Seorang wanita mendakwa dihalang menjadi pengacara bagi sebuah program yang melibatkan kanak-kanak di Kelantan.
Ameera Aida mendakwa, dia ditugaskan untuk menjadi pengacara selama lima hari namun dipendekkan kepada dua hari kerana larangan sebuah majlis perbandaran di negeri itu.
Menulis di Twitternya, Ameera berkata dia dimaklumkan bahawa wanita tidak boleh menjadi pengacara kerana suara mereka adalah aurat walaupun program berkenaan dibuat secara tertutup.
"Tugasan saya sebagai juruacara selama lima hari dipendekkan menjadi dua hari kerana anggota parlimen itu melarang wanita daripada menjadi pengacara.
"Ia adalah program (melibatkan) kanak-kanak. (Secara) Tertutup. Saya pakai tudung dan baju yang longgar.
"Anda kata 'perempuan tidak boleh bersuara menggunakan mikrofon. Suara perempuan adalah aurat'. Jadi anda hentikan kerja seseorang? Sampai menjejaskan kerja saya? Rezeki saya?" tulis wanita itu di Twitternya.
Setakat berita ini ditulis, salah satu daripada tweet Ameera dikongsi lebih 1,700 kali oleh pengguna Twitter.
Ameera yang mempunyai pengalaman selama enam tahun sebagai pengacara majlis juga mendakwa dia telah membayar tempahan untuk bilik hotel dan tiket penerbangannya.
Malah katanya, penganjur juga terkejut dengan situasi berkenaan namun tidak dapat berbuat apa-apa.
Sehubungan itu, Ameera menggesa penjelasan daripada pihak bertanggungjawab mengenai larangan tersebut.
"Sejauh manakah peraturan ini terpakai? Masalah saya ialah, ketidakselarasan pelaksanaan.
"Ya, rezeki Allah yang tentukan. Mungkin rezeki saya selepas ini lebih bagus.
"Entah. Tapi saya masih mahukan penjelasan. Sila berikan pencerahan terhadap kekhilafan saya," kata wanita itu lagi.
Malaysiakini telah cuba menghubungi Ameera serta pihak berkuasa tempatan yang didakwanya untuk mendapatkan penjelasan lanjut dan kini sedang menunggu respon daripada mereka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan