Bot dinaiki pemimpin AMANAH terbalik, kotak bantuan tenggelam

MALAYSIA DATELINE
Bot dinaiki pemimpin AMANAH terbalik, kotak bantuan tenggelam
Bot yang dinaiki Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa bersama Bendahari Agung Asmuni Awi terbalik ketika sedang menyelusuri banjir untuk menyampaikan bantuan di Lahar Yooi.

Bagaimanapun mereka yang memakai jaket keselamatan, sempat diselamatkan oleh penduduk kampung dengan menggunakan sampan sementara lebih 20 kotak barangan bantuan termasuk makanan dan keperluan asas, hanyut dan tenggelam kesemuanya.

Dalam kejadian tengah hari tadi, bot dengan muatan bantuan, yang dinaiki mereka bersama tiga lagi yang lain termasuk petugas tempatan, dilaporkan terbalik ketika menghampiri sebuah rumah di Sungai Korok untuk memberikan bantuan.

Terdahulu mereka baru sahaja selesai menyampaikan bantuan kepada penduduk kampung Sungai Chegar di sini.
Bot yang dinaiki pimpinan Amanah Perak sebelum kejadian bot terbalik berlaku yang membawa barangan keperluan mangsa banjir turut tenggelam.

Mereka membawa lebih 60 kotak bantuan untuk diagihkan kepada keluarga mangsa banjir di kawasan itu yang terperangkap di kediaman masing-masing.

Mujahid, ketika ditemui selepas itu berkata, mereka terpaksa berpaut pada bot sementara menunggu diselamatkan oleh sebuah keluarga yang kebetulan mempunyai sampan di rumahnya.

“Alhamdulillah kami pakai jaket keselamatan. Kami berpaut pada bot dan mujurnya rumah yang kami nak bagi bantuan itu ada sampan dan dia selamatkan kami.

“Dompet, telefon dan barang-barang lain semua tenggelam tak tahu ke mana. Ada lagi 20 kotak kami tak sempat beri bantuan dan semuanya tenggelam,” katanya.

Kesemua mereka kini sudah di bawa ke darat oleh bot penyelamat lain kerana tiada jalan darat untuk sampai ke perkampungan itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan