Entah betul atau tidak, satu senarai didakwa sebagai keputusan pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan membabitkan Pakatan Harapan (HARAPAN) menjadi tular sejak semalam.
Maklumat itu didapati tersebar di laman media sosial sekali gus mewujudkan perdebatan di kalangan penyokong pelbagai parti.
Dalam senarai berkenaan, Parti Amanah Negara (AMANAH) dikatakan bakal bertanding di 24 kerusi DUN, selain lima parlimen.
PKR yang sebelum ini berhasrat untuk bertanding di 15 kerusi DUN didakwa hanya mendapat lapan, manakala Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) pula diberikan 12 kerusi.
Selain itu, DAP turut disenaraikan bertanding di satu kerusi, iaitu DUN Kota Lama.
Bagaimanapun, senarai itu didakwa palsu dan sengaja direka pihak-pihak tertentu.
Pengerusi HARAPAN Kelantan, Datuk Husam Musa, berkata senarai yang disebarkan itu tidak benar sama sekali.
"Ini bukan senarai kita, mungkin direka, " katanya ketika dihubungi Malaysiakini, hari ini.
Perkara itu turut dinafikan Pengerusi AMANAH Kelantan, Datuk Wan Abd Rahim Wan Abdullah.
Katanya, setakat ini belum ada sebarang keputusan mengenai agihan kerusi di peringkat DUN Kelantan.
"HARAPAN Kelantan juga belum bermesyuarat untuk pembahagian kerusi DUN," katanya.
Difahamkan, HARAPAN Kelantan bakal menyelesaikan pembahagian kerusi di negeri itu seawal-awalnya penghujung bulan ini atau selewat-lewatnya Februari depan.
Terdahulu, HARAPAN turut melantik penyelaras di setiap parlimen dan DUN yang disifatkan sebagai bayangan calon oleh pemerhati politik tempatan.
-malaysiakini
Tiada ulasan:
Catat Ulasan