Penunggang motosikal berkuasa tinggi putus kepala (Gambar)

Kajang – Seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi putus kepala dalam nahas membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 7.1 Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) menghala Selatan, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Dzaffir Mohd Yusof, berkata nahas sebelum jam 11 malam itu berlaku apabila lelaki berusia 25 tahun itu berlanggar dengan sebuah kereta lalu terpelanting terkena pembahagi jalan di tengah lebuh raya.

Beliau berkata, penunggang motosikal Kawasaki Z800 itu dikatakan memotong kereta Honda CR-V yang berada di lorong kedua dari sisi kiri sebelum cuba memotong sebuah kereta Perodua Alza di lorong pertama.

“Bagaimanapun, mangsa gagal mengawal motosikalnya dan melanggar sisi kanan kenderaan itu, menyebabkan motosikalnya jatuh di lorong kedua lebuh raya sebelum berpusing beberapa kali dan dilanggar Honda CR-V yang tidak sempat membrek.

“Mangsa pula terpelanting ke arah besi pembahagi jalan di tengah jalan dan lehernya dipercayai terkena besi berkenaan. Mangsa lelaki berusia 25 tahun itu meninggal dunia di tempat kejadian akibat putus kepala,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dzaffir berkata, ketika kejadian, mangsa yang berasal dari Mantin, Negeri Sembilan, dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Seremban

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat.

“Pemandu kereta Honda CR-V dan Perodua Alza tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Kes disiasat Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
-bharianOnline

Tiada ulasan:

Catat Ulasan