Miqdad tarik diri dari wakilli HARAPAN di Marang

PRU14 | Yang Tegang kini kendur - begitu gambaran yang diberi apabila tokoh yang disebut-sebut bakal berdepan dengan presiden PAS di Marang mengumumkan untuk tidak terlibat sebagai calon pilihan raya.

Dalam kenyataan dikeluarkan hari ini Miqdad Zakaria berkata matlamat paling utama bagi AMANAH serta Pakatan Harapan (HARAPAN) kini ialah mengalahkan BN dan "dot dot".

"Sekarang ini tumpu agenda (untuk) mengalahkan BN dan dot dot... Agenda ini lebih utama berbanding agenda kita semua," katanya.

Dipercayai istilah "dot dot" itu ialah PAS.

Kenyataan itu dibuat pada hari sama PAS mengumumkan Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan menjadi calon mereka bagi kawasan parlimen Marang.

Abdul Hadi ialah penyandang kerusi itu sejak 1995 - kecuali pada PRU ke-11 pada 2004 apabila beliau kalah kepada Datuk Seri Abdul Rahman Bakar.

Tarikh 2004 juga menandakan tumbangnya kerajaan negeri dipimpin Abdul Hadi hanya selepas satu penggal memerintah.

Sebelum ini nama Miqdad disebut-sebut akan dipertaruhkan mewakili HARAPAN untuk menghadapi Abdul Hadi di Marang.

Dah dapat apa diimpikan

Untuk rekod Miqdad adalah anak saudara kepada seorang daripada isteri Abdul Hadi.

Kata Miqdad dia memohon maaf kerana mengambil keputusan menarik diri daripada bertanding, sekali gus akan mengguris perasaan penyokong HARAPAN.

"Untuk meredakan keadaan yang tegang di antara kita, dengan ini ana (saya) dengan rela hati menarik diri daripada bertanding di PRU ke-14 ini.

"Ana sangat menghargai usaha dan pengorbanan kalian semua, akan tetapi untuk kebaikan kita bersama, agenda untuk bertanding ini perlu dibatalkan," katanya.

Kata Miqdad dia memang sejak awal tidak berminat untuk bertanding sebagai calon hinggakan pimpinan AMANAH menghantar wakil untuk memujuknya mengubah keputusan berkenaan.

Bagaimanapun katanya dia tetap dengan keputusan itu.

"Kalian semua sangat mengetahui alasan kuat kenapa ana menolak. (Ia) tidak lain tidak bukan kerana matlamat kita wujudkan AMANAH Marang semata-mata untuk memecahkan minda taasub yang ada.

"Nah sekarang kita dah dapat yang kita impikan.

"Dulu ramai membenci, la ni (sekarang) alhamdulillah dah beransur baik. Dulu tidak bertegur sapa, la ni alhamdulillah dah boleh senyum balik.

"Itulah kemenangan yang Allah kurniakan kepada kita. Kita sudah dapat kemenangan itu," katanya yang juga ketua AMANAH Marang.

Sementara itu sumber HARAPAN Terengganu mendakwa penarikan diri Miqdad ada kaitan dengan masalah dalaman AMANAH negeri berkenaan.

Katanya wujud rasa tidak puas hati apabila ada calon lain - dan dari luar - dibawa untuk bertanding di kawasan itu di bawah tiket AMANAH.

"Miqdad pula dicadangkan bertanding di Rhu Rendang - kerusi yang sangat selamat untuk Abdul Hadi," katanya.
-malaysiakini

Tiada ulasan:

Catat Ulasan