Padah raba punggung pelayan wanita

Berpunca daripada dituduh meraba punggung pelayan wanita, seorang lelaki terpaksa menerima 12 jahitan di kepala dan enam jahitan di jari selepas terbabit dalam pergaduhan di sebuah pusat hiburan di Jalan Selamat, Georgetown, semalam.

Dalam kejadian 3.30 pagi itu, mangsa yang berusia 25 tahun dan bekerja sebagai peniaga dibelasah enam lelaki dengan menggunakan botol kaca.

Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Izwan Abd Karim berkata, seorang daripada suspek tidak berpuas hati kerana mangsa dikatakan meraba punggung pelayan yang didakwa sebagai teman wanitanya.

Menurutnya, mangsa diserang lelaki terbabit dengan botol kaca ketika berada dalam tandas dan beberapa lagi suspek turut memukulnya sebelum beredar.

“Mangsa dibawa ke Hospital Pulau Pinang untuk mendapatkan rawatan lanjut dan polis sudah mengambil keterangan daripada dia dan pelayan wanita terbabit.

“Setakat ini, polis masih memburu suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan,” katanya.
-hmetro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan