Syed Saddiq sangkal fitnah bulan madu dengan anak Azmin

Ketua ARMADA Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Syed Saddiq Abdul Rahman menyangkal beberapa dakwaan yang dilemparkan 'tentera siber' berhubung perjalanan beliau ke United Kingdom (UK) dan Perancis.

Antara dakwaan itu beliau berbulan madu bersama anak perempuan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di UK.

"Ini perkara paling lucu pernah saya baca. Pihak Umno pun sekadar kongsikan screenshot dari akaun palsu Twitter sebab takut di saman oleh saya," katanya.

Beliau berkata berdasarkan posting Twitter, sangat jelas anak perempuan Azmin sedang berada di Pulau Pinang dalam misi bantuan mangsa banjir.

Menurut Syed Saddiq beliau di Perancis untuk membentangkan kertas penyelidikan berjudul 'Thailand Post-Shinawat' dan 'The State of Political Islam in the Middle East'.

Juri debat Oxford IV

Beliau menambah diberikan peluang untuk menghakimi pertandingan akhir debat berprestij antara varsiti, Oxford IV.

"Saya juga mengendalikan dua bengkel dan mengadakan pertemuan dengan empat persatuan Malaysia," katanya.

Syed Saddiq turut menjelaskan dakwaan perjalanan beliau dibiayai BERSATU atau pengerusinya Tun Dr Mahathir Mohamad atau Azmin Ali.

"Satu sen pun duit perbelanjaan saya tak ditampung oleh parti, Tun Mahathir dan MB Azmin," katanya.

Katanya perbelanjaan perjalanan itu ditanggung oleh hasil penyelidikan dan bengkel-bengkel seliaan beliau.

Tuduhan promosi 'seks bebas'

Beliau juga mengkritik tuduhan beliau mempromosikan 'seks bebas' dengan mencadangkan pendidikan seks yang lebih holistik.

Beliau berkata hal ini penting menunjukkan perangkaan yang didedahkan parlimen menunjukkan majoriti kes pembuangan bayi dari keluarga Melayu Islam.

"Seramai 700 bayi dibunuh kerana pembuangan bayi," katanya.

Syed Saddiq berkata beliau sukakan kajian dasar awam dan ia merupakan minat beliau sebelum melibatkan diri dalam politik.

Beliau mendakwa oleh kerana kerajaan Umno-BN menutup peluang pekerjaan seperti pensyarah sambilan, juru latih atau penyelidik terhadap beliau dalam negara, maka beliau terpaksa mencari sumber pendapatan di luar negeri.

"Tolong faham, saya perlu bayar bil saya seperti anda semua.

"Saya lebih rela hidup sederhana tapi bermaruah dan berintegriti, dari hidup kaya tapi hina sebagai perasuah dan pencuri," katanya lagi.
-malaysiakini

Tiada ulasan:

Catat Ulasan