Jika dalam konteks makhluk, ada ayat yang mengesahkan "tiap-tiap yang bernyawa pasti akan merasai mati” (al-Ankabut : 57), maka dalam konteks kerajaan, ayat ini pula boleh mengesahkan yang Allah SWT juga Maha Berkuasa menentukan naik turunnya sesuatu kuasa, justeru ia juga berada di dalam genggaman-Nya:
"Maha Suci Allah Yang di tangan-Nyalah segala kerajaan, dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu.” (al-Mulk : 1).
Dari ayat kedua ini, kita dapat saksikan betapa kekuasaan Allah yang cukup mutlak.
“Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki.
"Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu." (ali-Imran : 26).
Teras kuliah Tok Guru
Punca kemurkaan Allah yang akan mengangkat atau mencabut dan menggantikan sesebuah kerajaan ada tersimpan di dalam ayat ini: "Dan, jika kamu berpaling nescaya Allah akan mengganti (kamu) dengan kaum yang lain, dan mereka tidak akan seperti kamu (ini)." (Muhammad : 38).
Sesiapa yang tekun mengikuti kuliah Allahyarham Tok Guru Nik Aziz, mereka akan dengan mudah boleh bersetuju bahawa peringatan jenis ini sering diangkat letak oleh beliau dari semasa ke semasa. Baik kuliah-kuliah yang disampaikan itu di Dewan Zulkifli atau di Dataran Ilmu.
Inilah matan penting yang menjadi teras kuliah setiap kali Tok Guru menyentuh isu politik, pemerintahan, kerajaan dan amanah kepimpinan.
Beberapa tahun lalu, saya pernah berkata begini kepada diri sendiri. Hari ini pun, saya masih mahu ulang, terus berkata begini:
Kerja dan kerjaya. Parti dan kepimpinan. Persahabatan dan silaturrahim. Semua ini ada permulaan. Ia ada tempoh dan tempat tumbuh serta ada tarikh kematian untuk disusuli dengan sebuah kelahiran semula agar kita berwajah baharu.
Jika mahu kekal relevan, proses peremajaan semula atau disebut appearance renewal ini harus dilalui. Hal ini lebih-lebih lagi benar dalam dunia politik.
Segalanya bertempoh
Proses rejuvenasi ini penting agar pemain dan parti siasah terus dilihat masih bernafas, tetap segar dan masih relevan di sisi pengguna.
Jika tidak, bersedialah untuk tidak dihirau kehadiran tuan walau pun - katakan misalnya - tuan itu pernah menjadi ikon di suatu masa. Itu mungkin dahulu!
Jika masih dipaksa penerimaan, ia boleh menyusahkan khalayak. Di zaman ini, rata-rata penyokong dan orang ramai adalah dari jenis yang berfikir.
Mereka cukup terdedah kepada data dan fakta. Jam pada dinding apartmen dan rumah teres mereka berputar 24 jam sedangkan tuannya masih enggan tidur.
Jangan pula tuan sang pemimpin boleh dipandang "menyemak" di mata mereka, sekali gus tidak lagi dilihat sesuai untuk memimpin zaman.
Kadangkala, kian nyata, pemimpin dari kedua belahan sudah cukup keliru; bahkan sudah tidak tahu lagi apa yang dia sedang lakukan.Dia seakan in a complete state of confusion.
Aku ni ayamkah atau ikan? Kambing atau lembu?
Tokoh berasaskan kes.
'Budok cerdik'
Bersifat topikal, mari kita cuba timbang kecerdasan minda tokoh yang pernah ditandai oleh allahyarham Tok Guru ini yang dianggapnya sebagai seorang budok cerdik.
Isu berkaitan ialah seperti yang dibawa beliau ke dalam sidang Dewan Undangan Negeri Kelantan pada 22 November 2017 mengenai berlakunya kelulusan kawasan hutan seluas 5,500 ekar di di Kuala Pahi, Kuala Krai oleh kerajaan negeri kepada tiga syarikat yang dimiliki pihak yang sama.Apa yang diulas Timbalan Menteri Besar Kelantan?
"Tiga syarikat ini telah kemukakan cadangan kepada Akademi Yakin, kebetulan saya pengerusinya. Menjadi kebiasaan kita mana-mana pelabur yang berminat mereka perlu mencari tanah dan mencadangkan projek kepada agensi-agensi kerajaan negeri.
"Apabila kita buat perbincangan dengan mengambil kira latar belakang syarikat, Lembaga Pengarah (Akademi Yakin) berpuas hati dengan kesungguhan dan kemampuan syarikat serta meluluskan projek ladang kelapa sawit.
"Maka Akademi Yakin buat permohonan kepada PTG (Pejabat Tanah dan Galian) dan (kini) masih di peringkat permohonan," katanya.
Mohd Amar menambah, Akademi Yakin telah mengarahkan syarikat berkenaan supaya membayar wang premium tanah bernilai RM4.7 juta kepada PTG sebagai proses pertimbangan projek itu sebelum dilaksanakan.
"Pembayaran premium tanah itu juga sebagai salah satu cara untuk mengenal pasti kemampuan kewangan syarikat tersebut.
"Itu cara kita nak nilai kemampuan syarikat, kalau dia tak bayar maka berhenti setakat itu sajalah.
"Jadi isu ini tak berbangkit kerana masih di peringkat permohonan, kerajaan negeri tak luluskan lagi," demikian hujah Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panchor itu.
Bahkan tambah beliau lagi, soal kerajaan negeri tidak mengeluarkan tender terbuka juga tidak berbangkit kerana ia amalan biasa apabila syarikat itu sendiri berusaha mencari tanah untuk dilaksanakan projek."Takkan orang lain susah payah cari tanah, kita nak buat tender terbuka. Itu tidak betul,” katanya.
Begini pula hujah balas Husam Musa:"Kelulusan Akademi Yakin sudah diberikan kepada tiga syarikat berkaitan, berdasarkan surat bertarikh 3 Oktober 2016.
"Timbalan Menteri Besar Kelantan tidak menafikan kelulusan ini. Apa alasan Akademi Yakin memberikan kelulusan? Itu antara pertanyaan saya di Dewan Undangan Negeri."Kelulusan di peringkat Akademi Yakin adalah fakta yang tak dinafikan. Satu daripada syarikat ini mengalami kerugian RM3.7 juta. Dua lagi tanpa rekod kewangan.
"Bermakna kemampuan kewangan syarikat adalah meragukan. Tetapi kenapa Akademi Yakin luluskan?
"Timbalan Menteri Besar tak payah berpusing jauh. Lagi pun, Timbalan Menteri Besar sebagai orang besar Jawatan Kuasa Tanah adalah juga Pengerusi Akademi Yakin. Orang yang sama."PTG kemudian mengeluarkan surat arahan melalui Akademi Yakin supaya tiga syarikat membuat bayaran deposit berjumlah RM4.683 juta. Surat untuk ketiga syarikat itu semuanya bertarikh 22 Mei 2017."Bayaran deposit untuk dilulus atau ditolak?"Untuk apa bayar deposit berjuta-juta untuk permohonan ditolak? Maknanya ia dalam proses kelulusan penuh. Bayaran deposit adalah syarat kelulusan penuh. Kelulusan dasar sudah selesai. Termasuk dalam senarai bayaran itu ialah hasil tahunan, pendaftaran dan pengeluaran hak milik dan harga batu sempadan. Batu sempadan apa kalau ditolak? Percubaan meluluskan sudah ada."Pendedahan saya menyebabkan kelulusan terbantut. Lalu Timbalan Menteri Besar mula mereka cerita.
"Mengenai hasil kayu yang kononnya jika ada akan ditender. Mustahil laporan kedudukan tanah dan isi tanah tidak dimaklumkan terlebih dahulu oleh PTG dan Jabatan Hutan sebelum kelulusan diberi.
"Jawapan untuk menender hasil kayu hanya datang selepas saya bangkitkan isu ini. Kalau tidak, hasil balak itulah ulam yg paling sedap." (Dipetik dari Malaysian Update.com bertajuk Sindir Pas Kelantan hasil balak bertarikh 24 November 2017).
Pertanyaan singkat buat mukmin
Jika al-Quran dibaca, zikir pun kencang sedangkan data dan fakta yang boleh disaksikan; terang-terangan sedang berlaku di hadapan mata, kita masih pura-pura buat tak tahu?
Cakap-cakap putar belit sesetengah agamawan pun kita diamkan saja atas nama kematangan, maka apa jaminan umat ini tidak dihempap kebinasaan?
Kali ini, saya akan kelihatan menulis lebih fokus kepada isu semasa untuk membetulkan salah tanggapan yang terkesan. Ada kalangan seolah-olah cuba menanam persepsi - kolum berkala yang saya catat cuma sekadar pojok mingguan yang leka bernostalgia tentang masa lalu terhadap Tok Guru per se.
Sebetulnya, jika diamati dengan teliti, jauh di mana-mana dalam tulisan saya, saya mengangkat satu sahaja titik tumpuan iaitu sikap dan amalan pemerintahan di era Tok Guru dengan tujuan menjadikanmya sebagai tilikan dan asas perbandingan.
Jauh di sana, saya halus cuba menyemai sebenih pohon contoh yang mulia; pernah ditumbuhkan manusia bernama Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk dijadkan sebuah carta semak.
Lihat apa yang diucap dan dilakukan Tok Guru sepanjang hayat pemerintahan dan lihat pula pelbagai kegelinciran yang telah dilakukan oleh pemimpin parti Islam sesudah itu.Camkan baik-baik. Dari situ, jika ada kejujuran barang sehelai janggut, tentu patut ada detik-detik muhasabah jika masih mahu berubah dan dilihat kekal menasabah. Jika tidak, terpulang.Masa dan khalayak pengundi tidak mampu menunggu lebih lama untuk munculnya sebuah kewarasan daripada para pemimpinnya.Dikhuatiri nanti, mereka akan laju menghukum lalu menggali sebuah lubang panjang untuk menanam parti agama terlama bernama PAS dan parti nasionalis Melayu terunggul bernama Umno - bersekali dalam sebuah liang kubur.
Sebagai penutup, izinkan saya petik sekali lagi maksud peringatan Allah yang berbunyi: "Dan, jika kamu berpaling nescaya Allah akan mengganti (kamu) dengan kaum yang lain, dan mereka tidak akan seperti kamu (ini)." (Muhammad : 38).
Naik khuatir juga membaca peringatan yang pernah diberi oleh Mark Twin:
Didoakan tidak, mudah-mudahan.
ANNUAL BAKRI HARON
-malaysiakini
Tiada ulasan:
Catat Ulasan