Nik Omar jumpa ibu mohon doakan anak-anak

Selepas terpalit dengan pelbagai spekulasi, anak kedua bekas mursyidul am PAS, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Nik Omar membuktikan beliau tetap pulang berjumpa dengan ibunya.

Malah, calon Pakatan Harapan (HARAPAN) bagi kerusi DUN Chempaka itu juga turut menjalankan tugasnya sebagai pengetua di Maahad Darul Anuar, yang terletak di Kampung Pulau Melaka, Kota Bharu, hari ini.

Sebagai rekod, rumah kediamannya juga terletak tidak jauh daripada rumah ibunya Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak di kawasan pusat pengajian berkenaan.

Beberapa media berkesempatan menjejaki rutin Nik Omar pagi tadi yang menunikan tanggunggjawapnya sebagai pengetua selepas berada di pentas politik sejak hari penamaan calon pilihan raya umum ke-14 (PRU14), Sabtu lalu.

Sebelum ini beliau ditohmah, antaranya tidak pulang ke rumah, disorok dan tidak mendapat restu ibu sejak berkecimpung dalam politik.

Awal pagi tadi beliau mengadakan pertemuan dengan pelajar dan guru-guru sekolah milik persendirian keluarganya itu.

Ketika ditemui, Nik Omar berkata, persekitaran dan situasi sekolah termasuk pelajar dan guru dalam keadaan baik dan tiada perkara janggal berlaku selepas beliau menjadi calon PRU14.

"Sebenarnya tidak ada apa-apa cuma sibuk sikit berbanding kebiasaannya dan sebenarnya sekolah ini bukan sekolah kerajaan pusat atau kerajaan negeri, tetapi milik keluarga secara swasta.

"Kita datang ke sini untuk beri nasihat kepada pelajar-pelajar, begitu juga kepada guru-guru supaya mereka terus menjalankan tugas sebagai pendidik.

"Secara peribadi saya nak maklum, kita tidak campur, bidang politik lain, ini bidang pendidikan jadi kita fokus kepada pendidikan," katanya yang mempunyai sekitar 200 pelajar dan 40 orang guru di sekolah tersebut.

Malaysiakini difahamkan, sepanjang tempoh berkempen ini, walaupun Nik Omar tidak pulang di kediaman rasminya sebelum ini, beliau tetap mengambil kesempatan menemui ibunya.

Tidak ada masalah apa-apa

Selepas mengadakan pertemun dengan pelajar dan guru-guru Maahad Darul Anuar, Nik Omar dilihat menuju ke rumah ibunya dan mengambil masa sekitar 10 hingga 15 minit di rumah tersebut.

Bagaimanapun Nik Omar memilih untuk tidak mendedahkan secara mendalam pengisian pada pertemuan yang berlangsung itu.

Paling penting katanya, beliau meminta ibunya mendoakan kesejahteraan untuk anak-anaknya.

"Apa yang kita minta daripada bonda tidak banyak, yang penting minta bonda doa kepada semua anak-anaknya, apa yang berlaku ini hanya silap faham sahaja, sebenarnya tidak ada masalah apa.

"Sebab kita nak buat ini hal kebaikan, cuma orang nampak macam ini orang itu nampak macam itu, jadi kita hormat tidak ada masalah. Kita hidup atas dunia ini bukan untuk bergaduh, kita hidup berlumba buat kebaikan," katanya.

Sebelum ini, keluarga Allahyarham Nik Aziz menjadi perhatian umum selepas Nik Mohamad Abduh mendakwa ibu mereka tidak memberi restu kepada abangnya untuk menjadi calon HARAPAN.

Malah adiknya itu, dalam satu kenyataan berkata, Tuan Sabariah sangat terguris dengan keputusan Nik Omar itu.

“Ini adalah 'tembakan' kedua yang terpaksa ditanggung bonda selepas ‘tembakan’ pertama yang meranapkan jiwanya oleh Tun Dr Mahathir Mohamad lebih 15 tahun lalu apabila seorang anaknya ditangkap di bawah ISA.

"Bonda kini memilih untuk berehat beberapa hari bagi merawat luka hatinya yang dalam akibat ‘tembakan’ yang dilepaskan semenjak lebih 30 tahun lalu dan dua hari lalu, ‘tembakan’ itu tepat singgah ke jantung bonda," kata Nik Abduh yang juga adalah calon PAS parlimen Bachok dalam satu kenyataan terbukabdi Facebook, kelmarin

Sementara itu Nik Omar menegaskan, dalam tempoh begitu singkat tiada sebarang faedah untuk bergaduh dan masing-masing perlu hormati-menghormati.
"Kita perlu hormat-menghormati, kalau kita sesama Islam Allah sebut semua kita bersaudara, tiada kaitan lansung masalah keturunan bangsa tidak ada nilai, yang bernilai keimanan itu persaudaraan yang perlu kita jaga.

"Tak semestinya persaudaraan itu kita kena jaga bila ada kopiah atas kepala, tak ada kopiah pun bukan masalah.

"Kita duduk dalam hutan mana pun kalau kita jaga hubungan, kita tetap mulia di sisi Allah, tapi kalau kita pakai kopiah kita punca kepada perbalahan, apa untung? Tak ada untung," katanya.
-malaysiakini

Tiada ulasan:

Catat Ulasan