Dr M: Perlu tunggu saya dibunuh baru polis, tentera sedar?

Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengkritik polis dan tentera kerana masih menyokong Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Beliau mengimbas kembali bekas diktator Filipina Ferdinand Marcos yang hanya dapat dijatuhkan selepas pasukan keselamatan tidak lagi menyokongnya selepas Marcos membunuh musuh politiknya, Benigno Aquino pada 1983.

"Saya ingin mengingatkan anda tentang Marcos...Dia boleh menjadi diktator kerana mendapat sokongan polis dan tentera.

"Tetapi selepas dia membunuh Aquino, polis dan tentera memutuskan untuk tidak lagi menyokongnya dan dia pun dijatuhkan.

"Saya tertanya-tanya adalah polis dan tentera (di Malaysia) sanggup menunggu sesiapa di kalangan kita dibunuh terlebih dulu, termasuk saya, sebelum mereka sedar...," katanya pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Ketika ditanya sama ada beliau benar-benar risau nyawanya terancam, Mahathir berkata, "Dengan lelaki ini, saya bimbang tentang semua (perkara)."

Bekas perdana menteri itu mengulas kenyataan Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor yang menggesa anggota keselamatan setia kepada kerajaan bawah pimpinan Datuk Seri Najib Razak.

Beliau menyifatkan gesaan itu bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan pasukan keselamatan perlu setia kepada Yang di-Pertuan Agong dan negara, bukan perdana menteri dan kerajaan.

"(Dan) polis nampaknya terikat dengannya (Najib). Mereka kini mengambil arahan daripadanya sehingga melanggar undang-undang dan melakukan jenayah, misalnya menangkap (bekas pemimpin Umno) Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan," dakwanya.


Selain polis dan tentera, Mahathir juga mendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sebagai "bersubahat" dengan Najib.

"Mereka semua bekerjasama dalam memusnahkan demokrasi di negara.

"Ini dakwaan saya terhadap mereka. Mereka boleh guna undang-undang terhadap saya tetapi saya tahu undang-undang yang digunakan itu bukan undang-undang sebenar, tetapi undang-undang autoritarian," katanya lagi.
-malaysiakini

Tiada ulasan:

Catat Ulasan