Pas Johor nak tanding 40 kerusi Dun, 15 parlimen, jangan hilang semua wang pertaruhan sudahla

MALAYSIA DATELINE
Mahfodz Mohamad, Pesuruhjaya  Pas Johor berkata, Pas lebih selesa tanding 3 penjuru.Pesuruhjaya Pas Johor, Datuk Dr. Mahfodz Mohamad berkata dalam keadaan bersendirian parti itu akan bertanding lebih 40 kerusi Dun dan 12 hingga ke 15 kerusi parlimen termasuk di Segamat, Kluang, Batu Pahat, Bakri dan Labis.
Pas negeri Johor juga, katanya, yakin akan dapat mempertahankan kesemua empat kerusi parti itu dan menambah beberapa kerusi Dun yang berpotensi menang dalam 15 kerusi dalam pilihan raya akan datang.

"Kalau kita menang kita boleh jadi 'king maker' kerana ketika itu Umno atau pembangkang yang lain akan memerlukan Pas kerana tanpa kita mereka tidak boleh memerintah," kata beliau dalam satu wawancara yang disiarkan Sinar Harian hari ini.

Mengenai hubungan dengan PKR beliau berkata apabila diputuskan nanti oleh Pas Pusat, pimpinan Pas Selangor sedia akan meletakkan jawatan.

"Tetapi sehingga kini masih belum ada apa-apa keputusan yang muktamad, jadi mereka yang jadi Exco dan lain-lain menunggu sehingga ada keputusan," katanya.

Mengenai parti Bersatu pula, Pas katanya secara prinsipnya akan teruskan perbincangan walaupun ada berita-berita terbaru bahawa terutamanya Pengerusi Bersatu (Tun Dr Mahathir Mohamad) dan menyertai Pakatan Harapan.

"Jika dia memang dah muktamad bersama dengan Pakatan Harapan, malahan ada mengatakan dia nak jadi ketua dalam Pakatan Harapan, maka Pas tidak akan bekerjasama dengan Bersatu," katanya.

Beliau melihat mungkin ada hikmahnya di sebalik sendirian itu, di mana pati itu tahu kekuatan sendiri dan boleh teruskan dasar-dasar yang diperjuangkan.

"Apabila kita bekerjasama kita kena tolak ansur, tidak boleh bawa Islam semua sekali. Jadi ada pro dan kontra, walaupun dari segi kemenangan belum tentu.

"Jika dahulu, kita menang kerana ada sokongan orang bukan Islam, daripada kaum lain, tetapi apabila ada wakil rakyat kita yang kerja rajin terus mesra pengundi tidak kira kaum, mungkin pengundi yang mengundi Pas akan terus memberi undi jika dulu 80 peratus sekarang mungkin 40 peratus namun bagi Melayu kita lihat jika dulu 60-40 peratus antara Umno atau Pas, tetapi kalau sendirian Melayu mungkin beri swing kepada Pas," katanya.

Pas katanya lebih selesa menghadapi pilihanraya secara tiga penjuru.

"Kita tidak mahu sangat dua penjuru, kerana apabila dua penjuru Pas yang akan teruk.

"Apabila tiga penjuru lawan Umno, dan parti pembangkang lain belum tentu siapa akan menang.

"Tapi Pas parti lama, kita punya penyokong ramai, ada kerusi yang boleh menang walaupun bersendirian, kerana orang Pas yakin kemenangan di tangan Allah SWT.

"Sebab itu Pas tidak kecewa, kalah selalu tapi menang sekali-sekali tapi kita tidak keluar parti, yang keluar itu kerana dia kecewa," katanya.

Tiang seri Umno bakal roboh

AHMAD LUTFI OTHMAN

Dalam tempoh yang lama, pemimpin Umno Johor mungkin boleh berbangga dengan kekuatan pengaruh dan sokongan yang diterima parti kelahiran negeri itu.

Walaupun tidak sedikit pergolakan dalaman meletus selama ini, ia tidak begitu menjejaskan prestasi Umno-BN Johor dalam pilihan raya.

Johor dianggap tiang seri Umno. Sukar pembangkang bertapak. Mohamad Sabu semasa memimpin Pas dahulu pernah berseloroh: "Kalau calon Pas di Johor tidak hilang deposit, sudah cukup baik. Apatah lagi jika menang satu kerusi, boleh buat kenduri besar-besaran."

Kemenangan gemilang Shahrir Samad, dengan majoriti hampir 13,000 undi, sebagai calon bebas dalam pilihan raya kecil (PRK), Ogos 1988, membuka mata banyak pihak.

Ketika itu, Umno berpecah teruk, terbahagi dua, Team A dan Team B. Musa Hitam, tokoh popular dari Johor, bekas timbalan perdana menteri, orang no 2 Team B.
Momentum terhalang

Bagaimanapun momentum Johor Bahru terhalang apabila dua bulan kemudian, dalam satu lagi PRK, calon BN menang tipis- majoriti 413- di kerusi Dun Parit Raja.

Maka selamatlah Umno daripada gelora kebangkitan rakyat Johor. Sementalahan pula calon S46 juga tewas dalam siri PRK seterusnya, Parlimen Ampang Jaya, Selangor (Januari 1989) dan Dun Tambatan, Johor (Ogos 1989).

Agak menarik, dalam Pilihan Raya Umum 1990, meskipun Parti Melayu Semangat 46 kurang mendapat sambutan di negeri-negeri lain, kecuali Kelantan, pencapaiannya di Johor tidaklah mengecewakan. Peratusan undi calon-calonnya tidak boleh diremehkan. Walaupun tanpa Musa dan Shahrir dalam S46, seorang calonnya, Cikgu Kahar Ahmad menang di Dun Parit Bakar.

Namun begitu, semasa laungan Reformasi bergemuruh pada 1998, diikuti PRU1999 yang menyaksikan protes terbuka orang Melayu terhadap kes pemecatan Anwar Ibrahim, tempiasnya seperti tidak menjejaskan Johor.

Dalam sesi wawancara dengan Shahrir di pejabatnya, Sri Hartamas, sekitar tahun 2000 saya bertanyakan pandangannya mengenai keputusan pilihan raya umum itu.

Beliau menyimpulkan, itulah kekuatan Umno Johor, dapat mengawal kesetiaan pengundi walaupun negara berdepan isu Anwar yang dahsyat.

Kini, sebenarnya bermula 2013, Umno Johor sudah terkeluar daripada zon selesa. Buat pertama kali Pas menang 4 kerusi Dun. Ia mengingatkan kata-kata Almarhum Tuan Guru Nik Abd Aziz Nik Mat, yang diungkapkan kembali oleh Mazlan Aliman, Presiden Anak, yang juga Naib Pengerusi Amanah Johor.

Kubur Umno

"Ketika saya menjadi Ketua Pemuda Pas Johor, Tok Guru Nik Aziz berceramah di Benut dan kerana kedatangan hadirin tidak ramai saya memberitahunya Johor ini kubu Umno. Tok Guru berbisik kepada saya, sekarang memang kubu Umno, insya-Allah akan datang Johor akan jadi kubur Umno," cerita Mazlan dalam majlis ceramah di Ketereh, Kelantan, awal Mac 2017.

Mungkin secara kebetulan, pertemuan bekas pimpinan tertinggi Pas yang tersingkir dalam muktamar 2015 juga diadakan di Bakri, Muar, yang mencetuskan idea penubuhan parti baru, Parti Amanah Negara. Bumi Johor itu juga menyaksikan peralihan besar-besaran barisan pemimpin Pas negeri menyertai Amanah.

Apabila Adun Jorak, Johor, Shahrudin Salleh meninggalkan Umno, akhir 2016, BN hilang majoriti dua pertiga. Beliau dilantik Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia. Presidennya, Muhyiddin Yassin juga tokoh berpengaruh di negeri itu. Benteng Umno Johor makin dirobek.

Johor mungkin diambil alih Pakatan Harapan, lebih awal ketimbang negeri-negeri lain di hujung Semenanjung. Sementara pengundi Cina sudah menunjukkan sokongan optimum dalam PRU13, yang memenangkan semua calon Dun DAP kecuali seorang, masyarakat Melayu termasuk di kampung tradisional dan penempatan Felda nampak makin mesra dengan oposisi.

Dzulkefly Ahmad
Serangan hendap

Secara tiba-tiba, bagaikan diasak serangan hendap. deretan isu-isu rakyat dan salahguna kuasa pemerintahan Khaled Nordin terburai.

Sekurang-kurangnya, dua pimpinan utama Amanah, Salahuddin Ayub sebagai timbalan presiden parti dan Dzulkefy Ahmad, timbalan pengerusi negeri- di samping Aminolhuda Hassan, ketua negeri dan Adun tunggal Amanah - memberikan respons proaktif, hampir setiap hari, mengulas secara terperinci dan berfakta kes-kes korupsi yang mencolok mata itu.

Dalam satu pertemuan khas, Dzulkefly yang berpengalaman luas dalam bidang hartanah menjelaskan tujuh isu utama rakyat Johor. Pertama, isu rasuah hartanah yang melibatkan Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta anak dan pegawai khasnya.

Kedua, isu penahanan Ketua Pemuda Umno Gelang Patah yang juga Ahli Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah (MPJBT) oleh SPRM. Kes penipuan dan rasuah surat tawaran Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ).

Lambakan pekerja asing

Ketiga, isu lambakan pekerja asing sehingga warga tempatan sukar mendapat kerja. Keempat, isu bekalan air bersih dan pencemaran sungai dgn aktiviti korek pasir dan kawasan tadahan air di sekitar empangan tidak diwartakan dan digunakan sebagai aktiviti dan pertanian yang akhirnya menyumbang kepada pencemaran sungai. Termasuk kilang yang melepaskan sisa buangan terus ke sungai.

"Masalah pengangkutan terutama melibatkan kesesakan di causeway dan jambatan kedua ke Singapura juga isu besar," tambah Dzulkefly.

Selain itu, isu perumahan khususnya RMMJ yang dahulu dikenali sebagai kuota kos rendah yang berharga RM42.000, RM80,000 dan RM150,000. Sehingga kini yang mendaftar secara online untuk dapatkan rumah RMMJ seramai 106,649 tetapi kerajaan negeri hanya dapat menyediakan 60,000 unit menjelang 2020.

"Juga pemilikan hartanah kediaman oleh warga asing diberikan status freehold seperti di Forest City," ujarnya. Bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad sendiri memfokuskan isu Forest City dalam siri kempennya untuk menjatuhkan PM Najib Razak. Beliau turut turun padang dan bergambar di sana untuk menunjukkan bukti mengenai dakwaannya berkaitan pemilikan kekal hartanah oleh warga asing.

Dzulkefly turut membangkitkan isu Biasiswa Bangsa Johor. "Yayasan Pelajaran Johor pernah menyediakan biasiswa untuk anak Johor belajar di IPTA. Sekarang hanyalah pinjaman. Dengan rezab tunai kerajaan Johor mencecah RM3.43 bilion, biasiswa sepatutnya diwujudkan semula," katanya.

Diminta penjelasan lanjut isu-isu kontroversi mengenai hartanah, Dzulkefly yang juga bekas Timbalan Pesuruhjaya Pas Johor itu menghuraikan kes penipuan dalam pengurangan bayaran premium bagi tanah yang ditukar syarat daripada pertanian kepada kediaman atau industri. Juga penipuan penukaran status lot Bumiputera kepada bukan Bumi.

Isu Forest City

"Dalam Forest City dikurniakan freehold kepada warga asing khususnya rakyat negara China. Penipuan juga dalam tawaran RMMJ. Rumah tidak sampai kepada golongan sasaran B40 dan M40. Seterusnya, harga rumah terlalu mahal sehingga rakyat tempatan tak mampu beli. Dan kelonggaran kepada pemaju dimanipulasi pihak tertentu untuk dapatkan rasuah," hurainya lagi.

Mengenai sambutan pengundi Melayu terhadap Pakatan Harapan, Dzulkefly percaya pengaruh Bersatu dapat memberi impak besar, selain gerak kerja proaktif dan berterusan Amanah.

"Jumlah ahli Bersatu di setiap kawasan Parlimen sekitar 1,000 hingga 2,000 orang dan majoritinya adalah ahli Umno. Program Bersatu dapat tarik crowd Melayu hatta di kawasan Felda terutama bila Tun Dr Mahathir, Mukhriz dan Tan Sri Muhyiddin hadir," katanya.

Sementara pemimpin Amanah lebih mengambil pendekatan berhemah dan menitik-beratkan kebajikan rakyat, terutama pengundi Melayu luarbandar. Antara pendeklatannya, banyakkan dialog santai di kedai makan dengan pimpinan Amanah Johor.

"Kita menamakan pengundi yang ada penyakit kritikal secara percuma dalam Skim Khairat Prihatin Johor (SKPJ). Jika mati waris dapat RM1,000. Juga diwujudkan Kedai Peduli kepada golongan berpendapatan rendah dengan beri barangan keperluan harian secara percuma," tambah Dzulkefly.
(dari kiri) Onn Jaafar dan  Mohd Azam Mektar
Turun akar umbi

Pengarah Komunikasi Amanah Negeri, Onn Jaafar pula menekankan keperluan mendekati masyarakat Melayu dan NGO Melayu secara bijaksana. Pertemuan dengan tokoh-tokoh Melayu Johor diatur.

"Kita mesti turun ke akar umbi, hayati dan rasai sendiri masalah kehidupan seharian rakyat yang kian tertekan hari ini. Banyak problem rakyat diketahui hasil aktiviti turun padang ini. Kita akan teruskan program ini," jelas Onn.

Manakala Naib Ketua Pemuda Amanah Johor, Mohd Azam Mektar menjangkakan pada PRU14 rakyat Johor akan membuat kejutan. "Saya dapat bayangkan, di malam keputusan PRU 14 diumumkan, satu persatu keputusan kerusi akan dinantikan penuh debar oleh seluruh rakyat Johor. Gelombang perubahan PRU14 akan bermula dari Selatan," kata Azam. Tapi beliau mengingatkan semua parti pembangkang agar jangan rasa selesa.

"Di saat rata-rata anak muda yang kami temui menyatakan rasa tidak sabar untuk keluar mengundi pada PRU14, kesepaduan, kesepakatan, kerjasama, tolak ansur sesama parti pembangkang harus dipertingkat dan diperkemaskan. Jika tidak, pembangkang akan berputih mata, di saat memiliki peluang terbaik dalam sejarah Johor," ujar Azam, yang juga Pengarah Biro Pilihan Raya Pemuda Amanah Johor.

Peluang anak muda

Beliau juga mencadangkan agar Amanah memberi laluan mudah kepada anak muda yang berkebolehan untuk menyumbang. "Usah dipersulitkan dengan pelbagai birokrasi. Tenaga muda berbakat walaupun masih baru dalam parti, beru ruang dan peluang untuk maju ke depan. Jangan berkira sangat soal tua atau muda, baru atau lama, tengok macamana DAP meraikan orang baru yang berketrampilan," syor Azam.

Sementara Ketua Wanita Muda Amanah, Anis Afida Mohd Azli bersyukur kerana kewujudan Amanah dan perjuangan parti baru itu sudah mula difahami rakyat, termasuk wanita muda.

"Kempen perlu dipergiat untuk kenalkan Amanah. Sebabnya, bila dikhususkan kepada sokongan terhadap parti ia masih bersifat fragile. Walaupun orang marah dengan kepincangan kerajaan BN, untuk diterjemahkan kepada kertas undi masih tidak dapat dipastikan," terangnya lagi.

Ditanya cabaran utama buat Wanita Muda Amanah, Anis menjelaskan, kita berdepan pengundi wanita muda dari sudut mendapatkan kepercayaan dan keyakinan mereka akan kemampuan Amanah untuk membela mereka.

Anis Afida Mohd Azli
"Sifat seorang wanita terutama Melayu terikat dalam membuat keputusan. Semasa muda terikat dengan keputusan ibu bapa dan selepas berumah tangga terikat dengan suami. Amat sedikit wanita yang berdiri tegak atas prinsip dan kepercayaan terutama dalam pendirian politik. Mereka lebih cenderung untuk melihat pendirian politik ibu bapa dan suami," jelas Anis.

Syor beliau, diperkasakan medium penerangan alternatif terhadap isu rakyat, khususnya melalui media sosial secara maksimum oleh parti untuk menyampaikan maklumat dan membuat pencerahan kepada pengundi.

Justeru, Amanah Johor telah menubuhkan Media Amanah Johor (MAJ) yang diketuai oleh Suhaizan Kayat, Naib Pengerusi Amanah negeri dibantu wartawannya secara sepenuh masa dan berbayar. Antara programnya yang menonjol adalah LIVE BONGKAR, yang disiarkan secara langsung melalui internet. Antara tema yang pernah dibincangkan adalah "pengkhianat hartanah Johor" dan "Rasuah: Najib lawan Khaled".

Dinamika politik Johor

Sesungguhnya dinamika politik Johor mutakhir ini memang memikat. Ada penganalisis menjangkakan, kalaupun Pakatan Harapan belum dapat menguasai Putrajaya dalam PRU14, tidak mustahil ia dapat mentadbir Nusajaya, pusat pentadbiran kerajaan Johor.

"Kalau tahun lepas ada ura-ura pilihan negeri Johor diadakan berasingan daripada pusat untuk elak kes rasuah mega Najib Razak pengaruhi pengundi, sekarang isu korupsi pemerintahan Khaled Nordun pun sudah cukup untuk menjatuhkan BN Johor," kata penganalisis itu.

Akhbar The Star melaporkan bahawa majoriti wakil rakyat Umno Johor menyatakan sokongan untuk pilihan raya negeri yang berasingan dalam satu komunikasi kumpulan dalaman parti itu. Sokongan itu berpunca daripada kebimbangan akan diseret dengan skandal memalukan Najib yang semakin didedahkan badan-badan antarabangsa serta bagi mencegah pengaruh Muhyiddin di negeri itu.

"Saya kira personaliti Salahuddin Ayub, Timbalan Presiden Amanah, cukup sesuai dengan watak bangsa Johor, yang tidak gemar dengan pendekatan kasar dan mahu melihat hasil berbanding retorika politik. dia aset yang baik untuk Amanah Johor," tambah penganalisis berkenaan.

Rundingan kerusi

Ditanya soal pembahagian kerusi, Timbalan Pengerusi Amanah Johor, Dzulkefly menjelaskan ia masih dalam rundingan.

"Kerusi Dun Pas dalam PRU13 ada 30, DAP 14 dan PKR 12. Secara purata kalau 56 kerusi dibahagi kepada empat parti maka setiap parti dapat 14 kerusi. Maknanya PKR dan DAP tidak akan memberi kerusi kepada Bersatu. Jadi Amanah perlu melepaskan beberapa kerusi kepada Bersatu. Kemungkinan Amanah akan bertanding kurang daripada 20 kerusi Dun," ujarnya.

"Bagi kerusi Parlimen, andaian awal Amanah diperuntukkan semua kerusi Pas, lapan, DAP enam dan PKR 12. Semua 26 kerusi jika dibahagi empat parti, lebih kurang tujuh kerusi setiap parti. Diharapkan KeADILan dapat berikan beberapa kerusi kepada Bersatu. Dan Amanah confirm perlu lepaskan Parlimen Pagoh kepada Bersatu," tambah Dzulkefly.

Mengenali tiga ketua komponen Pakatan Harapan Johor, iaitu Aminolhuda Hassan (Amanah), Liew Chin Tong (DAP) dan Hassan Karim (PKR), saya yakin proses agihan kerusi akan berjalan lancar. Ketiga-tiga mereka berpandangan jauh, berfikiran terbuka dan meletakkan kepentingan rakyat sebagai agenda utama. Penyertaan Bersatu juga memberi nilai tambah yang cukup positif, terutama di kawasan majoriti pengundi Melayu.

Saya juga tertarik dengan ucapan Chin Tong semasa konvensyen bersama peringkat kawasan Kulai, yang disertai oleh semua empat parti dalam Pakatan Harapan, pada 25 Februari lalu.

Beliau yang juga ahli Parlimen Kulai menegaskan: "Untuk menghadapi PRU14, gabungan politik Pakatan Harapan + Bersatu memerlukan dasar-dasar kebangsaan serta negeri yang benar-benar memahami dan akur tentang kehidupan serta keperluan pengundi kawasan separa bandar dan luar bandar.

Oleh itu, dasar bersama yang kita akan gubal nanti perlu lebih mendalam, meyakinkan dan benar-benar memahami keadaan serta aspirasi rakyat."

Video: Pencuri dipaksa gali kubur sendiri

Afrika Selatan – Seorang lelaki yang ditangkap penduduk kerana disyaki melakukan banyak jenayah pecah rumah dipaksa menggali lubang sebelum separuh badannya ditanam dalam lubang itu.

Dalam rakaman video yang disiarkan semalam, orang ramai di bandar Dwarsloop di wilayah Mpumalanga kemudian memukul lelaki itu yang separuh badannya tertanam.

Dalam kejadian minggu ini, selepas ditangkap, lelaki itu diberi penggali dan dipaksa oleh orang ramai yang mengerumuninya, supaya menggali lubang kuburnya sendiri sebelum diarah masuk ke dalam lubang itu dan ditanam separuh badan.

Dalam video berkenaan yang dirakam seorang penduduk dikenali sebagai Tumelo Dibakwane, beberapa orang dilihat memukul kepala lelaki itu dengan penggali.

Menurut media tempatan, orang ramai sebelum ini bercadang membakar lelaki berkenaan hidup-hidup dan selepas lebih sejam tertanam, selepas puas merayu, lelaki berkenaan dibebaskan.

Polis kemudian menghantar lelaki itu ke hospital kerana mengalami beberapa kecederaan dan menurut jurucakap polis bandar itu, Sarjan Gerald Sedibe, mangsa enggan membuat laporan. – Daily Mail
-kualalumpurpost

Mahkamah Sivil juga ikut syariah?

WAN JI BIN WAN HUSSIN

Mahkah Sivil juga melaksanakan Syariah.

Disamping hudud dan Qisas, takzir juga dianggap sebagai syariah dari sudut fiqh perundangan Islam. Tidak sepertimana Hudud dan Qisas, Takzir tidak ditetapkan menerusi teks wahyu, tetapi tertakluk kepada pendekatan pemerintah.

Takzir berasaskan kepada prinsip maslahah. Ini kerana, dalam fiqh disebut, ''urusan pemerintah terhadap rakyat tertakluk kepada kemaslahatan''. Disamping kemaslahatan, takzir juga perlu menepati prinsip keadilan. Ini kerana, tujuan utama bagi penurunan syariah adalah mencapai keadilan kepada manusia.

Hudud dan qisas adalah soal syarat-syarat pembuktian yang ketat, malahan kadangkala susah hendak dicapai. Apabila syarat-syarat tidak dapat disempurnakan, hudud tidak dilaksanakan.Namun begitu, tidak bermakna pesalah bebas, sebaliknya tetap dikenakan hukuman atas nama takzir.

Ekoran itu, hukum potong tangan pasti tidak dapat dilaksanakan ketika syarat-syaratnya tidak dapat disempurnakan, seperti barang kecurian tidak sampai kadar satu perempat dinar, barang kecurian tida terjaga rapi dan sebagainya. Walaupun pencuri terlepas dari hukuman potong tangan yang merupakan hudud, pencuri tersebut tetap dikenakan hukuman atas nama takzir. Begitujuga hukuman sebatan seratus sebatan bagi kesalahan zina, yang apabila syarat-syarat pembuktian zina gagal disempurnakan, seperti saksi tidak capai empat orang saksi adil yang melihat dengan mata mereka kejadian zina seperti melihat masuk kayu celak ke dalam botol celak. Walaupun hukuman sebatan 100 kali tidak boleh dilaksanakan atas nama hudud, penzina tetap dikenakan hukuman atas nama takzir, iaitu hukuman yang ditetapkan oleh pihak kerajaan.

Di mahkamah sivil, banyak hukuman boleh dianggap bersifat syariah dari kacamata takzir. Malahan, salah seorang ulama al-Azhar bernama Dr Abd Rab al-Nabi dalam tesis Phd beliau bertajuk ''Nazariah al-Muwazanat Bain al-Manafi' wa al-Madhar Fi Ithor al-Qanun al-Am'' menyatakan pengamalan mahkamah sivil di Perancis, banyak menepati dengan hukuman syariah menerusi ijihad dalam Mazhab Maliki. (lihat muka surat 105)

Tanpa boleh dinafikan, ada beberapa kesalahan di mahkamah syariah tidak ikut syariah. Contohnya, mengajar tanpa tauliah. Ini kerana, hadis ada menyatakan bahawa Nabi saw suruh menyampaikan ilmu dari nabi, walaupun hanya satu ayat. Mengkritik fatwa bukan satu kesalahan syariah, tetapi dianggap sebagai kesalahan di mahkamah syariah.

Jelas bahawa ada beberapa kesalahan dan hukuman di mahkamah sivil sudah menepati syariah, dan ada beberapa kesalahan di mahkamah syariah tidak ikut syariah.

Soal capaian keadilan, tanpa dinafikan bahawa mahkamah syariah sendiri banyak melaksanakan hukuman secara tidak adil. Ekoran itu, dalam kes melibatkan Ustaz Rasul Dahri, beliau dipenjarakan selama setahun semata-mata mengajar ilmu agama dengan alasan tanpa tauliah; YB Khalid Samad dikenakan denda RM 2900 semata-mata berceramah memberikan kesedaran terhadap penafian kemanusiaan pada rakyat Ghaza dengan alasan tiada tauliah.

Dalam hal Mahkamah sivil, tanpa dinafikan sememangnya wujud beberapa kesalahan dan hukuman yang tidak adil, tetapi di sana terdapat juga banyak kesalahan dan hukuman yang adil, tetapi ketidak-adilan berlaku ekoran ketempangan cara pengendalian oleh hakim yang membuat keputusan terhadap sesuatu kes. Keadaan sebegini pernah berlaku dalam pengamalan perundangan syariah di Sudan dan Pakistan, sehinggakan syariah di sana semakin ditolak, walaupun pada peringkat awal ia diperjuangkan oleh rakyat mereka.

Ekoran itu, bukan semua kesalahan dan hukuman yang ada di mahkamah sivil boleh dianggap sebagai menyanggahi syariah, bahkan terdapat sebilangan kesalahan dan hukuman di mahkamah sivil masih dalam lingkaran semangat syariah. Perkara ini amat selaras dengan apa yang pernah diungkapkan oleh Ibn al-Jauzi yang menyatakan bahawa apabila zahir tanda-tanda keadilan, maka sudah cukup didapati syariah Allah (Turuq Hukmiyyah, hlmn 13).

Jelas bahawa pengamalan dalam mahkamah sivil, ada beberapa kesalahan dan hukumannya selaras dengan syariah, dan ada beberapa kesalahan dan hukuman di mahkamah syariah tidak ikut syariah.

Wallahu ‘Alam.

* Penulis adalah Pengasas Sekolah Pemikiran Asy-Syatibi.

Padah cuba baham landak (video)


Rio de Jenerio – Malang bagi seekor ular boa yang menderita kesakitan ketika cuba membaham landak namun landak itu mempertahan dirinya dengan menembak duri pada badan ular berkenaan.

Dalam kejadian di Brazil yang tidak dinyatakan tempat dan masa ini, rakaman video menunjukkan ular itu tidak berdaya bergerak sebaliknya mengeliat kesakitan dengan duri landak memenuhi hampir seluruh badannya.

Rakaman video itu dikongsi melalui platform perkongssian video, LiveLeak, minggu lalu.

Antara komen mereka yang melihat video itu ialah ‘Hari malang ular ini, kasihan dia menderita’ dan ‘Tak ada sesiapa mahu membantunya?’.

Makanan ular boa ialah haiwan kecil, terutama kelawar, tikus, burung serta biawak yang mengambil masa empat hingga enam hari untuk hadam.
-kualalumpurpost

Suami lapor isteri bersama lelaki lain di hotel

Lelaki itu sedang disoal siasat penguat kuasa selepas ditahan bersama seorang wanita di dalam sebuah bilik hotel di Kuala Nerus, Selasa lalu.
KUALA TERENGGANU - Mengakui terhutang budi kerana teman lelakinya sering membantu dari segi kewangan untuk memajukan perniagaan, seorang wanita ‘terlupa’ dirinya berstatus isteri sehingga sanggup menjalin cinta dengan lelaki berlainan bangsa itu.

Hubungan sulit di antara wanita berusia 27 tahun itu bersama pasangannya terbongkar selepas bilik di sebuah hotel di Kuala Nerus yang disewa mereka diserbu penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), kira-kira jam 7.35 pagi, Selasa lalu.

Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Wan Mohd Wan Ibrahim berkata, serbuan dibuat susulan aduan daripada suami wanita tersebut yang membuat intipan sebelum memaklumkan kepada penguat kuasa.

Jelasnya, suami berusia 30-an itu mengambil keputusan membuat siasatan selepas curiga dengan perubahan sikap isterinya yang sering mengamuk setiap kali dia tidak mengizinkan untuk keluar dengan lelaki tersebut.

“Sebelum ini isterinya sering memberi alasan keluar bersama lelaki itu kerana urusan perniagaan, namun sejak kebelakangan ini, hubungan mereka dilihat agak ‘pelik’ di mata suaminya.

“Boleh dikatakan hampir setiap hari si isteri akan keluar bersama lelaki itu, malah suaminya merasa hairan kerana isterinya kuat melawan dan akan mengamuk apabila tujuannya untuk keluar dengan lelaki tersebut dihalang,” katanya.

Wan Mohd berkata, perasaan curiga suaminya semakin membuak apabila melihat lelaki cina itu dengan selamba mengambil isterinya di hadapan rumah mereka dengan sebuah kereta, awal pagi, hari kejadian.

“Nekad untuk mengetahui status sebenar pasangan itu, lelaki tersebut mengambil keputusan mengekori kenderaan itu tanpa disedari pasangan terbabit sebelum kecewa apabila melihat isterinya dengan selamba masuk ke dalam sebuah hotel dengan lelaki itu.

“Meskipun terlalu marah dan kecewa dengan sikap isterinya, lelaki itu tidak mahu bertindak sendiri kerana bimbang akan keselamatan dirinya sebelum mengambil keputusan menghubungi penguat kuasa,” katanya.

Kata Wan Mohd, semasa serbuan dilakukan, pasangan didapati bersekedudukan mereka dibawa ke pejabat JHEAT untuk disiasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 29 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 kerana percubaan melakukan persetubuhan luar nikah.

Dalam masa sama, Wan Mohd meminta orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kegiatan atau aktiviti tidak sihat di kawasan masing-masing dapat menyalurkan sebarang maklumat dengan menghubungi di talian 019-9512114, 019-9372114 atau 019-9132114.
-sinarharian

Akhirnya Rajnikanth terpaksa berswafoto dengan Najib

Najib bertemu Rajnikanth, berswafoto di India
Datuk Seri Najib Razak yang sedang mengadakan lawatan rasmi ke India, bertemu ikon filem Tamil, Rajnikanth, di kediaman pelakon handalan itu di Chennai.

Perdana menteri turut memuat naik imej swafoto beliau dengan pelakon itu, diiringi keterangan: "Baru mengadakan pertemuan sangat mesra dan ramah dengan superstar Tamil En Rajnikanth di rumahnya."

Pada Rabu lalu Malaysiakinimemetik laporan portal berita India, The Telegraph, yang menyatakan Najib serta isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor, meminta untuk bertemu Rajnkanth sempena lawatan mereka ke negara itu.
Portal berkenaan berkata, pasangan terbabit menjadi peminat Rajnikanth ketika beliau berada di Melaka untuk menyiapkan penggambaran filem Kabali.

Ekoran laporan berkenaan, pembantu Rosmah, Datuk Rizal Mansor, menafikan ada permintaan seumpama itu dibuat kepada Rajnikanth.

Katanya, walaupun Rosmah amat menghormati Rajnikanth dan menyedari kehebatannya, beliau tidak membuat permintaan untuk bertemu pelakon legenda terbabit.

"Ia juga tidak ada dalam jadual kunjungan (Rosmah) ke satu daripada negara yang mengalami pembangunan ekonomi terpantas di dunia itu," katanya dalam kenyataan pada 29 Mac lalu.

Tindakan perdana menteri berswafoto dengan personaliti terkenal dunia bukanlah sesuatu yang asing.

Sebelum ini beliau membuktikan keakraban beliau dengan Raja Salman Abdulaziz al-Saud ketika pemimpin tertinggi Arab Saudi itu mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia hujung Februari lalu.

Sebelum ini Najib turut melakukan swafoto dengan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong; presiden ke-44 AS, Barack Obama; Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan; presiden ke-24 Perancis, Francois Hollande dan penyanyi terkenal, Usher.

"Siapa yang tak kenal @superstarrajini ? Gembiar dapat bertemu superstar itu secara peribadi hari ini," kata Najib melalui Twitternya sekali lagi petang ini.
-malaysiakini

RUU 355: Pemimpin Pas perlu terima hakikat ditipu, usah bohongi ahli

MALAYSIA DATELINE
Para pemimpin Pas perlu menerima hakikat telah diperdaya Umno dalam isu pindaan Akta 355 dan tidak terus membohongi ahli kononnya keengganan kerajaan BN untuk membentangkan RUU 355 tidak menjejaskan usaha untuk memperkasakan Mahkamah Syariah.

Mengulas kenyataan Ketua Pemuda Pas Pusat Nik Abduh Nik Abdul Aziz dan Ketua Penerangan Pas Nasrudin Hassan berhubung keputusan kerajaan BN itu, Pengarah Komunikasi Amanah Selangor Jamzuri Ardani menasihati para pemimpin Pas agar tidak terus memainkan sentimen rakyat.

"Kenyataan Nik Abduh dan Nasrudin Tantawi bahawa keengganan BN untuk membentang RU355 tidak menjejaskan usaha parti itu untuk memperkasa Mahkamah Syariah adalah satu pembohongan.

"Keengganan BN untuk bentang RUU 355 (Rang Undang-undang 355) sangat menjejaskan usaha meminda Akta 355. Ini kerana, MP Marang hanya boleh kemuka usul sahaja," jelas beliau.

Menurutnya, walaupun usul RUU 355 yang dibawa Ahli Parlimen Marang merangkap Presiden Pas diluluskan di Parlimen, ia masih perlu dibentangkan wakil kerajaan di Dewan Rakyat untuk proses penggubalan.

"Apabila kerajaan enggan bentang, maknanya usul itu tidak bermakna dan sia-sia dari sudut legislatif. Terimalah hakikat anda telah ditipu dan usaha ini telah terkandas di tengah jalan. Berhentilah memainkan sentimen rakyat," ujar Jamzuri.
Nik Abduh baru-baru ini menyifatkan keputusan kerajaan BN untuk tidak membentangkan RUU355 tidak menjejaskan usaha Pas.

"Ia sekadar balik asal dan kembali kepada persediaan asal PAS," tulisnya di laman facebook.

Mengulas isu yang sama Nasrudin menyifatkan keputusan BN itu tidak menjejaskan apa-apa bagi pihak Pas dan menganggap situasi "kekal pada format asal".

"Sememangnya Ahli Parlimen Pas sejak awal telah diletakkan dalam 'mode standby' bagi menghadapi perbahasan di parlimen.

"Hanya beza jika kerajaan BN bentang maka ia menjadi bill kerajaan yang diutamakan angka gilirannya. Jika Pas yang membentangnya maka ia kekal seperti asal iaitu rang undang-undang persendirian maka gilirannya ditentukan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat melalui peruntukan peraturan dewan," katanya yakin.

Perdana menteri Datuk Seri Najib Razak selepas mempengerusikan mesyuarat dewan tertinggi BN di Menara Dato' Onn, Kuala Lumpur, Rabu lalu, mengumumkan keputusan kerajaan BN untuk tidak membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau RUU 355.

Menurut Najib, keputusan itu selaras dengan amalan BN yang membuat keputusan berdasarkan konsensus bersama parti komponen.
Sehubungan itu, kata Najib, pembentangan RUU 355 akan kekal sebagai rang undang-undang persendirian yang akan dibentangkan Abdul Hadi.

BN juga, tambah Najib menyerahkan kepada speaker Dewan Rakyat untuk menentukan tarikh dan masa pembentangan berdasarkan aturan mesyuarat Dewan Rakyat.

"Kita tidak akan bentang dan tentukan dasar kita dalam soal ini kerana RUU 355 ini adalah rang undang-undang persendirian," katanya pada sidang media.

Najib sebelum ini beberapa kali menegaskan kesediaan kerajaan untuk mengambil alih pembentangan RUU 355 itu.

Kesediaan kerajaan BN itu diulangi timbalan perdana menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam program bersama para pemimpin Umno Terengganu di negeri tersebut 17 Mac lalu.

Laporan perincikan empayar hartanah keluarga Taib Mahmud di Kanada dibentang dalam parlimen

Laporan oleh Bruno Manser Fund (BMF) Swiss memperincikan empayar perniagaan hartanah keluarga Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud di Kanada yang bernilai sekitar CA$200 juta (RM664 juta).

Laporan setebal 86 muka surat bertajuk 'Safe Haven Canada' itu dibentangkan di Parlimen Kanada semalam.

Laporan itu mendakwa keluarga Abdul Taib yang menyalurkan sekurang-kurangnya CA$69.8 juta (RM232 juta) kepada kumpulan syarikat Sakto milik keluarga itu untuk pelaburan hartanah.

"Safe Haven Canada menunjukkan bagaimana keluarga Abdul Taib membangunkan model perniagaan yang menyebabkan firma hartanah Sakto di Ottawa maju walaupun mengalami kerugian berterusan.

"Rahsia di sebalik keajaiban ekonomi ini adalah penyaluran dana daripada pemiliknya di Malaysia," kata BMF yang berpangkalan di Switzerland dalam kenyataan semalam.

Sakto diasaskan oleh adik beradik Abdul Taib, Onn Mahmud dan anak-anaknya, Jamilah Taib Murray dan Mahmud Abu Bekir Taib pada tahun 1983.

Laporan itu menyatakan bahawa Abdul Taib yang juga bekas ketua menteri Sarawak memberitahu dalam satu wawancara bahawa beliau memberikan sejumlah wang kepada Jamilah untuk memulakan perniagaan di Ottawa.

Abdul Taib mendakwa, wang tersebut daripada ganjaran yang beliau terima apabila meletak jawatan daripada kerajaan Persekutuan pada tahun 1981.

Laporan berkenaan turut memetik satu surat tahun 2014 oleh suami Jamilah dan presiden Sakto, Sean Murray kepada Toronto Staryang mendedahkan pemegang saham syarikat adalah Jamilah dan tiga ahli keluarga yang lain termasuk Onn.

Murray juga menafikan penglibatan Abdul Taib dalam syarikat itu.
-Malaysiakini

Parah didera suami gara-gara Facebook (Gambar)


Kaherah – Seorang lelaki tergamak mendera dan mengurung isterinya hanya kerana mengetahui wanita itu membuka akaun Facebook.

Menurut laporan media Mesir, lelaki berkenaan sebelum ini tidak membenarkan isterinya memiliki akaun media sosial itu.

Polis berkata, Asmaa Samir didera suaminya, Mustafa Raafat yang mengikatnya dengan tali dan mengurungnya di rumah mereka selama tiga hari tanpa memberi mangsa makan atau minum.

Tidak cukup dengan itu, Mustafa juga menyeksa isterinya menggunakan benda tajam.

Ketika disoal siasat, lelaki itu berkata, isterinya membuka tiga akaun Faceboook dengan menggunakan nama palsu kerana ingin tahu sama ada dia bersikap curang terhadapnya.

Mustafa mengaku dia memukul isterinya tetapi menafikan dakwaan tidak memberinya makan.

Sehubungan itu, kebanyakan pertubuhan hak asasi wanita Mesir menggesa lelaki itu didakwa di mahkamah selepas laporan perubatan mengesahkan isterinya cedera teruk akibat didera.

Beberapa peguam pula berkata, mereka bersedia mewakili mangsa secara percuma sementara ramai pengguna media sosial mengecam tindakan Mustafa sambil gesa pihak berkuasa memenjarakannya.
-kualalumpurpost

Amanah Selangor bakal bertanding di lima kerusi Parlimen, 15 Dun

ARIF ATAN
Amanah Selangor memutuskan untuk bertanding di lima kerusi Parlimen dan 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) kelak.

Pengerusinya, Ir Izham Hashim memberitahu agihan kerusi pada PRU14 ini lebih menumpukan sasaran untuk mencapai peratusan kemenangan yang tinggi berbanding meletakkan banyak calon bertanding tetapi kalah.

"Kita akan pertahankan (kerusi Parlimen) Shah Alam, Kota Raja dan Sepang yang sudah sedia Amanah miliki. Dua kerusi lagi seperti Sungai Besar dan Tanjong Karang, kita boleh bincang dengan parti Bersatu sebab komposisi pengundinya sesuai dengan profil Bersatu.

"Amanah Selangor tidak akan bertanding banyak (kerusi) tapi kita mahu menang banyak iaitu peratusan menang itu tinggi. Kita tidak mahu bertanding 20 (kerusi) tapi menang lima saja.
"Kita mahu bertanding contohnya, 13 menang 12. 80 peratus menang itu lebih efisien," jelasnya ketika ditemubual Malaysia Dateline di pejabatnya di Shah Alam hari ini.

Pada masa sama, pihaknya tetap akan meletakkan calon bertanding sekurang-kurangnya di satu Parlimen atau Dun bagi memastikan jentera pilihan raya parti di negeri yang disandang Pakatan Harapan itu berfungsi.

"Walaupun kita rasa di satu-satu kerusi itu susah untuk menang tetapi kita akan meletakkan calon sebab kita mahu Amanah yang hanya ada satu di situ 'hidup'.

"Contohnya, di Dun Hulu Bernam tak pernah menang (Pas) tapi itu saja Dun yang Amanah ada di Parlimen Hulu Selangor. Namun, kita boleh ganti dengan kawasan yang kita menang sebab nak beri peluang kepada Bersatu.

"Tapi bagi Parlimen yang kita ada dua contohnya di Sabak Bernam - Dun Sungai Air Tawar dan Dun Sabak. Itu boleh salah satu.

"Ada sesetengah kawasan pula Amanah ada satu Parlimen dan satu Dun, kita boleh bincang. Kita mahu pastikan di setiap kawasan sama ada wujud satu Dun atau satu parlimen ada kita bertanding supaya jentera (pilihan raya) hidup," ujarnya lagi.

Walau bagaimanapun, jelasnya, pertukaran bagi kerusi tertentu mungkin akan berlaku bergantung pada perbincangan bersama Pakatan Harapan dari semasa ke semasa.

Tiga penjuru

Mengulas tentang pertembungan tiga penjuru atau lebih ekoran sikap Pas yang enggan bermuafakat bersama Pakatan Harapan, Izham berkata, Amanah masih lagi berpotensi untuk menang.

"Kajian saya mendapati kalau berlaku tiga penjuru, Amanah berpeluang menang di kawasan yang kurang 65 peratus pengundi Melayu.

"Tapi kalau komposisi pemilih Melayu lebih tinggi daripada itu, kena kerja lebih kuat lagi untuk menang. Lainlah, kalau satu lawan satu. Itu tiada masalah di Selangor ini.

"Saya telah analisa angka terbaru daripada daftar pemilih. Jika Amanah bertanding di kerusi-kerusi yang Pas juga masuk, kita boleh memang dalam 12 hingga 13 kerusi," katanya.

Beliau berpendapat, pencapaian itu boleh dianggap cukup baik bagi sebuah parti baharu yang pertama kali menyertai pilihan raya umum.

Ditanya tentang kewujudan Bersatu, Izham menyifatkan kehadiran parti yang dipengerusikan Tun Mahathir itu sedikit sebanyak merungkai sedikit kebuntuan Pakatan Harapan sebelum ini.
"Sebenarnya seperti pernah disebut Presiden (Mohamad Sabu), kehadiran Bersatu ini satu rahmat. Allah nak bantu ketika kita pening kepala dengan perangai Pas dan muslihat persempadanan semula.

"Sebelum Bersatu muncul, dia (SPR) nak kumpulkan banyak kawasan Melayu. Tapi Allah datangkan pula parti Bersatu. Huru-hara persempadanan ini.

"Saya lihat banyak perubahan sudah dibuat. Dia dah pamerkan yang kedua. Dia ubah suai lagi yang saya percaya impak daripada penubuhan Bersatu," ujarnya lagi.

RUU355: Presiden Pas wajar letak jawatan secara en bloc, kata Husam

ZIKRI ABDULLAH
Husam dan Wan Rahim menaikkan bendera Amanah di Kota Bharu.
Keputusan BN untuk tidak membentangkan rang undang-undang meminda akta 355 adalah bukti presiden Pas telah mempermainkan umat Islam.

"Sewajarnya beliau dan seluruh ajk Pas pusat meletak jawatan secara en bloc," kata Naib Presiden Parti Amanah Datuk Husam Musa pada sidang media di majlis menaikkan bendera di Jalan Kebun Sultan Kota Bharu petang tadi.

Keputusan ini yang disifatkan beliau 'jalan mati' dalam episod RUU355 ciptaan ahli parlimen Marang itu dan memberi implikasi buruk kepada agama Islam.

"(Datuk Seri) Hadi (Awang) tidak boleh lari dari tanggungjawab kerosakan ini dan beliau bersama-sama jawatankuasa Pas pusat perlu meletakkan jawatan sebagai pemimpin parti," katanya.
Husam bercakap dalam sidang media di Kota Bharu hari ini.
Husam bercakap dalam sidang media di Kota Bharu hari ini.
Percubaan Hadi membawa usul persendirian dalam perkara ini bertentangan dengan semua amalan mengikut lunas-lunas demokrasi di negara ini.

"Dalam Pas perkara ini telah kita bincang semasa saya jadi naib presiden lagi.

"Waktu itu kita putuskan pindaan ini hendaklah dibawa oleh pihak kerajaan dan bukannya usul persendirian," katanya.

Husam turut menamakan dua orang menteri BN yang memperdayakan Pas dan umat Islam kononnya pindaan ini akan disokong oleh Umno.

"Datuk Jamil Khir Bahrom dan Datuk Ashraf Wajdi Dasuki juga perlu bertanggungjawab atas penipuan mereka.

"Mereka berdua dilihat begitu kuat menjanjikan untuk menyokong usul ahli parlimen Marang sedangkan dari pihak Umno tidak ada sebarang komitmen," katanya.

Pada majlis itu Datuk Husam, Datuk Wan Abdul Rahim Abdullah dan pimpinan Amanah negeri dan kawasan Kota Bharu menyaksikan upacara menaikkan bendera Amanah.

Upacara itu diadakan di hadapan sebuah bangunan yang dulunya digunakan sebagai pusat operasi Pas di kawasan itu.

Sebelum ini Wan Rahim, dalam satu majlis di Bunut Payung, mengumumkan Husam sebagai baka calon Amanah di parlimen Kota Bharu dalam pilihan raya umum akan datang.

Ia kemudiannya disahkan oleh Presiden Amanah, Haji Mohamad Sabu dalam majlis yang sama.

Video: Ular tedung kehausan mengamuk


New Delhi – Seekor ular tedung yang kelihatan marah ketika memasuki perkampungan Kaiga di negeri Karnataka, selatan bandar raya ini, sebenarnya dahaga akibat kemarau berpanjangan di wilayah berkenaan.

Dalam rakaman video yang disiarkan baru-baru ini, ular berkenaan kelihatan tenang minum air dari botol yang dituang seorang kakitangan agensi perlindungan hidupan liar yang dipanggil penduduk.

Lelaki itu dibantu rakannya yang mengawal ekor ular berkenaan menggunakan besi penangkap ular bagi mengelak kejadian buruk.

Ular sepanjang empat meter itu kemudian dibawa ke pusat perlindungan sebelum dilepaskan ke dalam hutan. – Daily Mail
-kualalumpurpost

Pas tidak berani putus hubungan PKR kerana ada kepentingan di Selangor

MALAYSIA DATELINE

Pas tidak mungkin berani membuat keputusan untuk memutuskan hubungan dengan PKR pada Muktamar Pas April depan.

Setiausaha Organisasi Amanah, Suhaizan Kayat mendakwa, keputusan itu tidak akan dicapai meskipun banyak usul berkenaan diluluskan di Pulau Pinang dan Terengganu.

"Isu utama adalah kuasa di Selangor. Hidup dalam keadaan ada kuasa. Dapat pelbagai kemudahan.

"Gaji puluhan ribu. Tiba-tiba nak putus. Hampir mustahil Pas nak putuskan hubungan dengan PKR," katanya dalam satu kenyataan dipetik hari ini.

Terbaharu, empat kawasan Pas di Terengganu yang telah selesai mengadakan Mesyuarat Agung tahunan, sebulat suara meluluskan usul agar parti itu memutuskan kerjasama politik atau tahaluf siyasi dengan PKR.

Pesuruhjaya PasTerengganu, Satiful Bahri Mamat berkata empat kawasan itu termasuk  Marang, Dungun, Kuala Terengganu dan Kuala Nerus.

Kalimah Allah pada selipar benar, kata Harussani

BERNAMA
Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengesahkan aduan orang ramai berhubung penjualan selipar yang didakwa tertulis kalimah nama Allah iaitu 'Ya Hayyu Ya Qayyum' adalah benar.

Pengerusinya Tan Sri Dr Harussani Zakaria berkata lembaga itu telah meneliti selipar berkenaan dan mendapati adalah benar tertulis kalimah Ya Hayyu Ya Qayyum yang mempunyai kalimah suci daripada Asma' al-Husna (Himpunan 99 Nama Allah).

"Sehubungan dengan itu, rampasan telah dibuat dan tindakan lanjut sedang dilakukan oleh pihak Kementerian Dalam Negeri melalui Akta Pencetakan Teks al-Quran 1986," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Lembaga Pengawalan Dan Pelesenan Pencetakan Teks Al-Quran juga menasihatkan orang ramai yang telah membeli selipar berkenaan supaya menyerahkannya kepada KDN atau Jabatan Agama Islam Negeri untuk tujuan pelupusan, katanya.

Dalam kenyataan berasingan, Harussani berkata semakan dan penelitian Lembaga Pengawalan Dan Pelesenan Pencetakan Teks Al-Quran mendapati tulisan pada tapak kasut jenama Bata yang tular di media sosial tidak menyerupai kalimah Allah.

"Lembaga Pengawalan Dan Pelesenan Pencetakan Teks Al-Quran merakamkan jutaan terima kasih atas keprihatinan rakyat Malaysia yang beragama Islam yang terlebih dahulu merujuk perkara ini kepada kami," katanya.

Legenda filem Tamil, Rajnikanth tak mau jumpa Najib dan Rosmah?

Laporan dakwa Najib, Rosmah mahu temui Rajnikanth

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak dan isterinya Datin Rosmah Mansor dikatakan meminta untuk bertemu legenda filem Tamil, Rajnikanth semasa lawatan mereka ke India.

Rajnikanth dikenali sebagai bintang di pawagam India dan mendapat sanjungan daripada peminatnya di seluruh dunia.

Menurut portal berita Telegraph India, ia melihat program lawatan VVIP itu selama dua hari ke Chennai, ibu negeri Tamil Nadu.

Laporan itu mendedahkan bahawa Najib dan Rosmah merupakan peminat Rajnikanth ketika pelakon itu berada Melaka untuk penggambaran filem beliau, Kabali.

"Tetapi ikon Tamil yang menjalani pengambaran di Malaysia dan filemnya mendapat sambutan box office itu, menolak. Dia masih belum bersetuju dengan permintaan KUALA LUMPUR.

"Harap pengesahan dari Rajnikanth dalam tempoh dua hari lagi, diplomat Malaysia di Chennai telah mengosongkan slot dalam jadual pasangan itu pada Jumaat, berdasarkan program minit ke minit VVIP itu yang ditunjukkan kepada Telegraph," kata laporan itu.

Malaysiakini tidak dapat mengesahkan dakwaan tersebut.

Najib dalam rangka lawatan lima hari ke India bermula Jumaat ini, atas jemputan Perdana Menteri Narendra Modi.
Lawatan itu merupakan lawatan ketiga Najib ke India sejak memegang jawatan perdana menteri pada tahun 2009.

Selain Rosmah, Najib juga akan diiringi Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman dan pegawai-pegawai kanan kerajaan.

Perdana Menteri dijadual melawat Chennai, New Delhi dan Jaipur.
-malaysiakini