Kontroversi keputusan kes M Indra Ghandi: Antara auta dan fakta

CHE IBRAHIM HAJI MOHAMED


AUTA 1


Auta utama dan terbesar dalam kontroversi di atas ialah apabila ramai pemimpin dan penyokong Pas mengaitkan keputusan tersebut dengan RUU 355 dan Akta 164(pindaan) 2017 dengan menjadikan Pakatan Harapan (PH) dan Umno sebagai sasaran maki hamun dan terjahan jahat.

RUU 355 ialah suatu cadangan dari Pas untuk menaikkan jumlah hukuman yang boleh dikenakan oleh mahkamah syariah daripada denda RM5000, penjara 3 tahun dan sebat 6 kali kepada denda RM100,000, penjara 30 tahun dan sebat 100 kali.

Manakala Akta 164 (pindaan 2017) ialah satu pindaan oleh BN bagi membolehkan suami atau isteri yang memeluk Islam memfailkan permohonan untuk membubarkan perkahwinan dan perkara perkara yang berkaitan dengan pasangannya yang tidak memeluk Islam di mahkamah sivil. Sebelum ini mereka tidak ada hak untuk berbuat sedemikian.

RUU 355 dan Akta 164 Pindaan 2017 ini tidak ada kaitan sama sekali dengan keputusan Mahkamah Persekutuan yang membatalkan pendaftaran memeluk Islam yang telah dibuat oleh bapanya pada tahun 2009 atas alasan persetujuan ibu dan bapa adalah diperlukan bagi mendaftar kanak-kanak bawah umur memeluk Islam.

AUTA 2

Keputusan kes tersebut telah diautakan kononnya telah menyebabkan kanak-kanak tersebut menjadi murtad (waliyazubillah).

Hakikatnya 3 orang kanak kanak tersebut telah didaftarkan sebagai memeluk Islam bersama bapanya ketika mereka masih belum mukallaf. Selepas didaftarkan sebagai Islam, 2 orang kanak kanak tersebut yang berumur 10 dan 11 tahun telah ditinggalkan dan membesar bersama ibunya yang beragama Hindu, manakala yang paling kecil (umur 2 tahun) sehingga kini masih tinggal bersama bapanya, Muhammad Ridhuan Abdullah.

Kanak-kanak ketika masih bawah umur dianggap fitrah (suci bersih) dan tidak tetakluk kepada taklif syarie, ibu bapa merekalah yang akan menentukan mereka membesar sebagai penganut apa apa agama.

Dalam kontroversi di atas, selepas memeluk Islam, Ridhuan telah keluar dari rumahnya kerana isterinya enggan memeluk Islam bersamanya. Beliau membawa bersamanya anaknya yang paling kecil, Ummi Habibah, manakala dua orang lagi ditinggalkan bersama ibunya.

Adakah apabila seorang bapa mendaftar anaknya yang masih belum mukallaf sebagai seorang Islam, kemudian anak tersebut tinggal dan membesar bersama ibunya mengikut agama Hindu sehingga apabila dia baligh masih lagi meneruskan amalan agama Hindunya, maka dia dianggap sebagai Muslim, lalu bila mahkamah membatalkan pendaftarannya sebagai seorang Islam, lalu dia dianggap murtad?

Mahkamah termasuk mahkamah syariah sekalipun tidak boleh membatalkan aqidah seorang Muslim, hanya individu tersebut sahaja mempunyai hak untuk menentukan sama ada beliau ingin menjadi seorang muslim atau sebaliknya. Mahkamah hanya mengesahkan berdasarkan situasi yang ada.

Bagi saya, sekiranya anak-anak Ridhuan yang telah diIslamkan olehnya, terus kekal dengan aqidah Islamnya semasa membesar bersama ibunya yang beragama Hindu, maka mereka tetap masih seorang Islam walaupun mahkamah berpendapat pendaftaran mereka memeluk Islam dianggap tidak sah dan terbatal kerana tidak ada izinnya dari ibunya.

Hentikanlah auta dan kembalilah kepada fakta untuk kita melihat secara matang dan sejahtera apa implikasi keputusan kes ini kepada Ridhuan dan seorang lagi anaknya.


# Penulis adalah Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Negeri Kelantan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan