Dua polis dipenjara kerana rompak wanita

Seorang daripada tertuduh yang dijatuhi hukuman penjara serta sebatan selepas didapati bersalah melakukan rompakan berkumpulan. FOTO Syamsi Suhaimi.
DUA anggota polis serta seorang peniaga dijatuhi hukuman penjara dan sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini, selepas didapati bersalah melakukan rompakan berkumpulan terhadap seorang peniaga, dua tahun lalu.

Hakim Nazri Ismail menjatuhi hukuman itu terhadap ketiga-tiga tertuduh selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah.

Tertuduh pertama, Konstabel Adri Hazwan Ahmad, 29, dijatuhi hukuman penjara 11 tahun dan empat sebatan.

Tertuduh kedua, Lans Koperal Mohamad Fauzi Ariffin, 27, dan tertuduh ketiga yang juga abangnya, Mohd Fairuz, 30, dijatuhi hukuman penjara 13 tahun dan enam sebatan.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa bersama dua orang lagi didapati dengan niat melakukan rompak berkumpulan ke atas Rahmah Omar, 55, dengan mengambil wang RM3,050 di sebuah rumah di Kampung Tanjong Badang, Kota Bharu, jam 11.15 malam, 18 Mac 2016.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Nazri pada penghakimannya berkata, saksi-saksi pembelaan gagal menunjukkan keraguan munasabah dan bersifat penafian semata-mata selepas ketiga-tiga tertuduh tidak menafikan berada di tempat kejadian dan hanya menafikan mereka melakukan rompakan.

Katanya, hukuman dijatuhi kepada dua beradik yang juga tertuduh kedua dan ketiga tanpa kehadiran mereka di mahkamah mengikut Seksyen 425(a) Kanun Prosedur Jenayah.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Hajarul Falena Abu Bakar yang memohon hukuman setimpal kerana dua tertuduh adalah anggota polis yang sepatutnya melindungi orang awam.

Bagaimanapun, peguam bela Zuhaidi Akmal Hasan Bakri yang mewakili tertuduh memohon hukuman ringan terhadap semua tertuduh.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan