Mufti Perlis dahului senarai dilabel ‘pembenci tegar Pas’

ARIF ATAN 
Antara kritikan yang dilontar ekoran senarai tujuh ahli akademik yang dianggap pembenci tegar Pas,

Laman kumpulan Facebook penyokong tegar Pas, Buletin Istiqomah menyelar tujuh ahli akademik yang sebelum ini mengkritik parti tersebut sebagai golongan ‘pembenci tegar Pas’.

Menduduki senarai teratas adalah Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin diikuti pensyarah fekah dan usul fiqh, Dr Rozaimi Ramle dan jurulatih debat Qatar Foundation, Ustaz Salman Ali.

Turut disenarai penganalisis Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal; Pengarah Akademik Yayasan Pendidikan Khalifah, Ustaz Hasrizal Abdul Jamil dan penceramah Ustaz Abu Syafiq Al-Asy’ary.

Tidak ketinggalan ‘disenaraihitam’ oleh penyokong Pas menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) ini Pensyarah politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Datuk Dr Agus Mohammad Yusoff.

“Senarai di atas itu adalah golongan pembenci tegar Pas. Anda hanya membuang masa anda, tenaga anda di Page mereka.

“Jika anda ingin mengkritik kenyataan mereka, buat posting baru secara baik, snap shot sahaja posting mereka dan kritik satu persatu secara ilmiah kenyataan mereka.

“Kita tahu kecerdikan mereka selaku ahli akademik yang bertitle Dr menjadi tumpul apabia mereka memberikan kenyataan mengenai Pas disebabkan mereka sudah membenci Pas,” dakwa pentadbir kumpulan itu yang diikuti lebih 200,000 pengguna media sosial itu.
Ustaz Hasrizal Abdul Jamil

Walau bagaimanapun selepas lapan jam senarai tersebut dimuat naik, rata-rata komentar mengkritik kembali sikap Pas termasuk mempersoal kewajaran parti itu membantu kemenangan BN pada PRU-14 ini.

Antaranya, Noor Syamimi Abdullah yang berpendapat Pas perlu bersikap terbuka menerima teguran golongan ahli akademik memandangkan parti itu tidak sempurna.

“Ahlinya pun sama (tidak sempurna). Yang sempurna hanyalah Islam. Jadi tidak salah sekiranya kita terbuka.

“Bagi saya akhlak dan keterbukaan adalah bonus bagi penyokong Pas untuk menunjukkan parti ini boleh membentuk masyarakat yang baik menurut sisi Islam,” ujarnya.
Ustaz Salman Ali antara sasaran serangan penyokong tegar Pas.

Sementara itu, Abdul Ghani berkata, parti-parti pembangkang wajib berpakat untuk menjatuhkan regim kleptokrat BN yang wajib dilakukan menurut Islam kerana bencananya lebih besar.

Menurutnya, dari sudut awlawiyat syar’iyah Pakatan Harapan (PH) wajib dimenangkan demi perjuangan mendaulatkan Islam kerana PH berkebolehan menggantikan BN berbanding Pas yang kehilangan posisi strategik.

“Pas perlu merehatkan diri dan merawat diri, tidak memecahkan undi rakyat demi menunaikan kewajiban menjatuhkan kezaliman BN.

“Jika Pas menjadi faktor pemecah undi untuk tujuan yang syar’i ini maka Pas dan pengundinya adalah salah dan berdosa!” tegas Abdul Ghani lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan