Radzi Razak, Amin Iskandar
\PKR bakal mendapat kerusi Parlimen paling banyak untuk ditandingi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) manakala Dr Mahathir Mohamad akan dinamakan sebagai calon perdana menteri Pakatan Harapan (PH).
Konsensus itu dicapai selepas pemimpin kanan PH mencapai kata sepakat pembahagian kerusi Parlimen di Semenanjung Malaysia malam tadi dalam rundingan yang selesai lebih kurang 8.30 malam.
Sumber dari Bersatu, PKR, DAP dan Amanah memberitahu The Malaysian Insight kata sepakat itu terkandung dalam satu memorandum persefahaman yang ditandatangani oleh semua pemimpin parti malam tadi.
Butiran lanjut konsensus itu akan diumumkan pada Konvensyen PH di Shah Alam hari ini, kata mereka kepada The Malaysian Insight.
Menurut sumber PH itu, Bersatu akan bertanding 52 daripada 165 kerusi Parlimen di Semenanjung Malaysia, PKR 51, DAP 35 dan Amanah 27.
Dengan mengambil kira jumlah kerusi Parlimen di Sabah dan Sarawak, PKR mendapat agihan paling banyak.
"Bersatu dapat kerusi paling banyak di Semenanjung. Secara keseluruhan, PKR akan dapat paling banyak kerusi, termasuk di Sabah dan Sarawak," kata seorang sumber yang maklum tentang rundingan tersebut, dengan syarat tidak dinamakan.
“Kebanyakan kerusi dipersetujui pada Jumaat malam, manakala hanya beberapa kerusi melibatkan Bersatu, PKR dan Amanah dimuktamadkan malam tadi," kata seorang sumber lain.
Rundingan pembahagian kerusi Parlimen di Semenanjung Malaysia itu diselesaikan malam tadi juga, sebelum konvensyen berlangsung hari ini.
Selain mengumumkan Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri PH, konvensyen hari ini juga akan mengumumkan Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon timbalan perdana menteri.
Selepas Mesyuarat Majlis Presiden PH pada Khamis lalu, Dr Mahathir, yang juga pengerusi PH, berkata nama calon perdana menteri dan timbalan perdana menteri gabungan itu serta jumlah kerusi yang akan ditandingi akan diumumkan pada konvensyen hari ini.
Cadangan menggandingkan Dr Mahathir dan Wan Azizah sebagai calon perdana menteri dan timbalan perdana menteri mula timbul dalam pemukiman PH pada 1 dan 2 Disember yang diadakan di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya.
Bagaimanapun, cadangan itu tidak dapat dimuktamadkan kerana PKR mahu membincangkannya terlebih dulu pada peringkat parti, walaupun Bersatu, DAP dan Amanah sudah menyetujuinya.
Dalam mesyuarat biro politik PKR tiga hari selepas pemukiman itu, parti itu tidak mencapai kata putus bersetuju atau menolak cadangan tersebut sebaliknya mengatakan mahu meneruskan perbincangan lanjut.
Pada 28 Disember lalu, satu sumber mendedahkan PKR meletakkan tiga syarat sebelum dapat bersetuju Dr Mahathir dinamakan sebagai calon perdana menteri PH.
Antara syarat itu termasuk membebaskan Anwar Ibrahim dalam masa tidak sampai setahun selepas PH jadi kerajaan persekutuan, dan PKR dapat majoriti kerusi parlimen di Semenanjung Malaysia.
PKR dalam kenyataan rasmi mengulas laporan itu bagaimanapun sekali lagi meminta ruang dan masa tambahan untuk meneruskan perbincangan pada peringkat parti.
Mesyuarat Majlis Presiden PH pada Khamis lepas dilaporkan sepatutnya membuat keputusan akhir namun tertangguh kerana mesej daripada ketua umum PKR, Anwar yang mahu cadangan itu dibincangkan bersama aktivis dan pertubuhan masyarakat sivil.
Anwar dalam kenyataan medianya berkata kekuatan PH adalah "suara rakyat terbanyak" dan mahu cadangan calon perdana menteri itu dirundingkan dengan pertubuhan dan aktivis masyarakat.
Beberapa pemimpin kanan PH sebelum ini mendukung idea untuk gabungan pembangkang itu menamakan bakal perdana menterinya sebelum PRU14.
Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub mengingatkan PH agar jangan mengulangi kesilapan Pakatan Rakyat tidak menamakan calon perdana menteri sehingga membawa kepada perpecahan dalaman PAS dan runtuhnya kerjasama politik itu.
Setiausaha Agung PH Saifuddin Abdullah berkata gabungan itu sudah belajar daripada sejarah dan kerana itulah ia mahu menamakan calon perdana menterinya kali ini sebelum pilihan raya umum.
Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dalam temubual bersama The Malaysian Insight minggu lalu berkata PH tidak ada pilihan kecuali menamakan bakal perdana menterinya sebelum PRU14 kerana rakyat mahu tahu apa pilihan yang ditawarkan oleh gabungan pembangkang itu untuk mengubah Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan