The Malaysian Insight
SERONOKNYA jadi orang tengah atau tukang atur untuk Perdana Menteri.
Anda cakap apa pun orang ambil serius dan orang beri hormat yang tinggi, jauh lebih tinggi daripada kedudukan rasmi, penampilan atau tahap pendidikan.
Malah kalau ahli politik kanan, pegawai kanan kerajaan atau broker kuasa lain di Malaysia ini tidak sukakan anda, mereka tahu pada akhirnya anda bercakap bagi Najib Razak atau "Madam", begitulah Rosmah Mansor, isteri Najib digelar dalam lingkungan perdana menteri.
Masalahnya jadi tukang atur yang berkuasa di lapangan ialah semua orang dalam kem PM juga mengidam kedudukan yang akrab dan berpengaruh itu, dan akan melakukan apa saja untuk menjatuhkan anda.
Inilah yang dialami oleh Ahli Parlimen Baling Abdul Azeez Abdul Rahim hari ini. Beliau belajar dengan pantas bahawa dekat dengan kekuasaan di Malaysia ini ada baik dan buruknya.
Suatu hari, anda cemerlang dan tampak seolah tidak tersentuh dengan pendedahan apa pun. Tetapi pada suatu hari yang lain, bahasa Melayu anda yang pelat atau kefasihan dalam Tamil jadi isu.
Pekerja politik PM dan blogger menghidu kelemahannya. Mereka percaya hubungan Abdul Azeez dengan keluarga PM robek dan tigak teguh lagi seperti dulu.
Akibatnya, ada beberapa rencana yang ditulis tentang beliau.
Kebanyakan artikel itu disiarkan di Malaysia Today yang dikendalikan oleh blogger
Raja Petra Kamarudin yang hidup dalam pelarian, yang kini kelihatannya menyokong kerajaan selepas bertahun-tahun mendukung Anwar Ibrahim selepas bekas timbalan perdana menteri dipecat daripada kerajaan padan 1998.
Ada cakap-cakap dalam kelompok Umno bahawa Raja Petra, yang lebih dikenali dengan singkatan RPK, berkomplot dengan seorang lagi penasihat Najib tetapi ia masih lagi tinggal cakap-cakap sampai hari ini.
"Buang masa saya," kata Abdul Azeez di lobi Parlimen semalam ketika diminta mengulas tulisan Raja Petra.
Apa yang jelas ialah Abdul Azeez, pengerusi Tabung Haji dan ketua Putera Umno, sekarang ini diserang ketika penasihat-penasihat dalam lingkungan Najib bersaing untuk jadi orang rujukan utama perdana menteri.
Mereka mahu jadi seperti Abdul Azeez, yang sampai tahu apa PM akan pakai esok serta program yang akan dihadirinya. Untuk dapat singgah di rumah PM pada bila-bila masa dan dilibatkan dalam apa-apa perbincangan walaupun ia melibatkan isu sulit negara.
Ada masanya orang rujukan itu adalah mereka yang duduk dalam kelompok Najib yang sedang mendaki tangga kuasa dalam Umno. Tetapi hari ini, petugas politik yang bersembunyi di sebalik bayang-bayang inilah yang merasakan mereka patut diketahui sebagai orang rujukan dalam pentadbiran Najib.
Seorang daripadanya dijadualkan muncul dalam satu wawancara BBC ketika heboh tentang identiti MO1 — pegawai kanan Malaysia yang dikatakan oleh Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat terlibat dalam kleptokrasi 1Malaysia Development Berhad.
Tetapi BBC kemudian mendapati beliau tidak menarik untuk penonton global, dan kerajaan selepas itu mencadangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Abdul Rahman Dahlan yang kemudian mengesahkan identiti MO1.
Seperti yang pernah Najib katakan, beliau menghargai kesetiaan berbanding kebijaksanaan. Tukar atur ini, termasuk Abdul Azeez, orang yang setia tetapi masing-masing cuba menikam antara satu sama lain untuk membuktikan mereka yang paling setia dalam Kem Najib.
Malang bagi Abdul Azeez, orang yang sudah melaksanakan segala-galanya untuk presiden parti dan perdana menteri, kesetiaan dan kecekapannya itu dijadikan sasaran oleh pesaing-pesaingnya yang mahukan perhatian daripada Najib.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan