Duta dituduh guna dana kerajaan untuk selingkuh

Satu demi satu maklumat kecurangan duta Norway ke Indonesia terdedah selepas laporan mengenainya diterbitkan di negara itu.

Antara yang tebaru, perselingkuhan Stig Traavik dengan tiga wanita Indonesia itu menyebabkan Norway mengeluarkan dana RM1.75 juta atas tujuan yang tidak wajar.

Sudah mempunyai isteri Traavik didakwa menjalin cinta terlarang dengan dua ahli perniagaan dan seorang aktivis masyarakat sepanjang tempoh berkhidmat di Indonesia seawal April 2012.

Menurut laporan suara.com Traavik, 46, menjadi duta selepas Parti Buruh yang menguasai kerajaan Norway berminat membiayai projek pemuliharaan hutan tropika Indonesia.

Traavik kemudian dimita "memantau" program berkenaan dan bersama isterinya dia berpindah ke Jakarta.

Kira-kira setahun kemudian Traavik tertarik kepada seorang aktivis masyarakat selepas wanita terbabit menerima bantuan bernilai AS$179,000 (RM757,689) daripada pihak kedutaan.

Dipetik portal Newsinenglish, dana berkenaan disalurkan melalui jalan rasmi untuk membiayai projek kebudayaan wanita terbabit.

Pada April 2013 wanita itu menerima dana tambahan RM2,910 dan dia membuat kertas kerja untuk projek barunya iaitu mempromosikan Norway di Indonesia.

Namun Oslo - yang ketika itu dikuasai Parti Konservatif - menolaknya atas alasan dana bagi membantu kemiskinan di negara ketiga tidak boleh digunakan bagi projek kebudayaan.

Dapat e-mel layang

Namun, hasil campur tangan Traavik, permohonan wanita terbabit diterima kerajaan, malah jumlahnya lebih tinggi berbanding cadangan asal.

Perselingkuhan Traavik dengan wanita itu berakhir pada awal 2015 tetapi ia bukanlah penamat untuk duta berkenaan.

Selepas aktivis terbabit Traavik menjalin hubungan pula dengan dua wanita lain.

Malah kedua-dua wanita itu pernah dijemput Traavik ke kedutaan Norway di Jakarta ketika beberapa menteri negara itu melawat Indonesia.

Seorang daripada kekasih gelap Traavik sempat diperkenalkan dan bersalaman dengan Perdana Menteri Norway, Erna Solberg pada April 2015.

Namun sekali lagi hubungan Traavik dengan ahli perniagaan itu tidak berpanjangan apabila mereka berpisah tidak lama kemudian.

Namun bersama wanita ketiga, hubungan gelap Traavik yang bermula sejak awal 2016 berlanjutan sehinggalah ia terbongkar apabila seorang pegawai Kementerian Luar Norway di Jakarta menerima 'surat' layang.

Melalui e-mel itu Hilde Holbakken berhubung dengan seseorang yang cuma memperkenalkan dirinya sebagai "suami kakitangan kebudayaan" dipercayai seorang diplomat pada Mei tahun lalu.

Hasil maklumat yang diterima kakitangan keduataan menjalankan siasatan dan apabila bukti ditemui Traavik dipanggil pulang ke Norway.

Sementara itu Traavik mengakui dia curang dan mengambil tanggungjawab atas perbuatan itu.

"Namun laporan Verdens Gang (akhbar tabloid Norway yang mendedahkan kecurangan itu) tidak benar.

"Tidak ada dana awam yang disalahgunakan dan tiada orang mendapat faedah secara tak adil," katanya.

Setakat ini juga Oslo dilaporkan belum menemui bukti Traavik melakukan penyelewengan dalam perselingkuhannya di Indonesia.
-malaysiakini

Tiada ulasan:

Catat Ulasan