Yang menang di Langkawi akan tawan Putrajaya

ULASAN | Perdana menteri sementara Datuk Seri Najib Razak sekali lagi ke Langkawi semalam untuk membuka hotel Ritz-Carlton di pulau itu dengan satu ucapan berkempen yang bersemangat dan penuh retorik politik.

Kerusi panas parlimen Langkawi ini, seperti mempunyai keistimewaan yang sangat luar biasa sekarang sehinggakan ada yang berpendapat bahawa parti yang menang di Langkawi akan menawan Putrajaya.

Di situlah kehebatan kerusi parlimen Langkawi menjelang pilihan raya umum (PRU) ke-14 ini.

Kerusi ini amat menarik kerana ia mempunyai potensi untuk terjadi 'tsunami Melayu' yang menakutkan kepada BN. Ternyata kenyataan Najib di Langkawi itu, memberi gambaran bahawa seolah-olah beliau begitu dihantui dengan bayang-bayang Dr Mahathir, yang sebelum ini dikhabarkan akan bertanding di situ.

Kalau tidak, masakan peruntukan yang begitu besar sebanyak RM1.3B (separuh dari jumlah 'wang derma' RM2.6 bilion) akan disalurkan kepada cuma satu kawasan parlimen Langkawi sahaja, sedangkan Malaysia mempunyai 221 lagi kerusi parlimen yang lain.

Apakah ini adil dan saksama? Banyak lagi kerusi-kerusi parlimen yang lain, yang agak daif dan miskin, yang memerlukan peruntukan '2 minit mi segera' sebegini.

Takrif ini juga memberi gambaran bahawa sekiranya kerusi Langkawi itu jatuh ke tangan HARAPAN, maka tumbanglah Putrajaya. Apakah peluang BN di sini? Juga, apakah HARAPAN dapat merebut kerusi Langkawi ini dan sekaligus merampas Putrajaya dari BN?

Malahan bukan sahaja Langkawi yang akan menjadi rebutan dan mempunyai potensi ‘tsunami Melayu', tetapi juga banyak lagi kerusi parlimen dari sepuluh yang dipegang BN selain 21 kerusi DUN di Kedah yang mungkin mendapat tiupan angin yang sama.

Angin perubahan di Kedah

Sentimen rakyat di peringkat bawahan di Kedah, nampaknya semakin mual dengan pemimpin-pemimpin Umno.

Ramai yang agak kecewa dengan tindak tanduk ketua Umno yang menunjukkan keangkuhan mereka terhadap Dr Mahathir. Setidak-tidaknya mereka perlu menghormati bekas ketua mereka itu walaupun tidak mahu mengenang budinya. Beliau merupakan anak Kedah yang kedua menjadi perdana menteri Malaysia.

Kedah adalah antara negeri-negeri yang mana tiupan angin perubahan bertiup kencang dan ini dapat dirasai di segenap pelusuk negeri Jelapang Padi ini. Negeri yang mempunyai 15 kerusi parlimen dan 36 kerusi DUN ini terkenal dengan kemesraan rakyatnya; mereka baik budi pekerti dan mempunyai keupayaan dan kerajinan bukan setakat menanam padi tetapi juga mengingati jasa pemimpin yang dulunya banyak menanam budi.

Dalam banyak temu bual, Najib disebut sebagai punca kelemahan BN. Ramai pengundi di Kedah berpendapat bahawa Najib tidak dapat memahami dan menjiwai pengundi luar bandar, mahupun di Kedah dan kawasan kawasan pedalaman yang lain termasuk Sabah dan Sarawak.

Apa yang disebut bahawa kawasan pedalaman yang ramai Melayu masih memihak kepada BN adalah tidak lagi tepat; kerana mereka tidak yakin dengan Najib berbanding dengan keyakinan mereka dengan Dr Mahathir.

Di Kedah, walaupun tempatnya dianggap sebagai kawasan pedalaman, mereka tidak lagi yakin dengan BN atau PAS. Keyakinan itu telah diganti dengan pengalaman dan pengetahuan yang mengajar mereka untuk tidak lagi percaya kepada janji-janji manis yang dibuat setiap lima tahun itu.

Sekarang mereka lebih faham dan lebih mengerti tentang politik, juga lebih berani. Mereka mempunyai pendirian dan pegangan yang kuat apabila berhadapan dengan pilihanraya seperti PRU14 ini nanti.

Mereka tidak takut untuk membuat sebarang keputusan sama ada untuk mengundi BN ataupun HARAPAN.

Faktor PAS

Ini telah terbukti pada PRU ke-12 pada 2008 apabila pengundi Kedah telah menolak BN dan memberi undi mereka kepada parti-parti dari Pakatan Rakyat ketika itu.

Malangnya, parti PAS yang mempunyai lebih banyak kerusi dari PKR dan DAP, menerajui kerajaan negeri Kedah. PAS agak lembab pada waktu itu dan telah tidak berjaya mentadbir negeri Kedah dengan bijak dan teratur.

Terdapat banyak kelemahan dalam pentadbiran negeri. Unsur-unsur ketidakpandaian, kurang pengetahuan dan kurang kebijaksanaan kerajaan PAS dalam pentadbiran dan perancangan negeri, memberi gambaran seolah-olah Kedah menjadi lebih mundur jika dibandingkan dengan era Dr Mahathir dulu.

Di sinilah letaknya kelemahan PAS dan pemimpin mereka. PAS tidak lagi dilihat sebagai sebuah parti yang boleh dipercayai, kerana kebelakangan ini mereka juga nampaknya lebih cenderung untuk berbaik-baik dengan Umno.

Ramai juga yang berpendapat bahawa PAS tidak lagi berkaitan dengan arah tuju politik negara. Ini bererti, tidak ramai yang akan mengundi PAS lagi kerana mereka bukanlah satu parti yang serius dan boleh membentuk kerajaan, sama ada di negeri mahupun di pusat.

Kerjasama Umno dan Pas telah banyak memburukkan lagi keadaan di Kedah. Di peringkat bawahan, PAS dan Umno berada dalam keadaan berahsia antara satu sama lain, tidak terbuka, tidak sehaluan, tiada bersefahaman, apalagi untuk berjalinan dengan mesra seperti yang ditunjukkan oleh parti-parti komponen Pakatan.

Mungkin spekulasi tentang kemesraan yang dicapai melalui wang ringgit cuma melibatkan pihak atasan sahaja, tetapi tidak dikecapi oleh ahli-ahli parti diperingkat akar-umbi. Inilah menjadi satu tanda-tanya dikalangan pengundi yang menyebabkan mereka tidak memilih BN atau PAS.

Pokoknya sekarang, ramai yang berkata bahawa PAS tidak lagi boleh dipercayai dan ahli parti sendiri tidak akan mengundi parti itu atas alasan ketua mereka tidak lagi menentang BN seperti dahulu.

Faktor ini merosakkan imej PAS dan juga Umno. Bukan sahaja di kalangan ahli-ahli PAS tetapi juga di kalangan ahli-ahli Umno sendiri yang tidak lagi yakin dengan pemimpin mereka dan halatuju parti.

Hakikatnya, ramai yang akan mengundi calon-calon dari HARAPAN pada PRU ke-14.

Sentimen Dr Mahathir

Ditambah lagi dengan kekuatan yang ada pada Dr Mahathir. Kegemilangan negara sewaktu beliau menjadi perdana menteri mengimbas kembali ingatan pengundi-pengundi di Kedah.

Bukan saja tentang kebijaksanaan, kepintaran atau sikapnya yang bertanggungjawab, tetapi juga jauh lebih perihatin terhadap kebajikan rakyat Kedah jika dibandingkan dengan Najib.

Beliau juga tidak membazir, tidak berlagak sombong atau takbur tentang apa jua perkara, baik politik, ekonomi atau sosial. Sehingga hari ini, ramai yang menyatakan bahawa Dr Mahathir adalah pendengar yang baik dan memberi banyak masa untuk mendengar hujah yang mahu disampaikan oleh rakyat kepada beliau.

Kekuatan ini tidak dapat ditandingi oleh Najib, yang mempunyai pendekatan yang jauh berbeza. Rakyat Kedah tersangat faham tentang hal ini. Kekuatan Dr Mahathir inilah yang membuatkan pengundi Kedah sekali lagi mengubah fikiran mereka pada PRU ke-13 dahulu dengan memilih Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Sentimen Dr Mahathir yang memenangkan Mukhriz. Jadi pada PRU ke-13, sentimen ini sekali lagi akan merombak struktur percaturan politik Kedah. Pengundi Kedah yang begitu terpengaruh dengan sentimen Dr Mahathir telah menolak PAS dan kembali mengundi BN semula. Kerana itu, BN menang 10 kerusi parlimen dan 21 kerusi DUN.

Pada PRU ke-14 tiupan sentimen ini kembali lagi. Rakyat Kedah tidak lagi buta huruf seperti beberapa dekad yang lalu. Mereka arif tentang apa yang berlaku pada awal tahun 2016, tentang penolakan Mukhriz dari jawatan menteri Besar dan segala perancangan politik Datuk Seri Ahmad Bashah, iaitu menteri besar Kedah sekarang.

Pengundi pada PRU ke-14 ini, akan menolak pemimpin sebegini kerana pemilihan kali ini adalah pemilihan yang agak mudah untuk ditentukan yang banyak berpunca dari skandal kewangan negara.

Rakyat Kedah dapat menilai dengan bijak. Dalam keadaan krisis negara yang banyak melibatkan salah-guna kuasa, kehilangan wang kerajaan dengan begitu banyak, yang sekarang kita semua tahu dan dinamakan kerajaan kleptokrasi ini, pemimpin Umno negeri cuma berdiam diri, tidak ada pandangan apa-apa dan terus menyokong ketua yang memusnahkan kewangan negara? Itukah perjuangan mereka?

Kalau inilah hakikatnya, maka tidak hairanlah sekiranya pengundi-pungundi Kedah akan menolak mereka-mereka ini sekali lagi. Inilah yang dikatakan ‘Tsunami’ Melayu yang bermula dari negeri Jelapang Padi ini.

Rupa-rupanya angin kencang yang meniup perubahan politik negara itu sebenarnya bermula dari Langkawi, yang akan bertiup dan menumbangkan Putrajaya.

DR ROSLI KHAN merupakan perunding pengangkutan di Kuala Lumpur dan sering mengembara ke kawasan terpencil untuk menulis berkenaan ekonomi dan politik Malaysia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan