Nasib Nik Amar sebagai TMB diketahui esok

N Faizal Ghazali
Sama ada dikekalkan sebagai timbalan menteri besar Kelantan atau tidak, nasib penyandang jawatan itu Datuk Mohd Amar Nik Abdullah hanya diketahui esok.

Perkara itu ditegaskan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob kepada media ketika ditanya mengenai spekulasi mengatakan anggota dewan undangan negeri (ADUN) Panchor itu digugurkan.

Ahmad yang juga pesuruhjaya PAS negeri berkata, jawatan tersebut hanya akan diketahui ketika upacara angkat sumpah bersama dengan barisan exco kerajaan negeri lain yang dijadual berlangsung esok.

"Tunggu besok," jawabnya ringkas ketika ditemui pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat pasca pilihan raya umum ke-14 (PRU14) PAS Kelantan di Kota Bharu, hari ini.

Selepas lima hari Ahmad mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar, jawatan timbalan menteri besar masih belum diumumkan sehingga timbul khabar angin kononnya Mohd Amar sebagai penyandang jawatan itu sebelum ini tidak akan dikekalkan.

Mohd Amar yang turut menghadiri mesyuarat hari ini tidak sempat ditemui media susulan beliau bergegas meninggalkan lokasi selepas mesyuarat tersebut.

Dalam perkembangan sama, Ahmad yang juga ADUN Pasir Pekan berkata, jumlah barisan exco kerajaan negeri iaitu seramai 10 orang dikekalkan.

"Ada perubahan sedikit sebanyak (dari segi nama). Ada muka baharu, ada muka lama," katanya.

Sementara itu, Setiausaha PAS Kelantan Datuk Che Abdullah Mat Nawi ketika dihubungi bagaimanapun menafikan khabar angin tersebut.

"Saya boleh kata spekulasi itu tidak benar, " katanya ringkas ketika ditanya berhubung nasib Mohd Amar.

Sebagai rekod upacara angkat sumpah timbalan menteri besar dan exco di hadapan Pemangku Raja Kelantan, Dr Tengku Muhammad Fa-Iz Petra akan berlangsung di Istana Kota Lama, Kota Bharu pada jam 11 pagi esok.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan