumur 92 tahun, tetapi masih bertenaga datang bertandang ke tempat mereka untuk menyampaikan mesej perubahan demi masa depan negara.
Seorang pesara yang hanya mahu dikenali sebagai Adam, 54, berkata kalau Dr Mahathir pada usia seperti itupun masih bersemangat, apa lagi alasan orang lain yang lebih muda untuk tidak menyambut semangat itu.
"Negara kita ini daripada teruk sudah jadi parah. Masalah akarnya adalah rasuah.
"Saya orang Cina, lahir di sini, dibesarkan di sini dan mati nanti pun akan ditanam di sini. Ini negara saya, saya perlu ambil berat," katanya kepada The Malaysian Insight.
Malaysia ini, katanya, "macam keluarga kita sendiri" dan tidak ada orang yang sanggup melihat ahli keluarganya binasa di tangan individu tidak bertanggungjawab.
Sementara itu, Chandran V. KM Appu, 50, pula berkata beliau hadir kerana ingin tahu perkembangan semasa PH lebih-lebih lagi kerana Dr Mahathir, pengerusi pakatan itu, datang.
Chandran yang juga ahli bersekutu Bersatu berkata beliau yakin Johor, kubu kuat Umno, bakal ditawan oleh pembangkang pada pilihan raya umum nanti.
"Kita yakin dengan Tun M sebab (Tun M) pernah perintah (negara) selama 22 tahun.
"Johor dulu memang kubu kuat (Umno), suatu ketika dulu, tapi bukan sekarang. Sebab kesusahan itu semua rakyat yang rasa," kata kontraktor dua orang anak itu.
Dalam ucapannya, Dr Mahathir berkata Johor akan bertukar daripada kubu kuat Umno menjadi kubu kuat PH.
Hadir sama ahli Parlimen Gelang Patah, Kit Siang; Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution menggantikan Presiden PKR, Wan Azizah Wan Ismail dan Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub dan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin.
Ramai rakyat Johor kerja di Singapura
Adam pula berkata sama ada PH dapat menentang Umno atau tidak, itu perkara kedua tetapi apa yang perlu diutamakan sekarang adalah memberikan sokongan.
"Perlu sokong demi kebaikan negara kita. Senang saja, sebab cuba kita lihat negara jiran kita, Singapura… kurang rasuah. Kita tak ada alasan untuk tak maju macam Singapura.
"Saya orang JB (Johor Bahru). Saya tengok jiran saya orang Cina, Melayu, India bangun pagi-pagi pergi kerja sana (Singapura) buat kerja 3D (dirty, dangerous, difficult — kotor, bahaya, susah). Benda tak akan jadi macam ini kalau mereka dibayar lumayan," katanya.
Seorang lagi pengundi, Yusri Mohd Nawawi, 50, juga meluahkan kesedihannya dengan situasi rakyat Malaysia terpaksa pergi mencari rezeki di negara jiran.
"Kalau kita ada peluang pekerjaan yang baik, bayaran setimpal, mereka tak perlu bangun pagi-pagi ke sana (Singapura).
"Berduyun-duyun pergi sana cari rezeki. Benda ini tak patut jadi sebab negara kita ini kaya sebenarnya. Tapi tak ditadbir dengan betul," katanya.
Bekas pegawai Kereta Api Tanah Melayu (KTM) itu juga berkata hampir seluruh keluarganya kini bekerja di Singapura.
Kemunculan Dr Mahathir Mohamad pada program ceramah di Tampoi, Johor, malam tadi berjaya menarik kedatang orang ramai bagi menyampaikan mesej perubahan demi masa depan negara yang dibawa Pakatan Harapan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 30 September, 2017.
Jauh dan dekat hadir
Pandangannya dikongsi oleh Rohana Abu Bakar, 58, yang berkata peluang pekerjaan bukan sahaja terhad di Malaysia tetapi rakyat negara ini terpaksa menanggung kos sara hidup yang kian meningkat.
Rohana yang datang dari Segamat, Johor iaitu kira-kira tiga jam dari Tampoi berkata jika sebelum ini dengan RM50, dia mampu melihat barang-barang keperluan yang banyak dalam trolinya tetapi kini tidak lagi.
"RM50 kalau keluarga ramai tak sampai seekor ikan pun seorang dapat makan. Sekarang kena kerat dua," katanya yang mempunyai enam orang anak.
Warga emas Salman Rahman, 60, seorang pemandu lori, berkata dia tidak yakin sepenuhnya Johor akan jatuh ke tangan PH.
"Saya boleh terima 80% apa yang disampaikan oleh Mahathir. Sama ada Johor akan jatuh ke tangan PH, saya tak boleh cakap tapi yang pasti Umno di Johor berpecah-belah. Tidak kuat seperti dulu," katanya.
Wong Chong Seng, 57, yang membesar di Kempas seumur hidupnya turut hadir untuk mendengar ucapan Dr Mahathir. Dia ahli DAP.
"Memandangkan DAP akan bekerjasama dengan Dr Mahathir, saya nak dengar ucapan Dr Mahathir," katanya.
Ucapan bekas perdana menteri itu diiringi oleh tepukan dan sorakan oleh hadirin.
Dalam ucapannya, Dr Mahathir turut menyeru agar rakyat Johor tidak terperdaya dengan muslihat Umno yang sering mempermainkan sentimen perkauman dengan menakut-nakutkan rakyat yang Kit Siang akan mentadbir negara sekiranya pembangkang mengambil alih Malaysia.
Acara malam tadi berlangsung dalam kawasan Parlimen Pulai yang disandang oleh Nur Jazlan Mohamed, yang juga timbalan menteri dalam negeri, selama tiga penggal berturut-turut sejak 2004.
Kawasan Parlimen Pulai yang diwujudkan pada 1974 merupakan kubu kuat Umno sejak pilihan raya pada tahun itu. Ayah Nur Jazlan, Mohamed Rahmat, bekas menteri penerangan dan setiausaha agung Umno, wakil rakyat di situ selama enam penggal (1974-1999). – 30 September, 2017.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan