Gan Pei Ling
Pemilik kopitiam Mark Gor (kanan) bersama sekumpulan rakannya bercakap tentang kebimbangan pengundi Cina dan siapa yang mereka pilih, pembangkang atau MCA ketika ditemui di Pandamaran, Klang, baru-baru ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 28 November, 2017.
DI sebuah kopitiam di bandar Pandamaran di Klang, pemiliknya dan pelanggan tetapnya tergelak apabila ditanya kenapa Cina tempatan tidak lagi menyokong MCA dan Barisan Nasional (BN).
Bagi mereka, jawapannya sangat ketara dan soalan itu nampak retorik. Ringgit yang lemah, salah urus kerajaan dan tuduhan rasuah serta kenaikan kos sara hidup, adalah sebab untuk tidak menyokong gabungan pemerintah dan parti Cina utamanya.
Ramai pengundi Cina di negara ini, yang membentuk 29.68% daripada populasi mengundi kekal menyokong pembangkang sejak pilihan raya umum (PRU) 2008 apabila BN dinafikan kemenangan tradisinya majoriti dua pertiga, dan hilang empat lagi negeri kepada pembangkang.
“Kami tidak peduli kucing putih atau hitam, asalkan ia tangkap tikus (ahli politik dan penjawat awam yang rasuah), ia kucing yang bagus,” kata Charlie, seorang pelanggan warga emas di kopitiam itu.
Katanya, salah urus BN dalam ekonomi negara, rasuah dan ketirisan menyebabkan kelemahan ringgit, dan akhirnya rakyat terpaksa bergelut dengan kenaikan kos sara hidup.
“Ringgit kita jatuh teruk berbanding baht Thailand dan dolar Singapura selama beberapa tahun ini. Biasanya kita boleh dapat 1,100 baht atau lebih dengan RM100, sekarang hanya 770 baht.
“Kadar tukaran wang kita dengan Singapura dulu ialah RM2 kepada SGD1, sekarang lebih RM3! Anda rasa pengimport dan peniaga tempatan yang berniaga dengan mereka tidak terkena kesannya?,” kata ahli perniagaan yang sudah bersara itu.
Pemilik kopitiam itu, Mark Gor berkata hanya sedikit saja yang percaya dengan retorik BN bahawa ekonomi dengan pertumbuhan KDNK, angka pelaburan asing dan projek mega akan datang seperti Landasan Kereta api Pantai Timur atau cadangan penambahbaikan Pelabuhan Klang dan Kuantan.
“Berapa banyak yang akhirnya rakyat kena bayar? Semuanya sekarang lebih mahal kerana GST (cukai barangan dan perkhidmatan).
“Keadaan sekarang sukar untuk perniagaan kecil dan sederhana. Banyak kopitiam di Bukit Tinggi (satu lagi bandar di Klang) sudah tutup sejak beberapa tahun lalu dan kini meniaga di gerai untuk jimatkan kos sewa.
“Seorang kawan saya pernah ada empat kedai perkakasan, sekarang sudah tutup tiga dan tinggal satu saja.
“Banyak sub kontraktor tempatan juga hilang kerja. Dia pun salah seorang yang tidak ada kerja lebih setahun (menunjuk ke arah seorang pelanggan di meja sebelah).
“Kalau mereka ditawarkan kerja pun, mereka bimbang jika tidak dibayar,” katanya.
MCA dilihat sebagai proksi Umno
Faktor kombinasi membawa kepada peralihan 40% sokongan Cina kepada pembangkang pada PRU 2008, termasuk penggunaan media sosial dan kekecewaan politik.
Perubahan itu juga mengubah kubu kuat MCA seperti Pandamaran, yang sebelum ini dipegang parti pemerintah Cina berkenaan sejak kerusi itu diwujudkan pada 1984.
Malah, selepas kerusi itu dimansuhkan selepas dua pilihan raya dan ditubuhkan semula selepas persempadanan kawasan pada PRU 2004, calon MCA Teh Kim Poo masih dapat menewaskan Tee Boon Hock daripada DAP.
Bagaimanapun, dalam dua PRU terakhir ini iaitu 2008 dan 2013, pengundi Pandamaran buang MCA untuk memilih DAP. DAP menang 63.7% undi pada 2008 dan 68.75% (2013) di kawasan semi bandar di Selangor itu.
Apa yang berlaku di Pandamaran ialah cerminan perubahan lebih besar dalam kalangan masyarakat Cina di negara ini pada PRU 2008 dan 2013.
“Biasanya Cina akan pecah undi mereka untuk kerusi Parlimen dan DUN. Pada 2008 dan 2013, ia selaras, dengan semua undi kepada pembangkang di kedua-dua kerusi,” kata pengurus kaji selidik Merdeka Center untuk kaji selidik pendapat, Tan Seng Keat.
MCA mengalami pilihan raya paling teruk pada 20133, menang hanya tujuh daripada 37 kerusi Parlimen dan 11 daripada 90 kerusi DUN yang ditandingi. Sebagai perbandingan, DAP menang 38 daripada 51 kerusi Parlimen dan 95 daripada 103 kerusi ditandingi.
Pengerusi BN Najib Razak mencabar MCA untuk menang sekurang-kurangnya 15 kerusi persekutuan pada PRU akan datang untuk menjustifikasikan tiga jawatan menteri yang dipegang parti itu.
Presiden MCA Liow Tiong Lai pada perhimpunan agung parti itu dengan berani DAP akan tumbang pada PRU14.
Bagaimanapun, Tan memberitahu The Malaysian Insight MCA masih dilihat sebagai proksi Umno. Dan di mata masyarakat Cina, ia tidak berkesan dalam menangani kebimbangan utama tentang keadaan ekonomi negara dan tadbir urus.
Mengaitkan ia dengan sebahagian kejayaan kempen DAP, Tan berkata tanggapan yang menteri MCA dan parti tidak mampu lakukan banyak perkara kepada masyarakat Cina masih kekal dalam kalangan pengundi Cina.
Dalam kaji selidik dijalankan Merdeka Center pada September lalu, lebih dua pertiga responden Cina (68%) percaya negara ini secara amnya menuju ke arah yang salah, berbanding 51% dalam kaji selidik sama dijalankan pada April 2013 sebelum PRU.
Tan meramalkan jika ada sekalipun undi kembali pada MCA, ia daripada penyokong tradisi yang mengundi pembangkang pada 2013 dengan harapan berlaku perubahan dalam kerajaan.
MCA dikatakan mempunyai 1.09 juta ahli dan parti komponen kedua terbesar dalam BN. Namun, hanya 661,469 pengundi Cina (18.4%) mengundi BN pada 2013, sementara 2.92 juta (81.5%) memilih Pakatan Rakyat.
Tan berkata MCA dan BN tidak mungkin memenangi kembali undi golongan belia, di mana antara 90% dan 92% pengundi berumur 21 hingga 30 tahun mengundi pembangkang pada 2013.
Kos sara hidup isu utama pengundi Cina
Tan percaya PRU13 akan menjadi “PRU GST”.
Kaji selidik dijalankan Institut Darul Ehsan (IDE) pada Ogos mendapati lebih dua pertiga responden Cina (68%) masih memilih PH. Hanya 21% menyokong BN sementara 7% tidak pasti dan 4% menyokong PAS.
IDE juga mendapati responden Cina (53%) paling bimbang dengan kenaikan harga barang diikuti dengan tekanan hidup (23%), gaji (10%), jenayah dan isu sosial (6%), pembangunan infrastruktur (5%), pengangguran (2%) dan isu lain (3%).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan