Laporan video hubungan sulit pegawai SPRM sedang disiasat, kata KPN

Muzliza Mustafa
LAPORAN mengenai video yang menuduh seorang pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mempunyai hubungan sulit dengan wanita yang sudah berkahwin, akan disiasat sama seperti laporan polis yang lain, kata Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun.

Laporan yang dibuat di ibu pejabat polis daerah Sentul pada Selasa, kini sedang disiasat oleh polis persekutuan di Bukit Aman.

"Ya, kita sedang menyiasat laporan itu," kata Fuzi.

"Ia akan disiasat sama seperti laporan lain."

Laporan itu dibuat pada Selasa selepas pengadu, seorang eksekutif pemasaran, menyaksikan video berdurasi tiga minit di Youtube yang mendakwa sepasang suami isteri telah bercerai pada 28 September di Mahkamah Syariah Ulu Klang kerana didakwa mempunyai hubungan sulit dengan seorang pegawai kanan SPRM.

Ia menunjukkan beberapa gambar wanita berkenaan bersama keluarganya, termasuk dua anak kecil.

Video itu juga memaparkan kompilasi klip lama pegawai kanan SPRM.

Dalam satu klip video itu, pegawai itu bercakap dengan lelaki dan wanita yang pegangan agama dianggap sesat dan tidak mahu bertaubat. Sebuah lagi klip menunjukkan pegawai itu mendeklamasikan sajak berkaitan integriti.

Pertanyaan dan kenyataan yang ditujukan kepada pegawai SPRM terbabit juga dimasukkan antara klip dan gambar dalam video itu, seperti “bagaimana anda boleh musnahkan keluarga ini?” dan

“Tak kesian ke pada anak-anak mereka?”

Terdahulu hari ini, Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki enggan mengulas apabila ditanya sama ada badan anti-rasuah itu sedang meneliti perkara berkenaan.

"Saya minta maaf. Saya tidak mahu mengulas mengenainya," katanya kepada The Malaysian Insight.

Sumber SPRM berkata video tersebut merupakan percubaan untuk mencemarkan pegawai kanan dan agensi itu.

"Sama ada beliau (pegawai) sudah melihat video itu yang menuduhnya mempunyai hubungan dengan wanita sudah berkahwin tidak diketahui," kata sumber itu.

Pasangan itu, dalam catatan Facebook pada hari Selasa, menafikan kegagalan perkahwinan mereka disebabkan pihak isteri mempunyai hubungan sulit dengan pegawai SPRM.

Mereka berkata perceraian itu adalah keputusan bersama dan masalah peribadi keluarga.

Mereka menyifatkan pihak yang bertanggungjawab membuat dakwaan, dan mengumumkan dan memanipulasi perceraian mereka, sebagai "keji".

Pasangan itu berkata mereka tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang bertanggungjawab atau sesiapa yang masih mahu menggunakan perceraian mereka untuk agenda peribadi atau politik.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan