Reuters
NEW DELHI: Seorang lelaki Hindu di India cuba membuat kutipan dana untuk kempen terhadap masyarakat minoriti Islam dengan merayu derma menggunakan video yang diambil dan dimuatnaik memaparkan dia membunuh seorang orang Islam, kata polis hari ini.
Pembunuhan minggu lepas itu merupakan kejadian terbaharu yang menggemparkan masyarakat minoriti Islam di India yang pernah berdepan serangan perusuh yang menuduh mereka membunuh lembu, haiwan yang dianggap suci oleh penganut Hindu.
Lelaki Hindu itu, Shambu Lal Regar, ditangkap kerana disyaki menetak dan membakar seorang pekerja buruh beragama Islam di Rajasthan, kata polis.
Regar memuatnaik video serangan itu bersama maklumat akaun bank miliknya untuk mengutip derma membiayai kempen anti-orang Islam olehnya, kata pegawai polis Anand Shrivastava.
Lebih 700 orang dari serata India mendepositkan 300,000 rupee India (RM19,055) ke akaunnya.
“Tertuduh mahu menjadi pahlawan Hindu selepas membunuh seorang lelaki Islam, matlamat utamanya adalah mengumpul wang selepas melakukan jenayah kebencian itu,” kata Shrivastava.
Video Regar tular di media sosial sebelum pihak berkuasa menurunkannya. Penyiasat membekukan akaun bank itu dan sedang mengesan penderma, kata Shrivastava.
Shrivastava berkata video menunjukkan Regar yang mendakwa dirinya sebagai penganut Hindu yang bangga cuba menghalang “jihad cinta” – istilah yang digunakan oleh golongan Hindu garis keras yang menuduh lelaki Islam memerangkap perempuan Hindu atas nama cinta dalam usaha mengislamkan mereka.
Kerajaan Perdana Menteri Narendra Modi, yang mengetuai parti nasionalis Hindu, Bharatiya Janata, dikritik kerana tidak berusaha secukupnya untuk menghalang serangan ke atas orang Islam.
Kerajaan menolak dakwaan itu. Modi mengecam keganasan yang dilakukan atas nama melindungi lembu.
Seramai 172 juta daripada 1.32 bilion rakyat India adalah orang Islam dan pengkritik Modi berkata kumpulan Hindu berkaitan partinya sedang cuba meminggirkan golongan itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan