Hero hampir lemas selamatkan wanita terjun Jambatan P Pinang

Predeep Nambiar

GEORGE TOWN: Beberapa jam selepas menyelamatkan seorang wanita yang terjun dari Jambatan Pulau Pinang Ke-2, polis bantuan, Zaidi Salleh menggigil memikirkan bagaimana beliau hampir lemas dalam arus deras Selat Selatan.

Tetapi beliau tidak menyesal kerana perbuatannya menyelamatkan nyawa seorang wanita.

“Saya tidak mengharapkan apa-apa. Saya penyelam terlatih dan saya melakukannya atas sebab kemanusiaan,” kata Zaidi.

Zaidi, 52, seorang sarjan tentera udara bersara, bekerja untuk pihak konsesi Jambatan Kedua Sdn Bhd, dan sedang bertugas apabila seorang rakan sekerja menghubunginya lebih kurang 11.00 pagi, memberitahu seorang wanita terjun dari jambatan.

Bapa kepada 3 anak itu terus menunggang motosikalnya yang terletak di pejabat pengendali jambatan di Batu Kawan dan memecut ke KM9.9 jambatan itu dan tiba 10 minit selepas wanita itu terjun.

Wanita itu boleh dilihat berpaut pada satu tiang di jambatan itu.

“Saya sangka air tenang dan saya boleh selamatkannya. Saya mengambil kabel penunda daripada kenderaan penyenggaraan lagi satu dan turun ke tiang itu,” katanya kepada FMT.

Beliau kemudian berenang ke arah wanita berusia 28 tahun itu dan kedua-dua mereka berpaut pada tiang selama 20 minit.

Apabila arus semakin deras, Zaidi dapati ianya sukar untuk kedua-dua mereka berpaut pada tiang itu atau kabel penunda itu, jadi mereka berpaut pada sesama sendiri.

Mereka kemudian dibawa arus deras ke tengah-tengah selat. Katanya, beliau hampir lemas pada waktu itu, tetapi kemudian mereka terlihat bekas ikan yang dibuang dan menggunakannya sebagai pelampung.

“Saya beritahu wanita itu untuk berpaut pada bekas itu. Saya sudah semakin lemah pada masa itu. Saya beritahu wanita itu untuk mengingati yang ia petanda dari Allah bahawa kita sentiasa ada sesuatu untuk bergantung dan hidup sangat berharga,” kata Zaidi.

Selepas 20 minit bertarung di laut dan cuba mengapungkan diri, mereka diselamatkan oleh nelayan dari jeti Pulau Aman yang diberitahu oleh pihak berkuasa.

Mereka kemudian dibawa ke jeti berhampiran di mana dia diberi perhatian segera oleh pasukan paramedik bomba dan penyelamat.

Dalam kejadian jam 11.13 pagi itu, wanita terbabit memberhentikan keretanya, Toyota Avanza di KM9.9 jambatan tersebut. Dia dilihat berdiri di belebas lalu terjun ke laut.

Difahamkan, wanita itu mengalami kemurungan akibat masalah keluarga.

Menurut pegawai Bomba Pulau Pinang, wanita itu dalam keadaan stabil dan dibawa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.

Bagi Zaidi, beliau tidak menganggap dirinya seorang wira dan gembira dapat menyelamatkan nyawa wanita itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan