Nota terakhir.Rafizi Ramli

'Terima kasih sukarelawan INVOKE'
Rafizi Ramli
Hari ini genap seminggu dari tarikh bersejarah kemenangan PRU14. Saya mengambil masa sehingga kini untuk menulis, kerana banyak hal-hal yang lebih mendesak untuk menguruskan kemenangan itu.

Saya kini ada lebih banyak masa apabila hal-hal itu semakin diselesaikan, lalu bolehlah saya mengucapkan terima kasih kepada semua sukarelawan INVOKE dan rakyat Malaysia yang telah berkempen, menyumbang, mengikuti dan menggalakkan perkembangan INVOKE sehingga menjadi organisasi kempen sukarela yang terbesar seumpamanya di Asia Tenggara.

Setakat 9 Mei 2017, INVOKE mempunyai 40,949 sukarelawan berdaftar di seluruh negara. Daripada jumlah ini, seramai 25,915 sukarelawan telah menawarkan diri menjadi ejen kira undi (PACA) di seluruh negara.

Walaupun kami hanya menjejaki seramai 5,844 orang PACA yang menghantar maklumat dokumen peribadi atas talian melalui sistem, saya yakin ada ribuan lagi sukarelawan INVOKE yang menghubungi terus calon-calon dan menjadi PACA.

Usaha INVOKE melatih beribu-ribu PACA sejak awal 2017 adalah tidak sia-sia. Matlamat untuk meyakinkan pengundi supaya tidak patah hati dengan kebimbangan penipuan pilihan raya apabila ramai PACA terlatih diturunkan, nampaknya berkesan. Ramai juga yang turun mengundi beramai-ramai.

Setakat minggu lepas, jumlah masa kempen (manhours) yang dicapai sukarelawan INVOKE telah mencecah 25,612 jam, sejak kali pertama kami merekodkan jumlah masa kempen awal Mac 2017.

Pecahan jumlah masa kempen yang dilakukan sukarelawan INVOKE: 7,861 jam latihan PACA; 7,689 jam menjalankan phone-bank (menelefon pengundi atas pagar yang dikenal pasti untuk memujuk mereka mengundi HARAPAN) dan 4,856 jam berkempen dari rumah ke rumah untuk memujuk pengundi atas pagar mengundi HARAPAN.

Sumbangan rakyat

Sejak November 2016, rakyat Malaysia telah menyumbang RM10.2 juta kepada INVOKE. Sebahagian besarnya melalui biayaramai (crowdfunding sebanyak RM7.3 juta), tetapi kami juga menjual t-shirt dan buku-buku bernilai RM1 juta. RM1.9 juta lagi diperolehi dari jualan tiket-tiket ke majlis kutipan dana INVOKE.

Apabila dicampurkan dengan RM1 juta dari poket saya sendiri, INVOKE membelanjakan RM11.2 juta untuk membina kepakaran dan membiayai kempen calon-calon HARAPAN di 44 kerusi parlimen dan 60 kerusi DUN di seluruh negara sejak dua tahun lalu.

Pakatan Harapan menang di 42 dari 44 kerusi parlimen yang dibantu INVOKE (sama ada bantuan kempen di peringkat parlimen, atau sekurang-kurangnya di satu DUN dalam parlimen itu). Ini bersamaan kadar kemenangan 95% yang tersangat tinggi dibandingkan dengan mana-mana rekod.

Dua kerusi yang menerima bantuan kempen INVOKE tetapi tidak dimenangi adalah Padang Rengas (dimenangi Dato’ Seri Nazri Aziz) dan Sembrong (dimenangi Dato’ Seri Hishamuddin Hussein).

Senarai kerusi-kerusi itu adalah:

PKR – 32 kerusi (Kangar, Alor Setar, Kuala Kedah, Merbok, Padang Serai, Kulim Bandar Baru, Sungai Petani, Permatang Pauh, Bayan Baru, Balik Pulau, Nibong Tebal, Sungai Siput, Gopeng, Tanjung Malim, Hulu Selangor, Selayang, Pandan, Kapar, Kuala Langat, Lembah Pantai, Wangsa Maju, Setiawangsa, Port Dickson, Tangga Batu, Segamat, Sekijang, Ledang, Batu Pahat, Pasir Gudang, Johor Bahru, Kuantan and Indera Mahkota).

AMANAH – 7 kerusi (Pokok Sena, Parit Buntar, Lumut, Kuala Selangor, Shah Alam, Hulu Langat, Temerloh)

BERSATU – 3 kerusi (Tambun, Muar, Simpang Renggam)

Ramalan tepat

Ramalan keputusan PRU14 yang dibuat oleh INVOKE juga tepat: seperti diramalkan, HARAPAN membentuk kerajaan negeri di Kedah, Penang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

Ramalan bahawa HARAPAN akan mendapat majoriti mudah sekitar 120 kerusi (termasuk kerusi WARISAN) juga tepat. Saya ingin merekodkan di sini bahawa INVOKE adalah satu-satunya organisasi yang meramalkan kemenangan HARAPAN dalam PRU14 secara konsisten sejak Januari 2017.

Penghargaan paling besar tentunya kepada rakyat Malaysia yang memberi kepercayaan yang saya dan pasukan saya perlukan untuk menjayakan INVOKE. Walaupun dicemuh dan tidak dipercayai rakan dan lawan, kami terus cuba meyakinkan rakyat Malaysia sejak Januari 2017 lagi bahawa HARAPAN tetap boleh menang kalau pun berlaku pertandingan tiga penjuru di seluruh negara.

Kami mengambil masa sehingga setahun sebelum kami ada kumpulan sukarelawan tegar di akar umbi yang yakin dengan kaedah kempen kami (iaitu menelefon pengundi atas pagar dan berkempen dari rumah ke rumah).

Rakyat Malaysia selalunya penyegan, mereka malu untuk bersua muka apatah lagi meluahkan kecenderungan mengundi kepada sukarelawan yang tidak mereka kenali.

Tetapi ribuan sukarelawan INVOKE memberanikan diri untuk tetap menelefon pengundi atas pagar secara senyap-nyap dan mengetuk pintu, untuk memujuk mereka mengundi HARAPAN secara berterusan selama 2 tahun.

Saya pernah ditanya kenapa saya tetap berkeras menjayakan kempen melalui INVOKE apabila jelas sebahagian besar rakan politik dan rakyat Malaysia tidak pun mempedulikan usaha kami.

Jawapan saya mudah: Saya ada keyakinan dengan bukti-bukti empirikal yang dihasilkan melalui kaedah big data analytics dan model matematik yang kami bangunkan. Saya juga ada keyakinan bahawa rakyat Malaysia adalah bijaksana dan tahu menghargai usaha kami.

Kedua-dua keyakinan itu tidak menghampakan kami.

Kaedah menggunakan model matematik untuk meramalkan kecenderungan mengundi setiap pengundi telah berjaya membantu kami meramalkan dengan tepat kerusi mana yang wajar disasarkan.

Dalam kes Kelantan dan Terengganu, jelas bahawa pengundi atas pagar memilih untuk mengundi secara taktikal menjelang minggu terakhir kempen: mereka tahu mereka perlu mengundi PAS (bukannya HARAPAN di negeri-negeri itu) untuk menewaskan BN kerana PAS adalah parti kedua terkuat di situ.

Mereka tahu jika diberikan undi kepada HARAPAN, PAS akan kalah semua kerusi kerana kekuatan HARAPAN di tempat ketiga, lalu ada peralihan undi yang besar kepada PAS di negeri-negeri itu kerana kebencian terhadap BN.

Begitu juga di negeri-negeri Pantai Barat, pengundi-pengundi atas pagar (termasuk pengundi PAS) sudah ada maklumat yang tepat untuk mengetahui parti mana yang paling kuat untuk menewaskan BN dalam pertandingan 3 penjuru di tempat mereka; sebab itu berlaku pengundian taktikal (terutamanya di kalangan Melayu) di seluruh negara.

Ke mana selepas ini?

Apabila pasukan analitik saya kembali dari cuti satu minggu hari Khamis ini, kami akan menganalisa keputusan dengan lebih mendalam untuk dibentangkan kepada rakyat bagaimana dan kenapa pengundi membuat pilihan sedemikian dalam PRU14.

Saya sampai ke tempat yang paling cocok untuk saya sampaikan rasa terima kasih kepada semua yang menyumbang kepada kejayaan bersejarah ini.

Saya berharap ramai rakyat Malaysia di luar sana yang mendoakan kesihatan dan kesejahteraan lebih kurang 100+ anak-anak muda (kebanyakannya berumur 23 ke 27 tahun); yang mengambil risiko meninggalkan kerja untuk menyertai INVOKE sejak Ogos 2016 untuk menjayakan #ProjekBuangNajib

Amanah saya yang terakhir ialah memastikan ada peralihan yang baik untuk mereka: sekiranya mereka ingin kembali ke sektor industri asal mereka; atau terus berkhidmat di INVOKE untuk membangunkan lagi pengetahuan dan kemahiran yang telah kami bangunkan selama ini.

INVOKE akan beralih fokus kepada usaha-usaha lain yang sesuai dengan niat kami dahulu: untuk memberi ruang dan menggalakkan semangat sukarelawan rakyat Malaysia demi menyuburkan pengupayaan sosial, ekonomi dan politik.

Dengan ini, saya, Rafizi Ramli, Sukarelawan INVOKE #00001 menghantar nota INVOKE PRU14 buat kali terakhir.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan