MAT TAIB: ‘TIDAK MUSTAHIL’ BN, PAS GABUNG DI SELANGOR

SHAH ALAM, 21 April — Ada kemungkinan Barisan Nasional (BN) bergabung dengan PAS jika Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor tergantung.

Bekas menteri besar Tan Sri Muhammad Muhammad Taib berkata perkara itu tidak mustahil jika BN atau Pakatan Harapan gagal membentuk kerajaan.

“Kalau ada ‘hung’ [tergantung] boleh ada usaha untuk membentuk kerajaan bersama,” katanya dalam temu ramah bersama ProjekMMO baru-baru ini.

“Perkara itu tidak mustahil dalam sistem demokrasi dan boleh berlaku di seluruh dunia.”

Dalam pilihan raya lalu, Pakatan Rakyat membentuk kerajaan negeri apabila memenangi 44 daripada 56 kerusi, sementara BN hanya menang 12 kerusi.

PKR mendapat 14 kerusi, manakala DAP dan PAS masing-masing 15 kerusi, sebelum dua wakil parti Islam itu meninggalkan parti dalam krisis 2014.

Namun kedudukan PH, gabungan baru selepas PAS meninggalkan Pakatan Rakyat, dilihat goyah. PAS bagaimanapun kekal dalam pentadbiran negeri.

Pada pilihan raya kali ini, PAS mahu bertanding 42 kerusi negeri, menentang bekas rakan sekutunya PKR dan DAP, yang kini bergabung dengan serpihannya Parti Amanah Negara dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang juga dilaporkan berminat bergabung dengan parti lain untuk membentuk kerajaan campuran.

Mengulas lanjut, Muhammad yang kini aktif turun padang membantu kempen BN sejak September tahun lalu melihat perubahan sokongan rakyat.

Mengakui pengundi bandar yang masih memihak PH dan pengaruh BN kuat di luar bandar, beliau menggesa BN meletakkan calon yang bermutu.

“Kalau tidak [tiada calon bermutu], rakyat tiada selera nak pilih.

“Cuba tengok pembangkang, mereka ada doktor, jurutera, peguam. Azmin [Ali], Nik Nazmi [Nik Ahmad], Dr Mariah [Mahmud] mereka semua bermutu.

“Kalau nak bersaing tapi letak calon lekeh yang hanya ada SPM macam mana rakyat nak selera tengok calon kita?” katanya, bekas seorang pendidik.

Selain latar belakang yang baik, tambahnya, seseorang calon juga perlu aktif menyantuni rakyat, berketerampilan dan bijak mengetengahkan idea.

Ditanya sama ada BN bersedia mengambil semula Selangor, bekas menteri kabinet itu berkata terpulang kepada pemimpin memberi tawaran yang baik.

“Tidak seperti negeri lain, rakyat Selangor bijak menilai yang terbaik.

“Mereka tidak mudah terpengaruh dengan janji kosong, mata dan telinga mereka terbuka luas melihat semuanya,” katanya di kediamannya di sini.

“Tetapi [kali] ini sudah dua penggal, saya rasa mereka (BN) sudah bersedia jadi kerajaan yang lebih baik.”

– Malay Mail

Tiada ulasan:

Catat Ulasan