PKR bertegas nak bertanding paling banyak kerusi di Selangor

Kamles Kumar, Diyana Ibrahim

KENYATAAN PKR tentang pengagihan kerusi yang tinggi untuk parti itu di Selangor adalah berdasarkan keyakinan tinggi bahawa parti itu mampu menang dalam Pilihan Raya Umum ke-14 kelak, kata naib presiden Dr Xavier Jayakumar.

Katanya, memandangkan Menteri Besar Selangor Azmin Ali yang juga timbalan presiden PKR merupakan orang yang bertanggungjawab dalam hal ehwal negeri itu, maka PKR berhak mendapat kerusi paling banyak.

“Ada parti cakap yang mereka juga mahukan lima kerusi tapi PKR tetap dengan pendirian kerana kami kerajaan di sini dan menteri besar juga daripada PKR jadi kita menjangkakan parti ini akan memimpin Selangor.

“Jumlah kerusi yang bertanding adalah 21 kerusi semasa pilihan raya lalu. Dan kita melihat dari sudut boleh memang. Majoriti kerusi akan dipegang PKR, kata Xavier kepada wartawan di sambutan Perayaan Ponggal, Klang hari ini.

Tambahnya, PKR juga tetap dengan keputusan mahu bertanding di kerusi yang kalah semasa pilihan raya umum lalu meski ia tidak dipersetujui oleh pucuk pimpinan Pakatan Harapan (PH).

“Kita mahu bertanding di kerusi yang kita menang dan juga yang kita kalah.”

Sebelum ini, dilaporkan yang isu pembahagian kerusi dalam PH Selangor mencetuskan konflik apabila PKR sahaja yang mengaku bahawa rundingan kerusi sudah pun berlangsung.

PH sepatutnya menyelesaikan isu pembahagian kerusi di peringkat negeri pada 31 Januari lalu, namun akibat konflik itu, rundingan terpaksa dilanjutkan sehingga 7 Februari depan.

Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin dalam kenyataannya menjawab mengenai isu tersebut dengan menafikan kenyataan Amanah yang mendakwa tiada lagi jawatankuasa dibentuk membincangkan hal pembahagian kerusi.

Beliau berkata perbincangan sebanyak empat kali dijalankan yang dipengerusikan oleh Dr Xavier.

Namun Amanah dan DAP Selangor menafikan berlakunya perbincangan mengenai kerusi oleh PH Selangor.

Ketua Bersatu Selangor, Abdul Rashid Asari berkata mereka hanya berminat dengan kerusi yang dipegang oleh Umno sebelum ini.

“Kita Bersatu hanya fokus pada kerusi Umno.”

Katanya rundingan pembahagian kerusi masih lagi bersatu dan menjangkakan parti itu akan bertanding sekurang- kurangnya di 12 kerusi di pilihan raya .

“Kita mungkin akan minta 12 kerusi atau lebih lagi, mungkin kita akan berunding dengan Amanah.”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan